Isnin, 13 Mei 2019

Hindraf 2.0 minta tambah tujuh kerusi Parlimen wakil India

fazleen safina 

Wakil rakyat BN, PH dituduh ketepi isu berkaitan masyarakat India


BANGI– Kumpulan hak asasi masyarakat India, Hindraf 2.0, menggesa diwujudkan tujuh lagi kerusi Parlimen majoriti India bagi menambah suara kaum itu di Dewan Rakyat, lapor sebuah portal berita, hari ini.

Free Malaysia Today (FMT) memetik Ketua Umum Hindraf 2.0, P Uthayakumar sebagai berkata, kumpulan itu tidak berpuas hati dengan dasar ‘perkauman dan ketuanan’ yang menjejaskan kaum India sejak 62 tahun lalu, berterusan.

Katanya, walaupun Hindraf 2.0 mahu melihat politik perkauman dihentikan, permintaan tujuh kerusi baru itu dibuat kerana orang Melayu dan Cina tidak membangkitkan isu berkaitan masyarakat India, tidak kira mereka daripada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang, suara orang India tidak kuat di Parlimen, pemimpin Melayu dan Cina yang lebih ramai dalam Parlimen tidak mampu membawa suara orang India.

“Di negara Barat, kaum majoriti akan bersuara bagi pihak minoriti. Tetapi di Malaysia, orang Melayu dan Cina yang lebih berkuasa dari segi politik dan ekonomi jarang bersuara bagi orang India,” katanya berucap pada perhimpunan anjuran Hindraf 2.0 sempena setahun pentadbiran Pakatan Harapan di Brickfields yang dihadiri kira-kira 100 orang hari ini.

FMT melaporkan Hindraf 2.0 ialah pertubuhan berbeza daripada Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy.

Uthayakumar berkata, cadangan mewujudkan kerusi baru bagi kawasan majoriti India bukan perkara baru kerana negara seperti India, Iraq dan Israel turut mempunyai kawasan pilihan raya didiami kaum minoriti yang ramai.

“Kami meminta kerusi Padang Serai, Batu Kawan, Ipoh Barat, Kota Raja, Port Dickson, Tebrau dan Cameron Highlands dilakukan persempadanan semula dan menjadikan kawasan itu majoriti pengundinya India.

“Ahli Parlimen itu tidak semestinya berbangsa India. Beliau boleh terdiri daripada wakil rakyat Cina atau Melayu, tetapi beliau mewakili kawasan majoriti India dan akan membangkitkan isu yang menjejaskan kaum itu,” katanya sambil menambah jika permintaan itu menjadi realiti, isu kaum India lebih mudah diketengahkan di Parlimen.

Beliau turut membangkitkan isu kewarganegaraan dengan anggaran 350,000 orang India tidak berkerakyatan dan hanya sedikit kemajuan dicapai sejak PH mentadbir negara setahun lalu.

“Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan Jabatan Pendaftaran Negara menyelesaikan semua isu dihadapi orang tanpa kerakyatan,” katanya memetik laporan media yang menyatakan hanya 1,841 orang India diberikan kewarganegaraan sejak PH berkuasa setahun lalu dan ia kurang satu peratus daripada kaum itu yang masih tidak mempunyai kerakyatan.
 
 

Tiada ulasan: