Rabu, 29 Mei 2019

Kenapa senyap, Suruhanjaya Tenaga yang benarkan TNB laksana caj prorata

Ainul Asniera Ahsan
 
ST


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Tenaga (ST) dipersoalkan mengapa ‘senyap sunyi’ berhubung rungutan orang ramai yang tidak berpuas hati dengan caj bil elektrik yang didakwa melambung tinggi.

Sikap memencilkan diri oleh ST selaku pengawal selia bagi perkhidmatan tenaga di negara ini menghairankan.

Masakan tidak, ST mengambil masa yang lama untuk membuat sebarang kenyataan berhubung rungutan dan persoalan yang dilemparkan oleh pengguna, sebaliknya hanya dijawab oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaku pemegang lesen dalam perniagaan bekalan elektrik.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), Piarapakaran S. berkata, tidak salah TNB yang menjawab persoalan pengguna tetapi cara itu tidak kena memandangkan perkhidmatan tenaga di negara ini mempunyai pengawal selia.

Menurutnya, sikap ST itu hanya mengakibatkan isu ini berlarutan, sedangkan pengguna menuntut jawapan.

“Sebagai pengawal selia kepada perkhidmatan tenaga di negara ini, ST yang bertanggungjawab membenarkan TNB melaksanakan mekanisme caj bil, oleh itu ST perlu menjawab kepada pengguna,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata, pengguna telah mengajukan persoalan-persoalan yang wajar tentang kenaikan, apatah lagi kenaikan ini tidak difahami oleh mereka.

“Sudah tentu pengguna terkejut, tidak puas hati kalau bil elektrik lebih tinggi dari sebelum ini. Jadi ST kena jawablah, terangkan mengapa ia berlaku,” ujarnya.

Piarapakaran menjelaskan rungutan orang ramai itu sebenarnya berpunca daripada kaedah bil prorata yang digunakan oleh TNB.

Bil prorata bermakna TNB membuat bacaan meter melebihi 30 hari. Lebihan hari selepas tempoh itu sepatutnya dibawa ke bulan berikutnya tetapi kini dikenakan caj prorata.

Mekanisme caj elektrik inilah yang menyebabkan bil meningkat.

Untuk bulan Februari yang hanya ada 28 hari dan bulan-bulan yang mempunyai 31 hari, penggunaan kaedah prorata adalah wajar tetapi bukan bulan-bulan yang mempunyai 30 hari.

Menurutnya, dari dahulu lagi pengguna memahami bahawa caj bil elektrik dibuat berdasarkan bulanan, justeru, mengapa TNB gagal untuk membaca meter pada hari ke-30 sehingga caj bil dikenakan melepasi tempoh sebulan.

Di Malaysia, Piarapakaran berkata, sekitar 70 peratus pengguna menggunakan bekalan elektrik kurang dari 300 kWj dan bakinya melebihi jumlah itu.

Kaedah pengiraan bil elektrik pula berdasarkan lebih banyak digunakan, lebih tinggi harga tarif mendenda akan dikenakan dan kadar tarif kepada penggunaan elektrik yang dikenakan pula lebih tinggi.

Lantaran itu, ST diminta menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku dalam sistem bacaan meter oleh kakitangan TNB sehingga mekanisme caj prorata perlu diwujudkan.

“Adakah syarikat ini mengalami masalah kekurangan pembaca meter di zon-zon tertentu atau kekangan cuaca?

“Hendak kata ada halangan cuaca, macam tidak logik pula kerana rungutan datang dari seluruh negara. Atau TNB kekurangan pembaca meter, kalau betul mengapa ia berlaku? Adakah ia disebabkan disiplin atau apa? Apakah cara untuk mengatasinya?

“Adakah perlu penambahan pembaca meter, kalau ya berapa ramai, jumlah kos yang diperlukan. Ini semua penting kerana penambahan pekerja-pekerja ini dimasukkan sekali dalam pengiraan tarif elektrik,” ujarnya.

Tambahnya, apakah langkah penyelesaian awal yang boleh ST dan TNB lakukan dalam menangani kelewatan tempoh 30 hari.

“Apakah alternatif lain dan implikasi kos kepada pengguna jika ST dan TNB mempercepatkan pemasangan meter pintar atau menambahkan bilangan pembaca meter?” soal beliau lagi.

Piarapakaran menegaskan, penjualan elektrik adalah komponen kos elektrik yang dikawal selia dan penjelasan ST adalah sangat penting.

“Kami berharap Suruhanjaya Tenaga tidak lari dan sorokkan diri daripada menjelaskan persoalan yang diutarakan oleh pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: