Selasa, 28 Mei 2019

Apakah puncanya, siapa arah peguam inkues Adib tarik diri?

Kamarul Yusoff 

Persepsi berdasarkan laporan media sebab Syazlin Mansor tarik diri


BANYAK pihak yang bersuara dalam media sosial mengenai tindakan peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), serta Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia dalam prosiding inkues Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tiga perkara utama yang disuarakan adalah:
 
(1) Apa punca Syazlin Mansor menarik diri?;
(2) Sama ada Syazlin Mansor diarahkan menarik diri?; dan
(3) Siapa yang mengarahkan Syazlin Mansor menarik diri?

Mengenai soalan apa punca Syazlin menarik diri, berdasarkan laporan media, khususnya The Malaysian Insight persepsi yang terbentuk adalah bahawa:

(1) Mengikut Syazlin, penarikan diri beliau akan menyebabkan keterangan saksi pakar Dr Shahrom Abd Wahid terbatal;

(2) Keterangan Dr Shahrom bahawa kecederaan Muhammad Adib berpunca daripada beliau ditarik daripada van Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) dan diserang;

(3) Keterangan Dr Shahrom adalah bercanggah dengan keterangan saksi pakar yang dikemukakan oleh timbalan pendakwa raya, iaitu Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood;

(4) Keterangan Dr Ahmad Hafizam dan Dr Mohd Shah adalah bahawa kecederaan Muhammad Adib bukan berpunca daripada beliau ditarik dari van EMRS dan diserang; dan

(5) Oleh itu, penarikan diri Syazlin akan menyebabkan keterangan saksi pakar Dr Shahrom Abd Wahid ditolak manakala keterangan saksi pakar Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood diterima.

Mengenai soalan sama ada Syazlin diarahkan menarik diri, berdasarkan laporan media, khususnya Malaysia Kini, persepsi yang terbentuk adalah bahawa:

(1) Mengikut Syazlin, penarikan diri beliau berlaku selepas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menghubungi beliau Jumaat lalu dan selepas beliau menemui menteri berkenaan Sabtu lalu;

(2) Mengikut Syazlin, penarikan diri beliau adalah keputusan beliau sendiri;

(3) Mengikut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, penarikan diri Syazlin berlaku kerana ‘diarah untuk batalkan’ (instructed to revoke);

(4) Mengikut Peguam Negara, beliau ‘tiada komen’ (have no comment); dan

(5) Oleh itu, walaupun Syazlin sendiri menyatakan penarikan diri beliau adalah keputusan beliau sendiri, dan walaupun Peguam Negara menyatakan beliau ‘tiada komen’, kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menunjukkan arahan penarikan diri beliau, wujud.

Mengenai soalan siapa yang mengarahkan Syazlin menarik diri, berdasarkan laporan media, khususnya Sinar Harian, persepsi yang terbentuk adalah bahawa:

(1) Mengikut sumber, penarikan diri Syazlin berlaku ekoran sepucuk surat yang ‘dikeluarkan oleh pegawai kanan kerajaan yang berkuasa dalam undang-undang’ yang mengandungi ‘arahan terhadap Syazlin dan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan’ agar menarik diri;

(2) Mengikut sumber, ada pihak tercabar dengan kredibiliti Syazlin yang begitu tegas dan agresif mencari kebenaran serta keadilan buat Muhammad Adib;

(3) Mengikut sumber, arahan penarikan diri Syazlin berlaku ekoran ‘Syazlin telah memalukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu’; dan

(4) Oleh itu, walaupun tidak dinyatakan secara spesifik siapa yang mengarahkan Syazlin menarik diri, kenyataan bahawa arahan itu terkandung dalam sepucuk surat yang dikeluarkan oleh ‘pegawai kanan kerajaan yang berkuasa dalam undang-undang’ dan kenyataan bahawa ‘Syazlin Mansor telah memalukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes itu’ adalah petunjuk jelas arahan ini datang daripada siapa.

Apa pun, semua ini hanyalah persepsi yang terbentuk daripada laporan-laporan media sahaja dan persepsi ini boleh berubah dengan kemunculan laporan-laporan media baru mahupun dengan kemunculan kenyataan rasmi pihak-pihak yang berkenaan.


Tiada ulasan: