Selasa, 28 Mei 2019

Kes kehilangan pemandu Grab: Polis tahan dua suspek

THE MALAYSIAN TIMES
 


KOTA KINABALU: Polis memberkas dua suspek lelaki termasuk seorang warga asing bagi membantu siasatan kes pemandu Grab dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata kedua-dua suspek berusia 20 dan 24 tahun itu ditahan di 1Borneo kira-kira pukul 9 malam tadi hasil kerjasama dan rekod daripada pihak Grab.

“Rekod daripada Grab menunjukkan bahawa kedua-dua suspek berkenaan adalah penumpang terakhir yang menaiki kenderaan mangsa pukul 4 pagi Jumaat lepas, dari Kingfisher ke Tuaran.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek berkenaan mengaku membunuh dan membuang mangsa di sebuah kawasan di Tuaran dan kita percaya ini adalah kes samun…namun kita masih membuat siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam penduduk kampung menemui mayat di Kampung Shahbandar, Tuaran sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis, pada 3.30 petang.

Omar berkata bagaimanapun keluarga Mohd Hanafiee Jaafar, 27, pemandu Grab yang dilaporkan hilang tidak dapat mengenal pasti sama ada mayat yang ditemui adalah Mohd Hanafiee kerana keadaan mayat yang telah mereput.

“Namun kita telah mengambil cap jari mangsa dan kita akan buat pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Sejak Ahad lepas, tular di media sosial mengenai kehilangan seorang pemandu Grab. Bagaimanapun kereta dipandu mangsa ditemui di kawasan tapak Bazar Ramadan, Indah Permai, Sepanggar, pada 12.30 tengah malam Ahad lepas.

Pemeriksaan mendapati kereta mangsa berkunci sebelum menyedari terdapat kesan darah di bahagian stereng, brek tangan, pintu depan dan cermin.–Bernama 

Tiada ulasan: