Khamis, 30 Mei 2019

Kelakarlah berbuka puasa di Gurdwara Sahib: Ridhuan Tee

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Pelik bila orang bukan Islam jadi tuan rumah majlis iftar muslim


BANGI – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menyelar tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru mengadakan majlis berbuka puasa di Gurdwara Sahib, di bandar raya itu semalam.

Beliau hairan kenapa sesetengah pihak obsesi menjemput atau menerima jemputan berbuka puasa daripada orang bukan Islam, sedangkan mereka tidak berpuasa.

Katanya, menjemput orang bukan Islam dalam program perayaan umat Islam adalah idea baik, namun beliau berpendapat majlis membabitkan bulan puasa kurang sesuai diadakan.

“Lagi kelakar, ada seorang wakil rakyat di Johor Bahru berbuka puasa di dalam rumah ibadat bukan Islam di Gurdwara Sahib. Kenapa buat majlis iftar di Gurdwara?

“Tak ada tempat lain yang lebih sesuai? Siapa yang berpuasa? Orang Islam ke atau orang Sikh,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net

Tindakan Akmal Nasrullah Mohd Nasir memenuhi jemputan berbuka puasa di Gurdwara Sahib semalam, mengundang rasa tidak senang dan kritikan orang ramai terutama umat Islam yang membantah dengan penganjuran itu.

Walaupun dibantah, Akmal tetap mempertahankan tindakannya dan menolak dakwaan bahawa penganjuran itu boleh menggugat akidah umat Islam kerana masing-masing sudah mempunyai kepercayaan dan anutan sendiri.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, usaha memupuk perpaduan perlu diteruskan dan kedatangannya ke rumah ibadat itu adalah atas jemputan kali kedua untuk berbuka puasa.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, beliau tidak merasakan bahawa mesej dakwah sampai melalui penganjuran seperti itu, apatah lagi bagi tujuan mengeratkan perpaduan.

“Apa tujuan jemputan itu? Atas muhibah, atas dasar dakwah atau mahu menyampaikan Islam atau apa? Sekian lama kita buat majlis itu, makin eratkah perpaduan? Tidak juga. Semakin ramai yang memeluk Islam? Tidak juga.

“Saya masih boleh terima jika mereka menjadi jemputan kita, tetapi apabila yang muslim menjadi jemputan mereka, mereka jadi tuan rumah, saya fikir ini agak pelik,” katanya.

Beliau berkata, orang bukan Islam yang turut serta dalam majlis berbuka puasa akan ditinggalkan apabila muslim menunaikan solat Maghrib, sebelum menyambung semula makan.

“Mereka menjadi tidak selesa kerana ditinggalkan. Saya tidak fikir mesej dakwah kesampaian jika dibuat sebegitu. Saya lihat dengan mata kepala sendiri apabila majlis iftar membabitkan bukan muslim, mereka jadi keseorangan apabila kita pakat-pakat pergi solat.

“Ini bukan soal makanan yang disediakan halal atau tidak, disediakan ruang solat atau tidak, atau apa-apa lagi yang perlu disediakan sebagai menghormati kita, tetapi tidak berapa kena menjemput orang tidak berpuasa dalam majlis berbuka puasa. Saya tidak larang,” katanya.


Tiada ulasan: