Jumaat, 24 Mei 2019

Bas bawa 27 penumpang termasuk pelajar kolej vokasional dan MRSM

ISMA WEB
SEREMBAN – Seorang pelajar maut manakala 20 lagi dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas henti-henti Mybas dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir, bagaimanapun berkata, tahap kecederaan mangsa yang terbabit dalam kemalangan kira-kira jam 4 petang itu belum dapat dipastikan.

“Siasatan masih diteruskan dan maklumat penuh akan menyusul,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Difahamkan, mangsa yang maut adalah pelajar lelaki Kolej Vokasional Kuala Klawang, berusia 17 tahun berasal dari Selangor yang baru selesai menduduki peperiksaan akhir semester pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, bas terbabit membawa seramai 27 penumpang, termasuk pelajar Kolej Vokasional Kuala Klawang dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, ketika kejadian.

“Bas itu dipercayai terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar pokok lalu, terbalik berdasarkan keadaan di lokasi kejadian. Bagaimanapun pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar.

“Kami tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 4.15 petang dan melihat beberapa pelajar terbaring di atas jalan raya. Seorang tersepit dan dipercayai telah meninggal dunia. Empat cedera parah,” katanya.


Tiada ulasan: