Jumaat, 31 Mei 2019

Waythamoorthy dakwa ucapan Azwanddin berniat jahat

MALAYSIAKINI

   

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy berkata Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah antara lain melakukan ucapan berniat jahat terhadapnya pada satu perhimpunan Disember tahun lalu.

Waythamorthy berkata demikian dalam jawapan kepada pembelaan dalam kes saman yang difailkannya terhadap Azwanddin kerana mengeluarkan perkataan 'p****' dalam ucapannya.

Azwanddin sebelum ini mendakwa beliau mengucapkan perkataan itu dalam suasana tegang dan hanya mengulangi apa yang disebut hadirin pada himpunan itu selepas dihasut oleh mereka.

"Pengucapan perkataan p**** oleh defendan di dalam ucapan beliau yang dimuat naik ke atas laman Facebook defendan menunjukkan bahawa defendan telah mengucapkan perkataan tersebut tanpa teragak-agak dan tanpa bukti sokongan.

"Kenyataan-kenyataan fitnah tersebut telah diucapkan dan diterbitkan untuk membuatkan plaintif berasa malu, dibenci orang awam, dikutuk, direndahkan diri, dibenci, dihina, berkurangan watak, diiejek dan menghina kepada plaintif.

"Ia juga diplidkan bahawa ucapan perkataan 'p****' oleh defendan telah dilakukan oleh defendan tanpa apa-apa jagaan sama ada perkataan yang telah digunakan adalah memang benar.

"Defendan juga telah menyatakan bahawa perkataan-perkataan tidak merujuk kepada plaintif sebagai seorang 'low-life' tetapi kepada satu persepsi daripada orang awam dan sidang media mengenai tindakan, pengataan plaintif dan daripada latar belakang/sejarah plaintif dalam isu-isu sensitif bangsa, agama dan hak asasi manusia.

"Plaintif memplidkan bahawa defendan tidak menyatakan dengan jelas apakah "perkataan" yang dirujuk di dalam peranggan ini,".

"Memandangkan defendan mengakui bahawa perkataan 'p****' bukan inti sari atau isi perkara ucapannya tetapi hanya sesuatu yang dinyatakan secara sepintas lalu, plaintif memplidkan bahawa defendan mempunyai niat jahat dalam mengatakan perkataan-perkataan berikut kerana plaintif telah diasingkan oleh defendan di dalam ucapan yang tidak berkaitan dengan plaintif," ujarnya.

Berhubung kenyataan Azwanddin mendakwa beliau tidak mempunyai kawalan ke atas bagaimana media melaporkan kata-kata beliau, Waythamoorthy berkata defendan tidak berusaha untuk mempebetulkan laporan salah itu atau meminta portal berita menarik balik berita tersebut.

Beliau juga berkata Azwanddin tidak memohon maaf atau menarik balik kenyataannya walaupun diberi surat tuntutan.

Pada 13 Mac lalu Waythamoorthy memfailkan saman fitnah terhadap Azwanddin kerana menghina dan mengeluarkan perkataan perkauman pada perhimpunan yang dianjurkan oleh Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) di Dataran Seni Klang.

Perbicaraan kes saman fitnah diadakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Rohani Ismail dan ditetapkan pada 16 Ogos ini.


Tiada ulasan: