Khamis, 23 Mei 2019

Tukar sampah jadi duit

Ruzaini Zulkepli, Astro Awani
Tukar sampah jadi duit
Zuraida ketika menghadiri Iftar Perdana Ramadan KPKT anjuran Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT di Dewan Hakka, Kota Kinabalu, pada Rabu. - Astro AWANI
 

KOTA KINABALU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat mahu rakyat di negara ini membudayakan amalan menjaga kebersihan dengan mengitar semula sampah untuk menjadi sumber pendapatan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata, melalui program 'redemption' atau penebusan, setiap bahan sisa buangan di rumah boleh dijadikan sebagai janaan kewangan di mana pihaknya akan memberi mata ganjaran berbentuk wang tunai atau barangan keperluan harian.

Katanya, langkah itu selaras dengan konsep 'waste to energy' (WTE) yang dijalankan pihaknya dalam menjayakan impian membersihkan longgokan sampah yang disifatkan 'luar biasa' di negara ini.

Pada masa sama, KPKT menyasarkan setiap negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu loji WTE atau loji sisa kepada tenaga menjelang akhir 2020.

"Kita tingkatkan program-program kitar semula, yang mana sampah itu dijadikan duit. Jadi, program-program penebusan kita memang banyak. Kita kutip plastik, kita kutip kertas, sisa minyak dan sisa makanan.

"Program ini akan memberikan pendapatan kepada orang awam kerana setiap sampah atau kertas atau sisa makanan yang mereka kutip akan diberikan mata ganjaran. Selepas itu, ia ditukar kepada pemulangan penebusan untuk mendapat barangan dapur atau duit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Iftar Perdana Ramadan KPKT anjuran Gabungan NGO Penggerak Dasar Komuniti Negara KPKT di Dewan Hakka, di sini, malam ini.


Dalam majlis malam ini, Zuraida turut berkesempatan menyerahkan sumbangan kepada golongan ibu tunggal sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. Astro AWANI
Dalam majlis malam ini, Zuraida turut berkesempatan menyerahkan sumbangan kepada golongan ibu tunggal sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi. Astro AWANI

Mengulas lanjut mengenai program penebusan sampah itu, Zuraida berkata, ia sudah dilaksanakan secara aktif di Semenanjung dan berharap akan digerakkan secara menyeluruh di negeri Sabah dalam tempoh terdekat.

"Dengan adanya pengerak-pengerak dasar komuniti negara ini, saya harap mereka boleh buat program-program kitar semula ini dan menjana pendapatan, dalam masa sama menjadikan Sabah lebih bersih," katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan, Zuraida turut berkesempatan menyerahkan sumbangan kepada golongan ibu tunggal bagi mengurangkan beban menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti

Tiada ulasan: