Rabu, 29 Mei 2019

Inkues Adib: Apa sedang berlaku

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin 

Adakah terdapat motif tertentu apabila tiba-tiba sahaja peguam ditukar



BANGI– Melahirkan rasa kesal dan terkejut terhadap apa yang berlaku dalam inkues kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini mempersoalkan, kenapa daripada awal, peguam Syazlin Mansor dibenar membantu koroner di dalam prosiding inkues itu.

Pada masa sama, PPMM juga musykil kenapa hanya setelah 36 hari prosiding berlangsung dan berbaki selama dua hari sahaja lagi, baharu peguam berkenaan ‘diarah’ menarik diri daripada inkues itu oleh pihak yang diwakili beliau, iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Malah, melalui penelitian PPMM dalam prosiding itu, Syazlin telah bekerja keras membawa kes beliau, dan membantu koroner dengan pelbagai input serta keterangan yang tidak disentuh oleh Jabatan Peguam Negara.

Dilaporkan penarikan balik itu dibuat kerana kerajaan telah diwakili oleh Jabatan Peguam Negara, yang menjadikan Syazlin sebagai peguam swasta bersifat kelewahan (redundant). Terdapat juga pelbagai perkara lain yang ditularkan, mengundang kegelisahan awam, tetapi tidak dapat disahkan.

Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pihaknya musykil sekiranya benar alasan yang dilaporkan, kenapa hanya setelah 36 hari prosiding berlangsung, dan berbaki dua hari sahaja lagi, baharu tindakan itu diambil.

“Daripada catatan prosiding inkues ini adalah amat jelas saksi-saksi dikemukakan KPKT keterangannya sangat berbeza daripada keterangan diberikan saksi dikemukakan Jabatan Peguam Negara. Timbul persoalan di sini, adakah Jabatan Peguam Negara mahu beberapa fakta matan kepada prosiding itu tidak diberi pertimbangan koroner?

“Malah, ditularkan juga terdapat arahan pihak tertentu mendesak Syazlin menarik diri. Jabatan Peguam Negara mesti menjelaskan perkara ini supaya kegusaran ramai tentang ketelusan prosiding ini dapat diredakan.

“Malah, Jabatan Peguam Negara juga sehingga hari ini tidak mengesahkan beberapa orang yang diberikan jaminan mulut dibebaskan setelah direman, masih berada dalam pemantauan pihak berkuasa atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, PPMM memahami Syazlin terpaksa menarik diri atas arahan daripada anak guamnya dan tidak boleh mengabaikan arahan berkenaan, namun pihak berkuasa perlu memberi penjelasan yang tuntas berkaitan perkara ini.

Menteri buat U-turn

Zainul Rijal berkata, pada 24 Disember tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin dilapor berkata, selain memberi nasihat guaman Syazlin dilantik untuk membantu polis dan pihak pendakwaan dalam persediaan prosiding itu.

“Malah, Zuraida menegaskan sekiranya terdapat perkara dianggap terlepas pandang atau perlu diberi penelitian dan sebagainya, Syazlin boleh memberi pandangan dan input untuk kebaikan semua.

“Namun semalam pada 27 Mei 2019, menteri yang sama dilaporkan berkata Syazlin tidak perlu lagi mewakili mereka kerana Jabatan Peguam Negara mewakili pihak kerajaan walaupun dahulu beliau mahukan semua perkara diambil kira,” katanya.

Sehubungan itu, PPMM menggesa Peguam Negara menjelaskan kedudukan perkara itu dengan terperinci kenapa tindakan sebegini diambil dan beliau mesti telus di dalam menjalankan amanahnya.
“Jika benar Syazlin adalah bersifat kelewahan kenapa daripada awal prosiding Syazlin dibenarkan membantu koroner di dalam prosiding itu,” katanya.

Zainul Rijal berkata, seperkara lagi yang perlu dijelaskan ialah segala keterangan yang diambil koroner sebelum ini dibuat secara bersumpah di dalam suatu prosiding yang sah di sisi undang-undang.

Oleh itu, katanya, semua keterangan berkenaan tidak boleh dibuang begitu sahaja semata-mata kerana peguam menarik diri dan koroner mesti mengambil kira segala keterangan yang diambil.

“Persoalan kini adakah apabila pegawai Jabatan Peguam Negara mengambil alih tugas Syazlin pegawai itu boleh memohon kepada koroner untuk membuang apa-apa keterangan yang telah diterima masuk oleh koroner?

“Implikasinya pula ia akan mengakibatkan inferens bertentangan (adverse inference) berkenaan fakta pihak pendakwaan atau mana-mana pihak berkepentingan, termasuk keterangan yang telah membangkitkan secara langsung dan tidak langsung berkaitan ketiadaan kerdibiliti fakta kes pendakwaan mahupun pihak berkepentingan selain daripada kepentingan Allahyarham Adib. Adakah terdapat motif tertentu apabila tiba-tiba sahaja penukaran peguam dibuat?,” katanya

Beliau turut mengingatkan bahawa, Peguam Negara telah memfailkan suatu afidavit bersetuju dengan pandangan seorang saksi yang menyatakan Adib meninggal dunia akibat kemalangan – bertentangan dengan pandangan saksi yang menyatakan sebaliknya – walhal Mahkamah Koroner masih lagi bersidang dan belum membuat sebarang dapatan.

“Hal yang demikian menzahirkan pihak Peguam Negara telah mengambil alih peranan Mahkamah Koroner walaupun prosiding masih belum selesai.

“Perlu difahami bahawa inkues bukanlah suatu prosiding dimana ada pihak yang bertentangan atau berlawan, ada yang menang atau kalah. Tujuan inkues adalah untuk mendapat tahu apa yang berlaku melalui saksi-saksi. Oleh itu jika semua fakta dan pandangan tidak dizahirkan sepenuhnya adakah matlamat inkues ini dapat dicapai?

“PPMM kesal dengan tindakan tidak professional seperti ini dan keadilan mestilah dilakukan kepada Adib. Peguam Negara perlu menjelaskan sepenuhnya apa yang berlaku tanpa berselindung di sebalik kuasa yang ada pada beliau,” katanya.


Tiada ulasan: