Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
Pemuda Berjasa saran Bersatu kaji semula hubungan dengan DAP
BANGI– Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dinasihatkan
menilai kembali hubungan dan kerjasama yang dibuat bersama parti tamak
haloba DAP dan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).
Nasihat itu
diberikan, Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa) susulan
polemik isu program matrikulasi dan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik
yang semakin berselirat dan bersimpul, serta tidak ada tanda-tanda ia
akan reda dengan baik.
“Kenyataan
awal Menteri Pendidikan, Maszlee Malik mengenai kuota kemasukan ke
program matrikulasi dikekalkan dalam nisbah 90:10 untuk pelajar
Bumiputera:bukan Bumiputera, mengundang reaksi negatif daripada kem
beliau sendiri, hatta Timbalan Menteri Kewangan juga berdalih daripada
menyatakan sokongan terhadap keputusan Kabinet.
“Tambahan
pula keluar suara yang membantah keputusan berkenaan daripada rakan
sekutu lama DAP, Parti Gerakan, yang suatu ketika dahulu bergandingan
berarak dan berdemonstrasi di Kuala Lumpur,” kata Ketua Pemuda Berjasa,
Iqbal Hakim Abdul Razak dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu,
katanya, polemik ini berterusan apabila satu lagi kenyataan Maszlee
telah dipetik baru-baru ini yang mengaitkan sistem kuota matrikulasi
dengan diskriminasi dalam pasaran pekerjaan di Malaysia.
“Bertambah-tambah
reaksi negatif daripada kumpulan-kumpulan bukan Bumiputera, baik dari
kem PH mahupun pembangkang, sehingga wujud satu petisyen menuntut
menteri pendidikan dilucutkan jawatannya,” katanya.
Iqbal Hakim
berkata, Pemuda Berjasa melihat perkara ini bukan sesuatu yang
memeranjatkan kerana umum mengetahui kesepakatan dan kesatuan hati
antara komponen PH adalah rapuh dan lemah.
Beliau
berkata, situasi itu bukan hanya dapat dilihat dalam isu matrikulasi
sahaja, bahkan dalam banyak lagi isu lain, di mana dapat dilihat
kepimpinan PH sering menyanggah antara satu sama lain.
“Rakyat juga
melihat betapa dalam PH yang jelas memaparkan imej berkuasa lagi
menguasai adalah DAP. Rakan sekutu mereka yang lain hanya sekadar
berperanan untuk membantu DAP mengambil alih tampuk pemerintahan negara
daripada BN dalam PRU14.
“Setelah
itu, DAP yang memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju polisi
dan dasar negara. Lihat sahaja kepada tindak-tanduk mereka, lebih-lebih
lagi dalam Kementerian Pendidikan di mana timbalan menteri pendidikan
dipaparkan dengan imej bertindak cekap berbanding menteri pendidikan
sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Pemuda Berjasa menyeru pimpinan Bersatu untuk melakukan muhasabah dan menilai kembali pakatan bersama DAP.
“Tindakan
terbaik untuk kalian adalah dengan meninggalkan PH yang ternyata jelas
dipergunakan oleh DAP untuk meraih sokongan rakyat majoriti di Malaysia
iaitu orang Melayu dan Bumiputera, semata-mata demi mencapai kemenangan
dalam PRU14. Kini mereka sudah jadi kaduk naik junjung, kalian pula
ibarat habis madu sepah dibuang.
“Ketahuilah
sesungguhnya kestabilan politik dan sosial di Malaysia hanya dapat
dicapai dengan kesepakatan agenda rakyat majoriti, iaitu kesepakatan
orang Melayu Islam dan Bumiputera, dalam usaha membentuk perpaduan
nasional, pembentukan polisi dan hala tuju Kerajaan Malaysia demi
mencapai Malaysia yang aman makmur dan sejahtera berpanjangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan