Penilaian teknikal syarikat baju kalis api dalam peringkat akhir
IPOH
– Prosedur operasi standard (SOP) pengambilan anggota bomba wanita akan
diperbaharui, bagi memberi peluang lebih ramai golongan ‘hawa’
menyertai pasukan penyelamat itu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan
Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Beliau berkata, pihaknya telah meminta
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk
Muhammad Hamdan Wahid mengkaji semula proses dan ujian fizikal agar
pengambilan golongan itu dapat dipermudahkan.
“Ketika ini, peluang pekerjaan (anggota
bomba wanita) dibuka untuk semua tetapi golongan wanita kurang memohon
kerja sebagai anggota bomba kerana mereka menjangkakan kerja ini tidak
sesuai, dengan melibatkan banyak tugas-tugas fizikal yang agak kasar
seperti panjat bangunan atau memadamkan kebakaran.
“Sebenarnya, ada banyak lagi tugas-tugas
anggota bomba yang memerlukan penglibatan anggota wanita seperti memberi
latihan kesedaran dan kaunseling kepada orang awam khususnya suri rumah
mengenai program-program pencegahan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita
selepas majlis perjumpaan bersama warga JBPM Perak yang turut disertai
Pengarahnya, Azmi Osman di Balai Bomba Meru Raya, di sini, hari ini.
Zuraida berkata, ketika ini anggota bomba
wanita hanya kira-kira lebih 200 orang daripada keseluruhan 14,000
anggota di seluruh negara dan jumlah itu hanya sekitar lima peratus
sahaja.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata
penilaian teknikal ke atas syarikat yang berjaya memperoleh tender bagi
pembelian baju kalis api untuk anggota bomba kini dalam peringkat akhir.
Beliau berkata, baju kalis api baharu itu
bagi menggantikan pakaian sedia ada, akan diuji terlebih dahulu bagi
memenuhi standard dan piawaian yang ditetapkan.
Media sebelum ini melaporkan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia merampas 6,000 baju kalis api
bernilai RM13.5 juta selepas kontraktor dilantik membekalkan pakaian
yang berisiko kepada anggota bomba biarpun bernilai RM2,400 hingga
RM2,500 sepasang.
Malah, sembilan balai bomba di seluruh
negara berdepan masalah kekurangan baju kalis api pada tahap kritikal,
berikutan tiada pembelian baharu sejak dua tahun lalu sehingga memaksa
anggota menggunakan pakaian usang atau berkongsi dengan rakan yang tidak
bertugas jika berlaku kebakaran. -Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan