Jumaat, 31 Mei 2019

Lelaki didakwa ugut pecahkan muka pendakwah Zamri Vinoth

Zamri Vinoth pernah direman 4 hari sehingga 1 Mei lalu untuk 
membantu siasatan atas dakwaan beliau menghina agama Hindu.

KANGAR: Seorang bekas penyampai radio dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mengugut untuk mencederakan pendakwah, Zamri Vinoth.

S Shankar Ganesh didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dengan mengugut mahu memecahkan muka Zamri pada awal pagi 2 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 7 tahun, denda atau kedua-duanya.

Majistret, Norhayati Ibrahim membenarkan Shankar diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 16 Jun untuk sebutan semula.

Shankar ketika dihubungi mempersoalkan dakwaan terhadapnya.

Dia mendakwa berang dengan Zamri yang menghubunginya pada tengah malam.

“Terdapat lebih 1,000 laporan polis difailkan terhadapnya kerana kenyataannya menghina agama Hindu. Kenapa tiada tindakan diambil sehingga sekarang?” soalnya

Zamri direman 4 hari sehingga 1 Mei lalu untuk membantu siasatan atas dakwaan beliau menyebabkan perpecahan dan menyalahgunakan kemudahan rangkaian dalam satu video yang mendakwa beliau menghina agama Hindu. Beliau bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Ketua Polis Negara ketika itu, Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata polis menerima 867 laporan terhadap Zamri bulan lalu.

Zamri juga mempunyai beberapa rekod jenayah kerana merogol, pecah amanah dan melakukan serangan.

Tiada ulasan: