KOTA KINABALU: Pemandu Grab, Mohd Hanafiee Jaffar dirompak dan maut ditikam beberapa kali di dada kanannya, kata polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Omar Mammah berkata pihaknya masih menunggu laporan punca kematian pemuda berusia 27 tahun itu.
“Tetapi, kami belum menemui senjata yang digunakan dalam kes rompak dan bunuh itu,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, polis mengumumkan penahanan 2 lelaki yang merupakan penumpang terakhir Hanafiee dengan mayatnya ditemui dibuang di sebuah kawasan semak di Sabandar, Tuaran, dekat sini.
Seorang warga tempatan berusia 24 tahun dan seorang lagi warga asing berusia 20 tahun ditahan di tempat letak kereta Pusat Beli-belah 1Borneo kira-kira 9 malam Isnin hasil kerjasama dan rekod pihak Grab.
“Rekod daripada Grab menunjukkan kedua-dua suspek adalah penumpang terakhir yang menaiki kenderaan mangsa pukul 4 pagi Jumaat lepas dari Kingfisher ke Tuaran.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan mengaku membunuh dan membuang mangsa di sebuah kawasan di Tuaran dan kita percaya ini adalah kes samun…namun kita masih membuat siasatan lanjut,” kata Omar dipetik Bernama semalam.
Hanafiee dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu dan keretanya ditemui di tapak bazar Ramadan Indah Permai, Sepanggar pada 12.30 tengah malam Ahad lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati kereta mangsa berkunci, tetapi terdapat kesan darah di bahagian stereng, brek tangan, bahagian dalam cermin depan dan pintu depan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Jauteh Dikun berkata Hanafiee mungkin melawan sebelum dibunuh suspek.
“Suspek direman maksimum 7 hari sejak Isnin lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan