Presiden PKR Anwar Ibrahim menyokong keputusan Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas perdana menteri Najib Razak.
Anwar yang juga merupakan ahli parlimen Port Dickson malah menyifatkan keputusan wakil rakyat DAP itu sebagai langkah bijak untuk mengelakkan ketegangan kaum.
“Kit Siang bukannya orang yang tak berani. Apa yang saya lihat, ramai kawan-kawan nasihat tak sesuai (debat) pada masa sekarang.
“Takut timbul ketegangan kaum. (Tarik diri) adalah satu keputusan yang baik,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.
Dalam laporan sama, Anwar juga dipetik menolak cadangan agar beliau menggantikan Lim.
“Nak saya debat dengan dia (Najib) buat apa... bulan-bulan puasa ni,” katanya dengan nada jenaka.
Lim dilihat sering menumpukan kritikannya terhadap Najib meskipun ahli parlimen Pekan itu bukan lagi perdana menteri atau presiden Umno.
Selasa lalu, Najib mencabar Lim untuk berdebat dengan sebarang topik.
Mengulas cabaran itu, Lim mencadangkan topik "Bagaimana Malaysia menjadi negara kleptokrasi global dan bagaimana kita mampu menjadi peneraju negara berintegriti".
Najib kemudian bersetuju dengan topik itu.
Dua hari kemudian, Lim memaklumkan bahawa dia menarik diri dari menyertai debat itu kerana menurutnya dia menerima banyak nasihat daripada penyokongnya untuk tidak turut serta.
Sebab utama yang dinyatakan adalah, menurut Lim, kebimbangan debat dengan Najib itu akan dijadikan "konflik Melayu lawan Cina".
Najib bagaimanapun mendakwa Lim sebagai memberi alasan.
"Adakah ini satu pengakuan dari Kit Siang bahawa DAP adalah parti Cina?
"Ini debat antara dua ahli parlimen. Tak ada kena-mengena dengan isu perkauman," kata Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan