Ketiadaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Dr
Wan Azizah Wan Ismail di pejabatnya hari ini untuk menerima satu
memorandum, mengundang kemarahan aktivis orang kurang upaya (OKU)
Anthony Thanasayan.
Anthony mendakwa pihaknya telah berbincang lebih awal dengan pihak kementerian berkenaan kunjungan tersebut.
"Kami
susah hendak datang ke sini untuk berjumpa menteri tetapi mereka
menghilangkan diri...Kami mahu menyerahkan memorandum dan berbincang
berkenaan bagaimana untuk bantu OKU.
“Ini mereka hilangkan diri.
Dia (Wan Azizah) patut letak jawatan,” katanya ketika sidang media di
depan kementerian tersebut di Putrajaya.
Beliau disertai kira-kira 20 aktivis lain serta wakil NGO OKU, Kehidupan Bebas dan Pusat Latihan Malaysia (ILTC).
Memorandum
berkenaan antara lain mengandungi cadangan terhadap kementerian
berkenaan dasar berkaitan OKU dan penambahbaikan bantuan oleh Jabatan
Kebajikan Masyarakat.
Lebih menaikkan kemarahan Thanasayan apabila
dia mendapati tempat letak kereta khas OKU di situ telah disalah guna
salah seorang kakitangan kementerian tersebut, sehingga menyebabkan
kesukaran kepada pihaknya.
“Malah parkir OKU juga diguna oleh kementerian. Kami nak parkir mana? Terkilan sungguh,” katanya lagi,
Memorandum tersebut diterima oleh wakil kementerian.
Berkenaan
tempat letak kereta khas OKU yang didakwa disalah guna, wakil
kementerian berkata kereta tersebut milik salah seorang kakitangan
tetapi enggan mengulas lanjut.
Ketika sidang media, Presiden ILTC G
Francis Siva menggesa kerajaan mengkaji dan mengemas kini dasar-dasar
berkaitan OKU, terutama yang berada di bawah JKM.
"Bantuan seperti elaun pekerja cacat, geran pelancaran dan bantuan penjagaan OKU perlu diperbaiki oleh kerajaan baru,” katanya.
Beliau juga berharap wakil mereka dilibatkan dalam sebarang perbincangan berkenaan perkara itu.
"Kami
harap (kementerian) pertimbangkan cadangan untuk ambil kami (golongan
OKU) sebagai penasihat. OKU lebih memahami apa yang mereka perlukan dan
ia akan memudahkan kementerian," katanya lagi.
Siva berharap
bantahan yang disuarakan mereka hari ini mendapat perhatian kementerian
dan tidak menolak untuk mengadakan protes di Parlimen jika sebaliknya
berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan