Peguam wakili Adib dilantik secara 'pro bono' tanpa sebarang bayaran
PUTRAJAYA –
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengarahkan
peguamnya, Syazlin Mansor menarik diri daripada inkues bagi menyiasat
punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, selaras dengan
nasihat Peguam Negara Tommy Thomas, kata setiausaha politik Menterinya,
Zuraida Kamaruddin.
Nor Hizwan Ahmad berkata, surat Peguam Negara bertarikh 23 Mei meminta supaya pelantikan peguam Kementerian itu dibatalkan.
“Selepas menerima surat itu, pihak
Kementerian dengan segera bertindak, selaras dengan nasihat Peguam
negara dan mengarahkan peguamnya menarik diri daripada inkues itu,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, sebagaimana yang diketahui umum,
Syazlin mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kementerian sejak
inkues bermula pada 11 Febuari tahun ini.
“Tiada bantahan dibangkitkan oleh
mana-mana pihak terbabit dalam inkues itu sepanjang perjalanannya, yang
kini sudah menghampiri penghujungnya.
Nor Hizwan berkata, Syazlin dilantik di
peringkat awal bagi memastikan dan membantu dalam penemuan fakta
keseluruhannya berhubung kematian Adib.
“Ini perkara yang amat penting bagi
Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian, memandangkan salah
seorang anggota jabatannya telah meninggal dunia semasa melaksanakan
tanggungjawabnya,” katanya.
Nor Hizwan berkata, Syazlin dilantik
sebagai peguam Kementerian dan melaksanakan tanggungjawabnya secara ‘pro
bono’, tanpa menerima apa-apa bayaran dalam semangat menjalankan
khidmat kepada masyarakat.
“Kami mengambil peluang ini merakamkan penghargaan kami kepada perkhidmatan yang dijalankannya,” katanya.
Syazlin mengumumkan penarikan dirinya daripada inkues itu semalam.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van
Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS Balai Bomba dan Penyelamat
Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha
Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa,
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di
Institut Jantung Negara. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan