Jumaat, 24 Mei 2019

Mukhriz mohon maaf kepada Sultan Johor

MALAYSIAKINI

   

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir hari ini memohon maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana tidak bersalam dengan baginda, semalam.

Setiausaha akhbar Mukhriz dalam kenyataan memaklumkan permohonan maaf itu disampaikan menerusi surat yang diutuskan kepada Sultan Ibrahim hari ini.

"Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir hari ini telah mengutus surat kepada DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

"(Ia) bagi memohon ampun dan maaf di atas kekhilafan beliau tidak bersalaman dengan baginda di Istana Abu Bakar di Pekan, Pahang semalam.

"Menteri besar telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaannya sendiri, dan tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah Darul Aman," kata kenyataan itu.

Insiden itu berlaku ketika Mukhriz memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar semalam.

Rakaman videonya insiden itu dimuat naik akaun Twitter Friends of Johor dan dikongsi Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menyifatkan tindakan itu sebagai biadab dan kebudak-budakan, Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah menuntut Mukhriz yang juga anak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada Sultan Ibrahim.

Mahathir dan kerabat diraja Johor sebelum ini bertikam lidah antaranya dalam isu Statut Rom, pelantikan menteri besar serta rombakan exco kerajaan negeri itu.

Awal bulan ini, Mahathir menggelar TMJ sebagai ‘budak bodoh’ dan memintanya tidak memberi komen terhadap perkara yang di luar daripada pengetahuannya,


Tiada ulasan: