Jumaat, 31 Mei 2019

Bekas adun Kelaboran meninggal dunia di Makkah

MALAYSIAKINI

   
Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran Mohd Zaki Ibrahim meninggal dunia di Mekah, hari ini.

Perkara itu disahkan isterinya Raihan Zaki Yusof melalui satu hantaran di Facebook kira-kira jam lapan malam tadi.

"Allah lebih mengasihi dia. Dijemput kembali ke Rahmatullah di hari Jumaat, akhir Ramadhan di tanah suci Mekah.

"Jam 2.45 petang waktu Arab Saudi (jam 7.45 malam waktu tempatan). Pemergian yang dicemburui, kami reda dengan pemergianmu," katanya.

Menurut Harian Metro semalam, Mohd Zaki dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital King Aziz pada 29 Mei lalu berikutan komplikasi kencing manis yang dihadapi.

Allahyarham menunaikan umrah bersama isteri dan empat anaknya dan dijadual pulang ke tanah air pada 6 Jun ini (2 Syawal).

Mohd Zaki mula menjadi Adun Kelaboran di Kelantan pada PRU 2004, apabila menewaskan calon BN Wan Johani Wan Hussein. Beliau mengekalkan kemenangannya pada PRU 2008 dan PRU 2013, kedua-duanya dengan menewaskan calon BN Wan Hanapi Wan Yaakob.

Beliau bagaimanapun tidak bertanding pada PRU ke-14 pada tahun lalu.


Tiada ulasan: