Sumber dalaman Umno mengakui memang wujud gerakan pihak
tertentu untuk membawa Ahmad Zahid Hamidi menjadi presiden parti itu
semula.
Bagaimanapun sumber itu enggan mendedahkan bahagian mana yang terlibat dalam gerakan tersebut.
"Memang ada usaha digerakkan penyokong dan ketua bahagian yang mahu membawa balik Ahmad Zahid menerajui Umno," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Bagaimanapun kata sumber terbabit buat masa ini Ahmad Zahid agak keberatan dengan gerakan tersebut kerana berpendapat Umno kini berada dalam keadaan selesa dan tidak perlu diganggu.
Katanya Ahmad Zahid hanya akan bersedia mengambil semula tugas sebagai presiden Umno jika penyandang - Mohamad Hasan - menyerahkannya secara baik dan rela.
"Beliau (Ahmad Zahid) hanya akan mengambil alih jawatan itu sekiranya Mohamad sendiri berasakan sudah tiba masanya untuk beliau menyerahkan jawatan itu kembali," katanya.
Minta lepas terus
Apabila PRU ke-14 diadakan Umno dan BN - buat pertama kali - gagal mendapat mandat daripada rakyat untuk kembali menerajui Putrajaya.
Gabungan itu juga gagal berkuasa semula di hampir semua negeri di Malaysia. Kegagalan itu mendorong Najib Razak berundur daripada jawatannya sebagai presiden Umno.
Melalui pemilihan yang diadakan kemudian Ahmad Zahid memenangi jawatan presiden Umno, namun beliau disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan didakwa di mahkamah atas 47 tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa.
Keadaan
itu mengundang desakan dari dalam Umno sendiri untuk beliau bercuti
sementara kesnya diselesaikan di mahkamah. Mohamad yang memenangi
jawatan timbalan presiden Umno kemudian mengambil alih tugas sebagai
presiden.
Hari ini pula, Ketua Umno Tebrau, Maulizan Bujang, secara terbuka meminta Ahmad Zahid melepaskan terus kepemimpinan parti itu kepada orang lain.
Kata Maulizan desakan itu dibuat selepas pihaknya menyedari terdapat gerakan untuk membawa balik Ahmad Zahid menjadi presiden Umno.
Menurut sumber terbabit Ahmad Zahid memang sedar Umno berdepan risiko perpecahan jika beliau membuat keputusan kembali menerajui Umno.
"Keadaan Umno ketika ini cukup elok dan Ahmad Zahid tidak berhasrat untuk merosakkannya.
"Beliau sedar jika kembali menerajui Umno pada masa ini akan berlaku perpecahan dalam Umno, akan wujud kumpulan tertentu.
"Maka akan wujudlah team Zahid dan team Mat Hasan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan