Isnin, 20 Mei 2019

Kit Siang nafi kempen DAP singkirkan Maszlee

MALAYSIAKINI

   

Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menafikan spekulasi yang cuba menggambarkan DAP berusaha untuk menyingkirkan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Lim merujuk beberapa portal politik yang melaporkan DAP dikatakan mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menggantikan Maszlee dengan timbalannya, Teo Nie Ching daripada parti itu.

"Tidak ada kebenaran dalam posting itu, yang mana adalah bohong dan palsu.

"DAP tidak pernah minta Perdana Menteri untuk menggantikan Maszlee dengan Teo Nie Ching sebagai Menteri Pendidikan dan DAP tidak ada kena-mengena dengan mana-mana petisyen yang meminta Maszlee meletakkan jawatan - dan pembohongan ini hanyalah permulaan penipuan yang akan muncul dalam media sosial pada minggu-minggu akan datang untuk menyebabkan ketegangan, keretakan dan perpecahan Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim sehubungan itu menggesa anggota PH menjaga disiplin dalam menghadapi sebarang usaha untuk mewujudkan pergeseran dalam gabungan itu.

"Satu disiplin baru diperlukan oleh semua pihak dalam Pakatan Harapan jika tidak Malaysia Baru tidak akan berjaya, yang hanya membawa balik (bekas perdana menteri) Najib Abdul Razak, Jho Low dan rentetan skandal mega kleptokrat yang akan menyebabkan Malaysia menjadi negara gagal, penyangak dan kleptokrasi, "katanya.

Terdahulu hari ini, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Yusoff mendakwa beberapa siri serangan dilakukan pemimpin DAP terhadap menteri pendidikan itu sejak tahun lalu.
Ia katanya, termasuklah cercaan terbaru dilemparkan anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Teng Chang Khim baru-baru ini yang menggelarkan Maszlee sebagai bodoh (foolish dan idiot).

Ini selepas Maszlee dilapor berkata kerajaan hanya boleh mempertimbangkan kuota matrikulasi dihapuskan jika Bumiputera yang tidak fasih bahasa Cina tidak ditolak permohonan pekerjaan mereka.




Turut mengeluarkan kenyataan keras terhadap Maszlee ialah seorang lagi ahli CEC, yang juga timbalan menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang menyifatkan Maszlee tidak berbeza dengan pemimpin Umno.

Menurut Kamarul, satu pestiyen telah digerakkan sejak tiga minggu bagi mendesak perdana menteri memecat Maszlee dan ia telah berjaya mengumpul lebih 48,000 tandatangan.

Dua hari lalu, katanya, satu gerakan yang dinamakan 'No Hope Malaysia' telah membuat satu lagi petisyen yang kini telah mengumpul lebih 12,000 tandatangan bagi tujuan yang sama.


Tiada ulasan: