Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucutkan hak ke atas harta dan aset yang disita bernilai jutaan ringgit milik bekas Exco Kerajaan Negeri Johor, anak dan menantunya.
Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan itu selepas meneliti semua exhibit selain mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini.
Beliau turut memerintahkan kesemua harta yang disita dikembalikan kepada pemilik berdaftar iaitu Abdul Latiff Bandi, anaknya Fauzan Hatim dan menantu perempuannya Nur Shaliza Mohamad Salleh.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat bagaimanapun memohon penangguhan pelaksanaan perintah bagi membolehkan SPRM mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 311 Kanun Prosedur Jenayah dalam masa 14 hari bermula hari ini.
Kamaruddin kemudiannya membenarkan permohonan SPRM untuk penangguhan pelaksanaan perintah berkenaan, yang jika gagal mengemukakan permohonan berkenaan, hak harta berkenaan akan dikembalikan semula kepada pemilik berdaftar.
Hakim turut membenarkan pihak responden menggunakan kenderaan yang disita dengan membuat permohonan kepada SPRM dalam tempoh penangguhan pelaksanaan perintah dengan syarat cagaran menerusi bon.
Abdul Latiff, yang hadir ke mahkamah memakai kemeja biru, diwakili peguam Abd Rahim Ali.
Pada Januari 2017, SPRM telah menyita enam buah kereta mewah pelbagai jenama termasuk Honda CRV, Toyota Land Cruiser, Honda HRV, Nissan Skyline, Porsche Cayeene, Toyota Vellfire selain 16 utas jam tangan mewah dan mata wang asing, kesemuanya dianggarkan bernilai jutaan ringgit.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan