Serangan terbaru pemimpin DAP terhadap Dr Maszlee
ULASAN | Saya memerhatikan dengan penuh minat serangan terbaru pemimpin DAP terhadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, dalam isu kuota pelajar matrikulasi universiti awam.
Perit sekali tentunya membaca cercaan Ahli CCC DAP merangkap Ahli EXCO Kerajaan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, bahawa Dr Maszlee bodoh ('foolish' dan 'idiot').
Turut keras adalah kenyataan Ahli CCC DAP merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, bahawa Dr Maszlee tidak berbeza dengan pemimpin UMNO.
Apatah lagi apabila cercaan dan kenyataan ini dilaporkan oleh media massa, termasuk oleh media antarabangsa berpengaruh seperti Channel News Asia pada 17 Mei lalu.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama Dr Maszlee selaku Menteri Pendidikan berhadapan dengan serangan pemimpin DAP kerana sebelum ini pun ia pernah beberapa kali berlaku.
Kali pertama adalah bila Dr Maszlee memaklumkan di parlimen mengenai tiadanya peruntukan bagi SMPC kerana SMPC tidak termasuk dalam sistem pendidikan nasional.
Paling kuat menyerang beliau pada waktu itu adalah Ketua Dapsy Kebangsaan merangkap Anggota Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan Adun Bercham, Ong Boon Piow.
Didesak letak jawatan
Kali kedua adalah bila Dr Maszlee menasihatkan di parlimen supaya guru-guru agama dari Semenanjung yang bertugas di Sarawak menjadikan negeri itu sebagai “medan dakwah”.
Menyerang beliau adalah Adun Bukit Assek, Irene Mary Chang dan Setiausaha Publisiti Dapsy Sarawak merangkap Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa.
Dengan lonjakan dalam nada serangan pemimpin DAP ini, bolehlah dijangkakan bahawa akan ada tindakan yang lebih agresif bagi menggugat kedudukan Dr Maszlee selepas ini.
Ditambah dengan bakaran rakan seperarakan 1969 (Gerakan) supaya DAP mendesak perdana menteri memecat Dr Maszlee yang 'rasis' dan 'di bawah prestasi'.
Petisyen pecat Maszlee
Dua hari lalu pula 'No Hope Malaysia' telah membuat satu lagi petisyen yang kini telah mengumpul lebih 12,000 tandatangan bagi mendesak Dr Maszlee meletakkan jawatan.
Agak memeranjatkan bila masih ramai yang seperti belum sedar mengenai tema asas semua serangan ini dan bila hampir tidak ada yang berani mempertahankan Dr Maszlee.
Oleh itu, walau apa perbezaan atau sungutan yang ada, sebagaimana mereka dapat bersatu, eloklah jika kita membela beliau atas sifat beliau sebagai mangsa kerakusan.
*KAMARUL ZAMAN YUSOFF adalah pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan penulis rencana di Harakadaily.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan