Isnin, 13 Mei 2019

Kit Siang perlu 7 keturunan tebus maruah di Cameron Highlands

ISMA WEB

Kemenangan di PRK Sandakan tak dapat ubati luka penasihat DAP


BANGI – Kemenangan DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan semalam, tidak akan memulihkan maruah penasihat parti itu, Lim Kit Siang yang terluka akibat kekalahan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) di Cameron Highlands.

Sambil menyindir, bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, Kit Siang memerlukan tujuh keturunan untuk memulihkan maruah dan luka kekalahan di PRK Parlimen Cameron Highlands.

“Kit Siang kata kemenangan DAP di Sandakan merupakan ‘tamparan hebat’ kepada ‘malu apa bossku’. Tetapi mana satu pukulan maut antara menang di Sandakan kalahkan calon PBS yang bukan BN dengan kalah kepada ‘UMNO’ (BN) di Cameron Highlands.

“UMNO dengan DAP adalah seteru sepanjang zaman. DAP cukup benci dengan UMNO. Keutamaan DAP ialah memusnahkan UMNO dulu, kini dan selamanya. Tetapi mereka tidak pernah bertemu satu lawan satu di dalam gelanggang.

“Ditakdirkan mereka bertempur di Cameron Highlands. DAP kalah teruk. Sudah tentu dendam kesumat Kit Siang memuncak. Justeru kemenangan DAP di Sandakan tidak akan dapat memulihkan maruah Kit Siang yang terluka di Cameron Highlands. Ia perlu tujuh keturunan untuk memulihkannya,” kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu, hari ini.

Pada PRK Sandakan semalam, DAP mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila calonnya, Vivian Wong Shir Yee, menewaskan empat pencabar lain. Wong peroleh majoriti 11,521 undi, selepas mendapat 16,012 undi.

Manakala calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin, mendapat 4,491 undi.

Mengulas lanjut, Puad berkata, kemenangan di kawasan majoriti Cina hanya mengesahkan status quo DAP sebagai parti orang Cina.

“Lagi pun lawannya adalah PBS yang bukan lagi komponen BN. Kit Siang hanya ada satu lagi pilihan. Iaitu lawan sekali lagi UMNO di tempat yang bukan majoriti Melayu. Ada berani?,” katanya.


Tiada ulasan: