Timbalan Presiden MIC M Saravanan menggesa Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Dr Mujahid Yusof tidak melibatkan Jalan Tun Sambanthan,
berhubung cadangannya untuk menukar nama salah satu jalan di Brickfields
di Kuala Lumpur.
Beliau mengulas Mujahid yang mencadangkan agar
nama salah satu jalan di situ - yang menempatkan rumah ibadat pelbagai
agama - ditukar kepada Jalan Harmoni.
Saravanan berkata MIC telah
berusaha sekian lama untuk menamakan jalan tersebut sempena VT
Sambanthan, iaitu tokoh kemerdekaan dan presiden kelima parti itu.
"Jadi kami gesa kalau menteri mahu tukar nama di kawasan itu, jangan libatkan Jalan Tun Sambanthan.
"Boleh
tukar nama dengan Jalan Scott, Jalan Thambipillay, Jalan Berhala atau
Jalan Padang Belia (yang terletak di kawasan itu)," katanya kepada Malaysiakini.
Untuk rekod, Jalan Tun Sambanthan sebelumnya dikenali sebagai Jalan Brickfields sebelum ditukar pada 1982.
Tun VT Sambanthan
Menurut laporan Free Malaysia Today semalam, Mujahid berkata nama Jalan Harmoni itu sebagai simbolik kepada perpaduan masyarakat pelbagai agama.
“Saya
sangat mengharapkan nama Jalan Harmoni dapat diberikan di kawasan ini,
seperti di Pulau Pinang di mana ada satu jalan, lebih kurang 1
kilometer, sama macam di kawasan ini ada gereja, kuil, tokong dan
masjid,” katanya seperti dipetik.
Mujahid juga berkata akan bertemu dengan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad untuk membincangkan perkara itu.
Ketika
menjadi timbalan menteri wilayah persekutuan dan kesejahteraan bandar,
Saravanan pada 2010 memainkan peranan dalam projek "Little India", iaitu
projek menaik taraf dan memperindahkan kawasan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan