ISMA WEB
Ustaz cerita nostalgia bersama pelajar semester lima Diploma Pengajian Islam Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah
BANGI
– Perginya pada penghulu segala hari, pada bulan yang lebih baik
daripada 1,000 bulan, di tempat mulia iaitu di dalam masjid, dan ketika
itu dia sedang mengungkap kebesaran Allah, mengajak manusia menyembah
Allah, sujud kepadaNya – dia melaungkan azan solat Jumaat, kelmarin.
Tatkala
mengalunkan azan di Masjid Sungai Panching Selatan di Kuantan, Muhammad
Amirul Najmie Muhammad Asrull Leonard tidak sedarkan diri hinggalah
pengakhiran hayatnya.
“Selamat
pulang wahai teman. Rehatlah, sungguh kami cemburu dengan cara Allah
mengambilmu. Saya rasa tidak perlu saya perkenalkan siapa adinda Amirul
ini pada saya. Ramai orang tahu yang dia kawan rapat saya.”
Itu yang
diceritakan Ustaz Muhammad Izzan Idris mengenai rakan baiknya, yang juga
pelajar semester lima Diploma Pengajian Islam (Pengkhususan Dakwah dan
Pengurusan) Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).
“Gambar
kami yang beratus-ratus keping, selalu menjadi teman lepak saya, teman
bercerita saya, kalau Ramadan biasanya dia akan teman saya ke
masjid-masjid tempat saya bertugas imam Tarawih.
“Amirul
yang saya kenali: Dia seorang yang sangat meminati bacaan al-Quran saya,
sehinggakan bila saya mengaji dalam kereta pun, dia pasti akan rakam.
“Dia
seorang yang banyak membantu orang. Dia seorang yang ceria. Mudah
didekati. Dia seorang yang sentiasa gigih dalam apa yang dia lakukan.
Saya teringat dia selalu minta saya ajar cara mengeluarkan suara yang
betul ketika azan. Sehingga dapat, dia usahakan,” katanya.
Ustaz Muhammad Izzan berkongsi kesedihan itu dalam laman Facebooknya semalam.
“Semalam
hari yang saya rasa seolah mimpi. Amirul, kau telah pergi selamanya.
Bertemu Allah dalam keadaan kau sedang mengalunkan azan Jumaat. Jemaah
melihat hal ini. Menjadi saksi mulianya kau menghadap Sang Pencipta.
“Gelak
tawa, susah senang dan memoriku bersama kau Mirul, tak kan sesekali
dilupakan. Aku yakin kau juga senang bersama aku. Allah pinjamkan 3
tahun untuk kita saling mengenali. Moga kita tergolong dalam apa yang
dijanjikan Allah menerusi sebuah hadith baginda
“Nabi saw
berkata, sesungguhnya Allah akan berkata di hari akhirat kelak: Di mana
mereka yang saling berkasih kerana keagunganKu? Hari ini Aku naungi
mereka dengan naunganKu. Dan hari ini tidak ada naungan melainkan
naunganKu sahaja. Banyak lagi kalau saya hendak tulis tentang Amirul.
Namun linangan air mata lebih pantas dari jari yang mencatit,” kata
Ustaz Muhammad Izzan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan