Hafidz Muftisany
PADA
abad pertengahan, pemahaman-pemahaman yang merosakkan Islam mulai
tumbuh subur. Islam menyebut orang yang memiliki pemahaman menyimpang
daripada ajaran Islam ini dengan istilah ‘zindik’. Dalam bahasa Arab,
zindik bererti kotoran yang membahayakan.
Secara
istilah, zindik (dalam bentuk jamak: zanadiqah) adalah golongan atau
orang yang membuat penyimpangan dalam menafsirkan nas-nas al-Quran dan
hadis. Istilah zindik juga dinisbahkan kepada orang yang antiagama, yang
kerana penyimpangannya dalam menafsirkan nas-nas agama maka mereka
merosak kehidupan agama dan negara.
Sering pula istilah zindik diertikan untuk orang yang pada lahirnya Islam, tetapi pada batinnya kafir.
Istilah
zindik pada mulanya berasal daripada bahasa Parsi yang diarabkan di Iraq
pada 125H (742 M). Istilah ini muncul ketika terjadi eksekusi terhadap
Ja’ad bin Dirham yang dipandang sebagai seorang zindik.
Menurut
Muhammad Sabit al-Fandi dalam Darrah al-Ma ‘arif al-Islamiyyah, apabila
istilah yang dibawa ke dalam bahasa Arab itu zindy, maka ertinya sama
dengan tafsir atau takwil. Dengan demikian, zindik yang dimaksud di sini
adalah tafsir atau takwil yang keluar daripada batas-batas yang
semestinya.
Ertinya,
ada takwil yang tidak dapat diterima menurut prinsip-prinsip ajaran
Islam, seperti apa yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadis.
Imam
Hanbali menolak penafsiran kaum zindik kerana mereka menakwilkan
ayat-ayat al-Quran dengan penakwilan yang merosak ajaran Islam. Istilah
zindik menurut Imam Hanbali sama dengan istilah bid’ah (mengada-ada)
atau ilhad (ateis).
Ahli
sejarah dari Kaherah, Abu Hasan Ali al-Mas’udi (wafat 345H 956 M),
mengatakan, istilah zindik pada mulanya tertuju kepada pengikut-pengikut
aliran Mazdak yang membuat penafsiran baharu terhadap kitab suci Avesta
(Zendavesta). Mereka menakwilkan sendiri isi kitab itu yang sangat
bertentangan dengan maksud yang sebenarnya.
Lebih
lanjut, Imam al-Gazali mengatakan bahawa kaum zindik adalah orang yang
mengingkari adanya wujud Allah ﷻ. Mereka mengatakan alam semesta kadim
(terdahulu) dan mengingkari adanya hari akhirat.
Pakar
tasawuf al-Mukri menambahkan, kaum zindik adalah orang-orang naturalis
yang mengingkari adanya nabi-nabi serta kitab-kitab yang diwahyukan
kepada mereka.
Istilah
zindik dalam penggunaannya menunjuk orang yang mengingkari
prinsip-prinsip ajaran Islam. Segala macam bid’ah dalam menafsirkan
nas-nas agama atau memahami penafsiran ajaran Islam menurut hawa
nafsunya sendiri.
Hal ini
sesuai dengan sabda Rasulullah ﷺ, “Barang siapa yang memahami atau
menafsirkan nas-nas agama dengan kehendaknya sendiri, maka ia termasuk
golongan zindik.” (HR Tirmizi).
Ulama mazhab Hanbali mengelompokkan zindik dalam lima kategori.
Pertama,
mereka yang disebut al-Mu’attilah. Golongan ini adalah mereka yang
mengingkari adanya pencipta dan pengatur alam semesta.
Kedua, golongan al-Manuwiyah, iaitu golongan yang memiliki keyakinan politeisme.
Ketiga, golongan al-Mazdakiyah, iaitu golongan yang memiliki keyakinan sama dengan al-Manuwiyah.
Keempat,
golongan al-Abdakiyah, iaitu orang yang hidup hanya dengan beribadah
atau diistilahkan dengan zahid. Mereka berasal dari aliran Imamiyah yang
berada di Kufah. Mereka ini juga tidak mahu memakan daging haiwan.
Kelima,
golongan ar-Rohaniyah, iaitu sufi yang berusaha melepaskan diri daripada
ikatan hukum syariat dengan jalan cinta rohaniah kepada Allah ﷻ.
Mereka
menganggap dirinya telah bersatu dengan Allah ﷻ. Kerana itu, mereka ini
memandang bahawa tidak ada beza antara Khalik (pencipta) dan makhluk,
dan seterusnya makhluk tidak terikat lagi dengan hukum-hukum syariat dan
tidak wajib menjalankannya selaku mukalaf.
Ulama
mazhab Maliki di Andalusia menetapkan orang yang menghina Rasulullah ﷺ
adalah orang zindik, seperti keputusan ulama kepada Abu al-Khair di
Cordoba pada masa pemerintahan al-Hakam II dan Ibnu Abi Hatim. Keputusan
yang sama juga dilakukan oleh ulama mazhab Hanafi, khususnya pada masa
pemerintahan Turki Usmani (Kerajaan Ottoman).
Dalam
bidang kalam, kaum Muktazilah pada awalnya dikatakan sebagai golongan
zindik kerana ajarannya dipandang bermaksud untuk melepaskan diri
daripada kewajiban-kewajiban syariat.
Menurut
Imam al-Gazali, mereka tidak percaya atau mengingkari adanya Tuhan,
pengatur alam semesta ini. Namun, kemudian tidaklah demikian adanya.
Ternyata di antara mereka ada yang menjadi ulama besar, fukaha (ahli
fikih), mutakalimin (ahli ilmu kalam), bahkan menjadi kadi besar (hakim
agung) seperti kadi Abdul Jabar.
Secara
khusus dalam bidang tasawuf, orang sufi tertentu sering dipandang
sebagai orang zindik, ajarannya atau ucapannya dianggap mempunyai ajaran
agama yang benar.
Kamil
Mustafa asy-Syaibi (seorang pakar tasawuf) dan Zunnun al-Misri (ahli
fikih dari Mesir) adalah dua orang yang awalnya dikira sebagai zindik.
Hal itu disebabkan mereka berbicara mengenai ilmu laduni yang tidak
dikenal oleh orang Mesir.
Kedua-duanya
didakwa dikenakan hukuman gantung kerana dipandang sebagai seorang
zindik yang berbahaya bagi keselamatan agama dan negara. Hal itu sebagai
akibat perkataannya yang mengatakan ‘ana Al Haqqu’, iaitu mendakwa
dirinya adalah Tuhan.
Kaum Syiah
Gulat juga dianggap berpandangan ekstrem dan dipandang termasuk dalam
golongan zindik. Alasannya kerana ajaran kelompok ini mengenai ketuhanan
yang mengatakan Tuhan menjelma (inkarnasi) ke dalam diri Ali bin Abi
Talib RA.
Menilai
seseorang apakah termasuk dalam golongan zindik atau bukan dapat dibaca
daripada model pemikirannya. Orang beriman akan patuh dan taat jika
sudah dihadapkan pada nas-nas daripada al-Quran dan hadis. Sementara
orang zindik, mereka mempunyai pemikiran bebas, iaitu yang tidak terikat
pada bunyi lahir nas.
Mereka dengan seenaknya menafsirkan nas sesuai kepentingan peribadi atau kelompoknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan