Rabu, 29 Mei 2019

UMNO, Pas pertikai Peguam Negara dalam inkues Adib


Wartawan MalaysiaGazette


MGF13052019_SIDANG-MEDIA-KHAS-PIMPINAN-PAS08-681x454
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan


KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas hari ini mendakwa arahan supaya peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili kerajaan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah satu campur tangan secara terbuka Tommy Thomas.

Malah, kedua-dua parti itu mempertikaikan keputusan Peguam Negara apabila mendakwa mengarahkan Syazlin menarik diri daripada mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, Jabatan Peguam Negara sepatutnya membantah pelantikan Syazlin ketika inkues itu bermula 3 bulan lalu dan bukannya selepas timbul percanggahan pendapat atau pertikaian antara pengendali inkues dan peguam kerajaan.

“Kenapa selepas lima bulan baru minta Syazlin tarik diri?

“Sebelum ini, peguam yang hendak mewakili Kuil Sri Maha Mariamman dibantah, tetapi peguam mewakili kementerian tidak pernah dibantah. Tommy bertindak di luar batasan kuasanya.

“Kita hendak beritahu Tommy, jangan kendalikan Jabatan Peguam Negara sebagai firma guamannya sendiri.

“Jabatan itu ada peraturan dan aturannya. Jangan buat perkara yang boleh menghilangkan keyakinan rakyat pada jabatan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO di PWTC di sini, hari ini.

Katanya, keadaan itu telah menyebabkan kedua-dua parti itu menzahirkan rasa bimbang dan ragu-ragu terhadap prosiding dan keputusan inkues yang diadakan.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu akan menyebabkan rakyat merasakan seolah-olah pihak Peguam Negara dari awal lagi tidak bersetuju bahawa Muhammad Adib meninggal dunia akibat dipukul semasa menjalankan tugasnya berdekatan kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield.

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
“Ini adalah satu daripada kegagalan Peguam Negara (Tommy) daripada banyak kegagalan yang telah berlaku.

“Kami mendesak Perdana Menteri memecat Peguam Negara ini dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) agar siasatan kematian Muhammad Adib dapat dilakukan seadilnya,” tegasnya.

Syazlin merupakan satu-satunya peguam KPKT dan JBPM, tetapi pada masa sama, turut mewakili keluarga Adib bersama empat peguam lain.

Inkues diadakan susulan kontroversi berhubung punca kematian Adib yang parah dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada November 2018.

Semalam Tommy menjelaskan, Syazlin menarik diri berada dalam kedudukan konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili KPKT dan JBPM kerana beliau juga turut mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues.

Dalam pada itu Takiyuddin menegaskan, partinya dan UMNO tidak mempolitikkan kes tersebut, sebaliknya hanya mahu membela seorang penjawat awam yang meninggal dunia ketika bertugas. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: