Selasa, 28 Mei 2019

Khidmat pemutihan: 2 pengarah, pegawai pemasaran ditahan

ISMA WEB

Program Rehiring tamat pada 30 Jun 2018 dan tidak disambung


KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen menahan dua pengarah serta seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat agensi pekerjaan di Seri Kembangan dekat sini, kerana disyaki menawarkan khidmat pendaftaran program pemutihan warga asing yang tidak lagi wujud.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, tangkapan dibuat pagi semalam di pejabat syarikat itu di kawasan perniagaan Desa Ria, Seri Kembangan, menerusi operasi bersepadu antara Jabatan Tenaga Kerja Kementerian Sumber Manusia dan Pasukan Petugas Antipemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, sejumlah 29 pasport asing, resit pendaftaran serta iklan dirampas untuk tindakan lanjut selain menahan seorang warga asing disyaki menyalahgunakan pas dengan bekerja di premis berkenaan.

“Hasil risikan mendapati individu atau syarikat berkenaan dikesan menyasarkan majikan dan pendatang tanpa izin untuk mendaftar program itu menerusi media sosial dengan mengenakan bayaran tertentu sebagai deposit.

“Jabatan Imigresen memandang serius perkara ini kerana ia adalah satu sindiket penipuan. Program Rehiring telah tamat pada 30 Jun 2018 dan tidak disambung lagi selepas itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya percaya penipuan oleh syarikat itu dilakukan sejak Februari lalu dengan mengaut keuntungan atas angin bagi sejumlah pendatang tanpa izin yang kononnya didaftarkan untuk diputihkan.

“Pengarah dan pegawai pemasaran yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 56(1)(f) Akta Imigresen 1959/1963. Saya ingin menasihatkan majikan supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran sedemikian serta merujuk kepada Imigresen bagi mendapatkan khidmat nasihat dan maklumat berkaitan.

“Kami beri amaran kepada mana-mana syarikat agensi pekerjaan yang didapati terbabit dalam aktiviti penipuan seperti ini supaya menghentikannya serta merta atau bakal berdepan dengan tindakan tegas,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu adalah untuk memastikan individu berkaitan yang mengambil kesempatan ke atas majikan dan warga asing dikenakan tindakan sewajarnya, seterusnya tiada lagi majikan dan warga asing ditipu. – Bernama


Tiada ulasan: