Rabu, 22 Mei 2019

Najib: PH mahu beri projek RTS pada syarikat kroni

MALAYSIAKINI

   

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa dengan cadangan penswastaan Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS), maka pentadbiran PH memberi peluang kepada 'syarikat kroni' untuk mengaut keuntungan di atas projek kemudahan awam untuk orang ramai.

"Kini PH mahu syarikat swasta kroni diberi peluang untuk mengaut untung berpuluh tahun walhal ia adalah kemudahan awam yang sepatutnya manfaatkan rakyat dan bukan kroni," katanya pada suatu hantaran Facebook malam tadi.

Menurut Najib, "keuntungan projek RTS ini hampir pasti."

"RTS ini disasar untuk siap pada tahun 2024 dan akan dibina oleh syarikat usahasama kedua-dua negara dengan pecahan modal 50 peratus (Malaysia) - 50 peratus (Singapura) yang diberi konsesi 30 tahun.

"Kerajaan BN dulu lantik syarikat Prasarana milik kerajaan negara. Singapura lantik syarikat SMRT yang juga milik kerajaan mereka," katanya lagi yang menegaskan sudah menjangkakan perkara ini akan berlaku.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan kerajaan Malaysia berharap akan dapat menswastakan projek RTS.
Loke berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas menandatangani perjanjian tambahan untuk penggantungan projek berkenaan selama enam bulan sehingga September dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Khaw Boon Wan.

Hal ini, jelas Loke akan membolehkan kerajaan memiliki lebih banyak masa untuk memikirkan pilihan yang ada dalam mengurangkan kos RTS, yang sebelum ini dianggarkan sebanyak RM4 bilion.
Loke juga menafikan kerajaan telah mengenal pasti syarikat swasta untuk melaksanakan projek itu dan menegaskan keperluan untuk perbincangan lebih lanjut dengan Singapura.

Katanya, penangguhan projek berkenaan juga akan membolehkan kerajaan mengkaji terma dan syarat projek yang sedia ada untuk menurunkan tambang RTS.

"Sebelum ini apa yang kami lihat struktur kos agak tinggi dan ini melibatkan kadar tambang yang dicadangkan adalah RM15 satu hala.

"Jadi kalau RM15 satu hala, kita bimbang ia akan memberikan satu tekanan dan juga satu beban tinggi kepada rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang ulang alik ke Singapura untuk bekerja setiap hari," katanya.

Singapura bersetuju menggantung projek berkenaan sehingga 30 September, dengan syarat Malaysia membayar kos penangguhan (abortive cost) sebanyak RM2 juta, yang akan dibuat sebelum 30 Julai.


Tiada ulasan: