Khamis, 30 Mei 2019

Macam orang tak bertamadun!

Norizuan Shamsuddin
 
 

TINDAKAN tidak bertamadun. Itu yang boleh digambarkan apabila sekumpulan lelaki dikesan membuang air kecil dari atas jejambat sehingga terkena pada kenderaan yang lalu di bawahnya.

Malah, tindakan itu turut dirakamkan oleh ahli kumpulan berkenaan menggunakan telefon bimbit sebelum menjadi tular apabila tersebar di media sosial.

Difahamkan kejadian berlaku berdekatan Terowong SMART, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Malah, menerusi video berdurasi 15 saat terbabit kumpulan lelaki terbabit dilihat bergembira dengan perbuatan tidak bermoral mereka.

Bagaimanapun, tindakan itu dikecam oleh netizen yang menonton video terbabit sehingga ada yang meninggalkan komen berunsur rasis kepada kumpulan yang melakukan perbuatan tidak bermoral itu.

Seorang netizen, Nurul Huda berkata, perbuatan dilakukan kumpulan lelaki terbabit sungguh menjijikkan.

“Bayangkan penunggang motosikal yang melalui bawah jambatan terbabit pasti mereka di basahi air kencing. Harap mereka dapat balasan setimpal dengan apa yang dilakukan,” katanya.

Mohd Razmi pula berkata, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku terbabit yang dilihat sengaja melakukan perbuatan berkenaan untuk mendapat perhatian di media sosial.

“Sengaja cari publisiti murahan dengan melakukan perbuatan bodoh.

“Semoga mereka ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” tulisnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Rusdi Mat Isa berkata, pihaknya sedia maklum mengenai video tular terbabit.

Katanya, setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung kes berkenaan.

“Siasatan akan dilakukan sekiranya terdapat laporan polis berhubung kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tiada ulasan: