Rabu, 29 Mei 2019

Inkues Adib: Mahathir pertahan AG minta peguam tarik diri


   

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan Peguam Negara Tommy Thomas yang meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menarik balik pelantikan Syazlin daripada terus mewakili Kementerian itu dan bomba dalam inkues berhubung kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mengulas isu itu hari ini, Mahathir berkata, peguam negara mengambil langkah yang sewajarnya.

"Apa jua yang beliau (peguam negara) lakukan, mesti ada sebab.

“Sebabnya ialah, peguam itu (Syazlin) mewakili dua pihak yang bertelingkah. Jadi setidak-tidaknya harus menarik diri dari menjadi peguam bagi pihak kerajaan," katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Semalam, Syazlin - yang mewakili KPKT, bomba dan pada masa yang sama keluarga Adib menarik diri daripada inkues itu.

Susulan itu, Thomas hari ini tampil menjelaskan bahawa penarikan diri Syazlin adalah bagi mengelakkan peguam berkenaan mewakili tiga pihak yang mempunyai konflik kepentingan.

Thomas turut menjelaskan bahawa Pejabat Peguam Negara hanya memohon KPKT menarik pelantikan Syazlin daripada mewakili KPKT dan bomba, dan pihak mereka tidak mempunyai masalah jika peguam itu masih mahu terus mewakili keluarga Adib.

Mengulas perkara itu, Dr Mahathir bersetuju dengan Thomas dan berkata beliau terkejut apabila Syazlin menarik diri daripada inkues berkenaan.

"Dia (Syazlin) patut teruskan jadi peguam bagi keluarga Adib. Tapi dia tarik diri semua," kata pengerusi PH itu.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Menteri KPKT Zuraida Kamaruddin pada mulanya tidak maklum bahawa Syazlin juga mewakili keluarga Adib.

Mengulas gesaan untuk memecat peguam negara, Dr Mahathir berkata: "Menteri berkenaan (Zuraida) tidak tahu beliau juga menjadi peguam bagi keluarga Adib, awak mahu saya pecat (menteri) Zuraida juga?”

Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada 17 Disember lalu susulan kecederaan yang dialaminya ketika bertugas dalam kejadian rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman.


Tiada ulasan: