Ahad, 26 Mei 2019

Seorang maut, dua cedera gara-gara terhidu gas beracun di Ipoh

Bernama
gas-beracun-ipoh
Seorang lelaki warga Bangladesh maut, manakala dua lagi cedera dipercayai akibat terhidu gas beracun berhampiran sebuah stesen minyak di kilometer 6 Lebuhraya Ipoh-Lumut di sini hari ini.

IPOH – Seorang lelaki warga Bangladesh maut, manakala dua lagi cedera dipercayai akibat terhidu gas beracun berhampiran sebuah stesen minyak di kilometer 6 Lebuhraya Ipoh-Lumut di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya Sharudi Muhamad Halil berkata dua yang cedera dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, masing-masing seorang rakyat tempatan dan seorang warga Bangladesh.

Katanya semasa kejadian ketiga-tiga mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di dalam saluran gas bawah tanah.

“Ketika anggota sampai di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.50 malam, kita dapati kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang ramai.

“Sebagai langkah keselamatan pihak bomba telah menutup semula penutup ‘manhole’ terbabit.
Seorang mangsa sudah tiada nadi dan pernafasan sebelum disahkan meninggal oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Sharudi berkata Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari balai Pasir Putih di sini telah diarah membuat pengesanan gas dalam saluran berkenaan.

Katanya mayat mangsa diserahkan kepada polis, manakala dua yang terselamat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan lanjut dan identiti kesemuanya belum dikenal pasti.
— BERNAMA

Tiada ulasan: