Jumaat, 31 Mei 2019

Lagi kes rabies di Sarawak

tyrazalhe 

Mangsa pernah dicakar dua anjing diterima dari kenalan media sosial


BANGI – Satu lagi kes disyaki wabak rabies atau anjing gila dikesan membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun di Kuching, Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa berusia 26 tahun itu kini dirawat di Wad Penyakit Berjangkit, Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau berkata, mangsa pernah dicakar dua anjing yang diterima daripada seorang kenalan media sosial pada Mac 2019, dan tidak mendapatkan sebarang rawatan bagi luka berkenaan.

“Status imunisasi rabies kedua-dua ekor haiwan ini tidak diketahui. Pada pertengahan Mac, kedua-dua anjing itu telah mati selepas menunjukkan gejala hypersalivation, unsteady gait dan hydrophobia.

“Bangkai anjing telah dibuang ke dalam belukar dan tiada laporan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pada 26 Mei lalu, mangsa mengalami lemah badan dan kesukaran bernafas, sebelum dibawa ke sebuah hospital swasta di Kuching pada keesokan harinya.

“Pada 29 Mei 2019, kes telah dirujuk ke HUS di mana pemeriksaan mendapati beliau mengalami kekeliruan (confusion), hydrophobia, kesukaran menelan dan otot anggota tubuh yang lemah.

“Kes kini di bawah rawatan dan pengawasan rapi di hospital tersebut. Sampel klinikal kes akan diambil dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian rabies,” katanya.

Beliau berkata, sejak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga kini, 17 kes disahkan rabies termasuk 16 kematian.

“Memandangkan negeri Sarawak belum bebas daripada risiko jangkitan rabies, KKM ingin menegaskan supaya orang ramai tidak mengambil anjing yang tidak diketahui status vaksinasinya untuk dipelihara.

“Sila pastikan haiwan peliharaan diberi vaksin anti-rabies; dan tidak membiarkannya berkeliaran atau bergaul dengan haiwan liar,” katanya.


Tiada ulasan: