Khamis, 30 Mei 2019

Awas! Tayar Myvi sasaran curi

ISMA WEB

Kawasan pakir flat, kondominium tiada CCTV sasaran penjenayah


BANGI – Sejak sedekad lalu Perodua Myvi menjadi kegemaran ramai, dan kini kereta itu dikatakan menjadi sasaran paling digemari oleh pencuri.

Setakat ini, lebih 30 kejadian kecurian tayar dan rim Myvi di Pulau Pinang dan Putrajaya, dilaporkan.

Sebabnya? Oleh kerana menjadi kenderaan kegemaran ramai maka permintaan terhadap alat gantinya juga meningkat, dan empat tayar serta rim lama kereta Myvi biasanya bernilai RM350, tetapi jika baharu boleh mencecah sehingga beberapa ribu ringgit.

Akhbar berbahasa Cina, Guang Ming melaporkan lebih 20 kereta Myvi baharu menjadi sasaran pencuri di Pulau Pinang, apabila tayar dan rim dicuri, dipercayai dilakukan kumpulan sama, berdasarkan modus operandi mereka.

Akhbar itu melaporkan, penjenayah meletakkan bata di bawah Myvi, dan dalam tempoh beberapa minit sahaja empat tayar kereta itu ditanggal dan dilarikan.

Untuk tidak meninggalkan sebarang bukti, kumpulan penjenayah itu dikatakan menjalankan kegiatan mereka di pakir flat dan kondominium, terutama di kawasan yang tidak diawasi kamera litar tertutup (CCTV).

Namun, ada netizen yang mendakwa kereta Myvi mereka yang dipakir di tepi jalan turut menjadi sasaran. 

Melucukan ialah, tayar dan rim kenderaan mewah seperti BMW dan Mercedes Benz yang lebih mahal, dan diletak berhampiran Myvi, tidak pula dicuri.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang dipetik sebagai berkata, setakat ini polis hanya menerima satu laporan pada 5 Mei lalu, apabila dua tayar kereta Myvi dicuri.

Sehubungan itu, beliau menggesa pemilik kereta yang kehilangan tayar membuat aduan, bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan penjenayah terbabit.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, pihaknya menerima lima laporan kes kecurian rim dan tayar kereta di kawasan kejiranan di pusat pentadbiran kerajaan sepanjang bulan ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan yang diterima, kes-kes kecurian peralatan kereta itu berlaku di kawasan apartmen di Presint 9, 11 dan 14.

Namun, kes itu tidak terhad kepada Perodua Myvi sahaja, sebaliknya pencuri turut menyasarkan Perodua Aruz, Honda City, Honda CRV dan Honda Jazz.


Tiada ulasan: