SEJAK 17 Disember
2018, seluruh negara tertunggu-tunggu dapatan fakta tentang punca
kematian Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim, seorang bekas anggota
Bomba dan Penyelamat Malaysia Subang Jaya, yang cedera parah sewaktu
bertugas dalam satu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafiled USJ 25,
pada awal pagi 27 November 2018.
Dalam keadaan prosiding inkues yang
telah berlangsung selama hampir 5 bulan sejak 18 Januari 2019, dan
hampir mencapai garis penamat selepas Mahkamah Koroner telah mendengar
keterangan dari 29 saksi selama 36 hari prosiding, negara dikejutkan
dengan berita penarikan diri seorang Peguam yang mewakili Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia serta keluarga Allayarham Adib. Penarikan diri Peguam Syazlin
Mansor tersebut turut menimbulkan misteri pembatalan sambungan
keterangan tambahan oleh Pakar Forensik dan Patologi, Prof Dr Shahrum
Abd Wahid, seorang saksi yang dijangkakan akan menjadi saksi terakhir
prosiding tersebut.
Kenyataan Akhbar Setiausaha Politik
Menteri KPKT, Nor Hizwan Ahmad bertarikh 28 Mei2019 telah menjelaskan
bahawa Peguam Syazlin Mansor telah diarahkan menarik diri dari mewakili
Jabatan Bomba dan Penyelamat serta KPKT dari prosiding inkues tersebut,
selepas menerima surat dari Peguam Negara bertarikh 23 Mei2019.
Beberapa jam selepas itu, Jabatan
Peguam Negara juga telah mengeluarkan Kenyataan Akhbar bagi menjelaskan
'nasihat' kepada KPKT dan Jabatan Bomba bagi menamatkan khidmat Peguam
Syazlin Mansor, dengan menarik diri dari prosiding inkues.
Berdasarkan Kenyataan Media Jabatan
Peguam Negara, dua alasan utama yang menjadi sandaran kepada 'nasihat'
tersebut dikeluarkan ialah kerana kononnya “wujud konflik kepentingan”
untuk Peguam Syazlin mewakili ketiga-tiga pihak (termasuk keluarga
Adib), dan peranan aktif yang dimainkan oleh Peguam Syazlin dalam
prosiding itu yang dikatakan seringkali mengambil pendirian yang
bertentangan dengan 'Pendakwaraya', justeru telah mengakibatkan keaiban
terhadap beliau atas kapasitinya selaku Peguam kepada Kementerian.
Dalam bahasa mudahnya, inkues adalah merupakan satu siasatan awam secara kehakiman (a judicial inquiry)
untuk menentukan sesuatu kejadian, atau dalam konteks Seksyen 337 Kanun
Acara Jenayah, adalah untuk menentukan punca atau keadaan (bila,
bagaimana, dimana dan cara kematian) kematian seseorang atau sama ada
sesuatu kematian itu melibatkan unsur jenayah. Inkues adalah bersifat 'inquisition', iaitu siasatan awam terbuka untuk membolehkan Mahkamah Koroner membuat dapatan fakta (fact finding)
terhadap punca kematian dan keadaan kematian tersebut. Perlu diingat
bahawa inkues bukanlah satu perbicaraan jenayah, bukan satu bentuk
pendakwaan terhadap mana-mana pihak, justeru tiada apa-apa sabitan
terhadap mana-mana pihak, bahkan tiada pihak yang akan menang atau kalah
pada penghujung prosiding inkues.
Ia adalah padang yang terbuka untuk
menjemput masyarakat awam yang mempunyai kaitan dan kepentingan langsung
bagi mengemukakan bukti-bukti untuk dinilai oleh Koroner. Berdasarkan
laporan media, KPKT dan Jabatan Bomba mempunyai kecenderungan untuk
mempercayai teori bahawa kematian Adib adalah disebabkan kecederaan
akibat dipukul oleh perusuh. Kepercayaan ini turut dikuatkan oleh
Allayarham Adib sendiri sewaktu menjawab 11 dari 15 soalan yang
dikemukakan kepadanya sewaktu dirawat di Institut Jantung Negara dengan
mendakwa dirinya dipukul dengan peralatan dan ditarik dari van Unit
Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS). Atas asas ini, sejak awal lagi
KPKT dan Jabatan Bomba telah bertindak melantik Peguam sendiri, Syazlin
Mansor untuk turut serta dalam inkues tersebut.
Perlantikan dan penyertaan Peguam
Syazlin sedari awal prosiding inkues dimulakan, sejak 18 Januari 2019
tidak pernah dibantah oleh Peguam Negara, walau Peguam Negara mempunyai
masa yang sangat luas untuk membantah, sebagaimana bantahan yang
dilakukan terhadap Peguam-Peguam yang mewakili 50 penganut Hindu dan
Jawatankuasa Kuil Sri Mariamman. Bantahan ini kekal walau selepas
melibatkan prosiding rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.
Atas asas ini sahaja, dan dengan sifat
prosiding inkues yang terbuka untuk tujuan siasatan awam, dan bukannya
bersifat satu perbicaraan jenayah yang matlamat akhirnya adalah kalah
dan menang (sabitan jenayah), alasan kononnya “wujud konflik
kepentingan” yang dikemukakan oleh Peguam Negara untuk menasihati
'penarikan diri' Peguam Syazlin pada saat akhir selepas Peguam Syazlin
“memainkan peranan aktif” untuk menyokong teori kematian yang mungkin
bertentangan dengan teori Jabatan Peguam Negara adalah suatu tindakan
yang bersifat lepas fikir (afterthought). Alasan konflik
kepentingan adalah sangat lemah kerana pastinya KPKT, Jabatan Bomba dan
keluarga Adib tidak mempunyai apa-apa kepentingan yang bercanggah
melainkan untuk sama-sama membantu Mahkamah Koroner membuat dapatan
fakta yang betul selaras dengan kredibiliti dan bukti yang dikemukakan.
Malang sekali seolah-olah Peguam Negara terlepas pandang perbezaan
antara inkues dan perbicaraan jenayah.
Dalam keadaan prosiding yang bersifat
siasatan terbuka untuk membuat dapatan fakta yang tepat, Jabatan Peguam
Negara yang mengendalikan inkues melalui Pegawai Pengendali (conducting officer)
tidak sewajarnya tampil dengan kesimpulan awal tentang punca kematian
Adib, serta cuba memaksa pendirian tersebut untuk diterima oleh KPKT dan
Jabatan Bomba. Jika pun Peguam Negara mempunyai kesimpulan awal
berdasarkan siasatan polis dan forensik bahawa Adib mengalami kecederaan
akibat kemalangan (dan bukannya dipukul), Peguam Negara tidak
sewajarnya menghalang pihak-pihak lain yang mempunyai teori berbeza
untuk menguji teori itu di hadapan Mahkamah Koroner dengan mengemukakan
bukti dan keterangan yang relevan dan sesuai. Ironinya, tindakan Peguam
Negara yang 'menasihati' KPKT untuk mengarahkan Peguam Syazlin menarik
diri kerana “peranan aktifnya” untuk menyokong teori kematian yang tidak
konsisten dengan pendirian Peguam Negara, adalah bersifat satu langkah
yang berupaya menghalang proses keadilan dilaksanakan dalam prosiding
inkues.
Justeru alasan Peguam Negara kononnya
“peranan aktif” Peguam Syazlin yang sentiasa mengambil pendirian yang
bertentangan dengan Pegawai Pengendali inkues tentang teori kematian
Adib, dan menyebabkan "keaiban" sebagai Peguam KPKT, hanyalah alasan
lemah yang tidak sejajar dengan prinsip undang-undang berkenaan
pengendalian sesuatu inkues. Sekali lagi, Peguam Negara kelihatan
teraba-raba dalam mencari titik sempadan antara sifat prosiding inkues
dan perbicaraan jenayah.
Sepatutnya, ketekunan dan kerja-keras
serta peranan aktif yang dimainkan oleh Peguam Syazlin untuk
mengemukakan teori alternatif bagi kematian Adib, dengan mengemukakan
bukti yang sangat kredibiliti melalui keterangan Prof Dr Shahrum Abd
Wahid, perlu disanjung dan dipampas dengan sewajarnya kerana usaha keras
itu akan dapat membantu Koroner membuat pertimbangan yang lebih
menyeluruh serta dapatan fakta yang lebih adil bagi menepati maksud
sebenar kenapa inkues perlu dijalankan.
Amat malang lagi, alasan keempat yang
dikemukakan oleh Peguam Negara tentang status Peguam Syazlin selaku
isteri kepada Pegawai Akhbar Menteri KPKT, tanpa apa-apa penjelasan
lanjut, hanya menyerlahkan niat serong untuk memperlekehkan peribadi
Peguam Syazlin dan meletakkan denai pembunuhan karektor yang sangat
tidak wajar dan tidak beretika. Mustahil keseluruhan Jabatan Peguam
Negara tidak mengetahui hubungan ini seawal Peguam Syazlin dilantik
mewakili KPKT? Apakah kaitan hubungan suami isteri Setiausaha Akhbar
Menteri dengan kepentingan prosiding inkues Adib?
Oleh yang demikian berdasarkan
keseluruhan naratif diatas, DPPM berpandangan bahawa tindakan Peguam
Negara Tommy Thomas yang 'mengarahkan' KPKT dan Jabatan Bomba untuk
menamatkan khidmat Peguam yang sedang mengendalikan prosiding inkues
yang sudah berada pada penghujungnya, tanpa alasan yang munasabah bahkan
kelihatan bersifat lepas fikir (afterthought) untuk menutup
kelemahan sendiri, hanyalah melengkap siri-siri kelemahan Peguam Negara
dalam membantu pentadbiran keadilan di negara ini. Justeru tiada pilihan
yang lebih baik, melainkan Tommy Thomas dipecat serta-merta dari
jawatan tersebut!
"Islam Memimpin" "Terus Mara"
*WAN ROHIMI BIN WAN DAUD Pengarah Jabatan Hal Ehwal Undang-undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Malaysia - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan