Selasa, 28 Mei 2019

Kedudukan Syazlin sering bercanggah dengan timbalan pendakwa raya, kata peguam negara.

Tommy Thomas.
PETALING JAYA: Peguam Syazlin Mansor, yang menarik diri daripada mewakili kementerian, bomba dan keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim dalam inkues kematian anggota bomba itu, sepatutnya menolak pelantikan kerajaan tersebut, kata peguam negara.

Tommy Thomas hari ini menjelaskan Jabatan Peguam Negara tiada isu jika Syazlin terus mewakili keluarga Adib, seterusnya menyenaraikan beberapa sebab kenapa peguam dari Majlis Peguam itu patut menolak pelantikannya, selepas penarikan diri itu menjadi perbualan orang ramai.

Antara sebabnya, kata Thomas, Syazlin sering mengambil kedudukan yang bercanggah daripada kedudukan yang diambil timbalan pendakwa raya.

“Perkara ini adalah memalukan beliau dalam kapasitinya sebagai peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Thomas mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan kekeliruan dan spekulasi berhubung penarikan diri Syazlin, yang menerima pelantikan mewakili KPKT dan bomba semasa beliau juga dilantik mewakili keluarga Adib.

Dalam penjelasannya, Thomas pertama sekali berkata KPKT dan bomba, sebagaimana kementerian dan jabatan kerajaan lain, hendaklah mendapatkan nasihat daripada Jabatan Peguam Negara.

“Peguam luar mestilah dilantik oleh peguam negara/pendakwa raya,” tambahnya.

Seterusnya, Syazlin berada dalam kedudukan konflik kepentingan apabila bersetuju mewakili KPKT dan bomba kerana turut mewakili keluarga Adib, “yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues ini”.

“Kepentingan pihak-pihak ini mungkin bertentangan, dan adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima apabila beliau mewakili ketiga-tiga pihak,” tambahnya.

Akhir sekali, Thomas juga mengesahkan Syazlin adalah isteri kepada setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Atas sebab-sebab di atas saya memohon agar menteri untuk menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili KPKT dan bomba,” katanya.

Sementara itu, Thomas berkata jabatannya tiada sebarang isu sekiranya Syazlin terus mewakili keluarga Adib, dan perkara itu dimaklumkan kepada peguam itu secara peribadi menerusi pegawai pengendali inkues.

Syazlin diminta terus mewakili keluarga Adib supaya prosiding inkues boleh diteruskan, dan perunding kanan patologi di United Kingdom, yang bercanggah pandangan dengan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur berkenaan kecederaan mangsa “boleh dipanggil semula untuk memberikan keterangan lanjut”.

“Namun Syazlin tetap dengan keputusannya untuk menarik diri,” tambahnya.

Thomas terkejut apabila mendapat tahu Syazlin turut menarik diri daripada mewakili keluarga Adib.“Keputusan beliau itu dibuat secara rela dan tanpa sebarang pengaruh daripada jabatan ini,” tambahnya.

Sementara itu, Thomas memberi jaminan peranan perunding kanan patologi, Prof Shahrom Abd Wahid, yang ditampilkan keluarga Adib sebagai saksi inkues, tidak terjejas dengan penarikan diri Syazlin.

“Shahrom adalah saksi pakar yang membantu koroner dalam inkues ini,” katanya.

Beliau berkata koroner sudah dimaklumkan jabatannya sedia membantu dengan mengeluarkan sepina terhadap perunding kanan itu.

“Kami akan berbuat demikian,” katanya.

Tiada ulasan: