Isnin, 27 Mei 2019

112,635 peneroka Felda tunggu duit raya

Mazlan (tengah) dan Azmizam (kiri) pada sidang akhbar MPNF mendesak kerajaan memberi bantuan Aidilfi
Mazlan (tengah) dan Azmizam (kiri) pada sidang akhbar MPNF mendesak kerajaan memberi bantuan Aidilfitri kepada warga Felda.


KLANG - Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) akan menyerahkan satu surat kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi mendesak kerajaan memberikan insentif atau duit raya kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, surat berkenaan akan dihantar pada hari ini bagi membolehkan kerajaan mempertimbangkan permintaan warga Felda sebelum menjelang Aidilfitri.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya mempertimbangkan permintaan warga Felda terbabit kerana pemberian duit raya itu membantu mereka dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

"Jika tiada pemberian duit raya seperti tahun lalu agak sukar mereka (peneroka Felda) membuat persiapan raya kerana sebahagian mereka terpaka bergantung kepada pemberian anak masing-masing.

"Bagaimanapun, bukan semua anak peneroka boleh memberi kerana ada yang mampu dan tidak mampu," katanya pada Program Ramah Mesra Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah LPP Azmizam Zamanhuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, kerajaan Pakatan Harapan memperuntukkan RM50 juta bagi pemberian insentif kepada peneroka Felda tahun lalu bagi menyambut Aidilfitri.

“Saya harap kerajaan umum duit raya kepada peneroka ini sekurang-kurangnye seperti tahun lalu iaitu sebanyak RM450.

"Kami juga merayu kepada FGV Holdings Bhd. supaya mengambil langkah sama untuk menyalurkan duit raya kepada peneroka seperti amalan sebelum ini," ujarnya.

Akhbar sebelum ini melaporkan kerajaan tiada keputusan berhubung pemberian ‘duit raya’ kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara, susulan keadaan kewangan negara yang dibebani pelbagai hutang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebaliknya berkata, keutamaan kerajaan kini ialah untuk memastikan pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil dibayar kepada peneroka sebelum Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, kerajaan tidak berupaya memberikan sebarang janji dalam mengumumkan ‘duit raya’ kepada peneroka seperti amalan yang dilaksanakan sejak 2011, bagi memastikan setiap perbelanjaan menepati matlamat jangka panjang dan lestari. - K! ONLINE

Tiada ulasan: