Selasa, 28 Mei 2019

Hentikan amalan membazir, lahap makanan

Zuhainy Zulkiffli
 
 

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa supaya pembaziran makanan menerusi bufet di majlis dan hotel ketika Ramadan, perayaan dan musim kenduri dihentikan segera.

Ia dilihat sebagai satu jenayah dilakukan masyarakat, malah diibaratkan sebagai ‘merompak’ makanan daripada golongan miskin dan membuangnya.

Pemangku Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, amalan itu hanyalah strategi ekonomi bagi merancakkan pertumbuhan dan kemajuan negara, yang bergantung kepada produk dan perkhidmatan, permintaan dan penawaran.

Beliau berkata, istilah ‘double scoop’, ‘king kong size’, tambah, ‘big cup’, borong, longgok, hidangan kambing golek dan tradisi ala kampung di hotel, semuanya adalah manifestasi kepada terhasilnya amalan membazir, boros dan lahap ketika makan.

“Kewujudan masalah itu menghasilkan sampah sisa makanan mencecah 16,500 tan sehari di Malaysia pada bulan Ramadan manakala 4,000 tan makanan lagi belum disentuh.

“Makanan masih elok dibuang dan ia harus dilihat sebagai punca masalah peningkatan kos sara hidup kini termasuk faktor ekonomi lain,” katanya dalam kenyataan di Georgetown, hari ini.

Mohideen berkata, CAP berpendapat mengurangkan dan menguruskan sisa makanan adalah suatu perkara berbeza, malah kedua-duanya tidak akan menyelesaikan isu utama iaitu pembaziran makanan.

Malah, beliau berkata, pada sisi lain pengguna berhadapan dengan kos sara hidup tinggi.

“Harga barangan meningkat, kos mendapatkan makanan pula mahal, kebergantungan negara kepada import makanan menjadi amat tinggi hingga mencecah berbilion ringgit setiap tahun.

“Hal ini tidak boleh dikompromi lagi, malah amalan tidak baik seharusnya dihentikan, bukannya dikurangkan atau diuruskan dengan baik,” katanya.

Tiada ulasan: