Tun Abdul Hamid Mohamad
Apa yang berlaku sekarang dan akan menjadi lebih buruk jika Akta Hasutan dimansuhkan ialah penyalahgunaan kebebasan bersuara
SETIAP
kali saya berasa mungkin saya tidak perlu, malah tidak akan menulis
lagi, ada sahaja sesuatu yang berlaku yang menyebabkan saya menulis
lagi.
Kali ini,
apabila saya menerima WhatsApp daripada Datuk Zaini Hassan yang
menghantar surat terbuka Prof Emiritus Datuk Dr Hashim Yaacob (yang saya
tidak kenali) kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada saya.
Dalam
tahun 2014, mungkin sayalah yang paling banyak menulis dan berucap
menentang cadangan Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri (PM) Barisan
Nasional (BN), pada masa itu untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948.
Semua
ucapan-ucapan itu boleh didapati dalam laman web saya. (Untuk memudahkan
rujukan, saya berikan tarikhnya, iaitu 17-07-2014, 21-07-2014,
06-09-2014, 03-10-2014, 23-11-2014 dan 10-12-2014 (Di dalam laman-laman
web saya ia disusun terbalik, iaitu yang paling awal di akhir sekali.)
Saya
menentang pemansuhan Akta Hasutan atas alasan yang saya bahagikan kepada
dua bahagian. Pertama, procedure yang digunakan dan, kedua, mengenai
merit (baik tidaknya) pemansuhan itu.
Ringkasnya,
mengenai procedure, pertama, Akta Hasutan terletak di bawah bidang
kuasa Menteri Dalam Negeri (pada masa itu Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi).
Tetapi
usaha memansuhkannya dan menggantikannya dengan apa yang dikenali dengan
tiga Rang Undang-undang Harmoni, diambil-alih oleh Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Tan
Sri Joseph Kurup (anak negeri Sabah).
Kedua,
biasanya, isu dasar seperti sama ada sesuatu akta itu hendak dipinda
atau dimansuhkan dan digantikan atau tidak, ditentukan oleh kementerian
yang bertanggungjawab melaksanakan akta berkenaan kerana ia mengetahui
di mana terdapat kelemahannya dan ia mempunyai segala maklumat,
termasuk, dalam kes ini, maklumat rahsia, yang perlu ditimbang sebelum
ia dibawa ke Kabinet.
Tetapi,
dalam cadangan memansuhkan Akta Hasutan itu, dalam tahun 2014, soal
dasar diserahkan kepada Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUUD),
sebuah jawatankuasa yang ditubuh oleh Majlis Konsultansi Perpaduan
Negara (MKPN) atau dalam Bahasa Inggerisnya, National Unity Consultative
Council (NUCC). MPKN ditubuh oleh JPNIN.
Lebih
menarik ialah Pengerusi JUUD itu ialah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli
Parlimen PAS, Parit Buntar (sekarang Menteri di JPM) dan Timbalan
Pengerusi JUUD ialah Lim Chee Wee, bekas Presiden Majlis Peguam.
Ketiga,
mengikut amalan biasa, gubalan sesuatu rang undang-undang adalah tugas
Peguam Negara. Mengapa dalam kes itu ia diambil-alih oleh Majlis Peguam?
Usaha itu
ditentang dengan kuatnya oleh NGO-NGO Melayu/Islam diketuai oleh
Perkasa. (yang mengadakan Konvensyen Perpaduan Nasional pada 23 November
2014, iaitu empat hari sebelum Persidangan Agung Tahunan UMNO 2014.
Saya
dijemput menyampaikan ucapan khas di konvensyen itu. Dalam ucapan itu,
antara lain, saya menjawab alasan yang diberi oleh Datuk Mujahid bahawa
akta itu adalah warisan penjajah (sebab ia dibuat dalam tahun 1948).
Saya jelaskan:
“Akta
Hasutan asalnya dibuat oleh British dalam tahun 1948 apabila Persekutuan
Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan
British. Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana
menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja
atau Kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara
yang tidak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran
keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia di
kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum.
“Bukan
semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British dalam tahun
1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, ia itu
Seksyen 3(1)(f) dibuat selepas Peristiwa 13 Mei 1969 di era Tun Abdul
Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa yang serupa. Seksyen itu
dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970
(P.U. (A) 282/1970) berkuat kuasa pada 10.8.1970. Bagi saya, kewujudan
Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang
Melayu dan Tun Abdul Razak Bin Hussain.
“Ringkasnya,
Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan bahahwa adalah menjadi kesalahan bagi
seseorang jika dia mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan Bahasa
Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, perizaban kuota berkenaan dengan
perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri
Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-Raja Melayu.”
Sehari
selepas persidangan itu, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil, Ketua
Pergerakan Wanita UMNO, dalam ucapannya di Persidangan Agung UMNO 2014
menyatakan pendiriannya membantah pemansuhan Akta Hasutan. Pendiriannya
itu bercanggah dengan pendirian Datuk Seri Najib, Presiden UMNO.
Datuk Seri
Sharizat memberitahu saya apabila kami bertembung di PWTC bahawa beliau
membuat keputusan sedemikian kerana, ke mana sahaja beliau pergi,
beliau diminta merujuk kepada rencana saya mengenainya.
Esoknya,
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapannya di
persidangan itu menyatakan pendirian yang sama. Malah beliau memetik
ucapan saya. Ini akuannya sendiri sambil menambah, “Saya mendapat
inspirasi dari Tun Hamid.”
Esoknya,
iaitu sehari sebelum ucapan rasminya di persidangan itu, Datuk Seri
Najib membuat U-turn dan menyatakan dalam sidang akhbarnya bahawa Akta
Hasusan tidak akan dimanuhkan, tetapi akan ditambahbaik. Beliau
mengulanginya dalam ucapan rasminya di persidangan itu.
Tidak syak
lagi bahawa beliau membuat keputusan itu kerana tentangan dalam UMNO
sendiri, NGO-NGO Melayu yang diketuai oleh Perkasa, walaupun Datuk Seri
Azman Ujang mengatakan ucapan saya itu memain peranan penting. Antara
lain, katanya:
“Penentangan
dalam UMNO terhadap janji Datuk Seri Najib Razak untuk memansuhkan Akta
Hasutan 1948 itu adalah ‘time bomb’ yang akan meletup di perhimpunan
agung parti pada minggu lalu jika Perdana Menteri tidak memadamnya
(diffuse) pada saat-saat akhir ….
“Sesuatu telah berlaku pada 23 November, hanya empat hari sebelum ucapan pembukaan Najib di perhimpunan…
“Pada hari
itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata bahawa
cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan adalah satu kesilapan.
“Berucap
di konvensyen mengenai perpaduan negara, Hamid mengingatkan negara
bahawa walaupun akta itu diadakan oleh pihak British untuk menangani
bangkangan terhadap pemerintahan kolonial, ia juga mengharamkan
perbuatan mencetuskan kebencian antara kaum dan ketidaksetiaan kepada
raja-raja Melayu. …
“Dan beliau mengatakan bahawa tidak semuanya dalam akta itu dibuat oleh Inggeris.”
Kemudian
tibalah hujah yang menyebabkan ‘perubahan hati’ Najib atas pendirian
tegarnya yang terdahulu untuk memansuhkan akta itu. Itulah tujuannya
sehingga 5 September.
“Hamid
mendedahkan bahawa pindaan yang paling penting kepada akta itu dibuat
selepas 13 Mei 1969 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, bapa Najib.
“Beliau
berkata Seksyen 3(1)(f) ditambah untuk mengelakkan berulangnya tragedi
13 Mei. Pindaan itu menjadikan suatu kesalahan untuk mempersoalkan hak
kewarganegaraan, kedudukan raja-raja Melayu, status bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, dan peruntukan kuota khas dan permit kepada
orang Melayu dan anak- anak negeri Sabah dan Sarawak.
“Bagi
saya, pengwujudan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan
politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak,” katanya.
Dalam
ucapannya di perhimpunan itu, Najib mengumumkan bahawa akta itu akan
dikekalkan disambut tepukan gemuruh perwakilan yang paling riuh
(rapturous) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.” (Terjemahan
saya) (The Sun 4 Disember 2014)
Dalam kata-kata lain, Datuk Seri Najib telah memungkiri janjinya kepada NGO-NGO bukan Melayu untuk memansuhkan Akta Hasutan.
Sekarang
BN telah ditumbangkan oleh Pakatan Harapan. Datuk Seri Mujahid menjadi
Menteri. Demikian juga dengan Datuk Saifuddin Abdullah, seorang ahli
MKPN. Maka, tidak hairanlah jika cadangan itu dihidupkan semula.
Tetapi,
jika dahulu terdapat tiga ‘highjacking’, sekarang, setakat yang
diketahui, hanya satu. Sekarang, Menteri Dalam Negeri adalah Tan Sri
Muhyiddin. Akta Hasutan terletak di bawah bidang kuasanya. Mengapa
Menteri di JPM (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong mengambil alih
untuk memansuhkannya?
Harus
diingati bahawa Menteri di JPM (Undang-undang) bukan bertanggungjawab
mengenai undang-undang yang terletak di bawah bidang kuasa semua
kementerian. Beliau hanya bertanggungjawab mengenai undang-undang bagi
perkara-perkara yang terletak di bawah jabatan-jabatan yang terletak di
bawah JPM, termasuk mahkamah.
Akta
Hasutan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Mengapa
beliau mengambil alih tugas itu? Mengapa TS Muhyiddin membiarkannya?
Apa pendirian Kementerian Dalam Negeri? Apakah pendirian Tan Sri
Muhyiddin sekarang?
Mengenai meritnya, memadai kita tumpukan kepada Seksyen 3(1)(f) yang memperuntukkan:
“(f) bagi
mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan,
kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh
peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153
atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”
Bahgian
III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai Bahasa
Kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai ‘perizaban kuota berkenaan
dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak
negeri Sabah dan Sarawak’. Mempersoalkan perkara-perkara itu menjadi
kesalahan di bawah akta berkenaan.
Soalnya,
adakah rakyat Malaysia sekarang begitu menghormati peruntukan
Perlembagaan Persekutuan sehingga mereka tidak lagi mempersoalkan
perkara-perkara itu yang menyebabkan peruntukan itu tidak perlu lagi?
Tanpa
menyenaraikan satu persatu apa yang berlaku, saya katakan bahawa, di
kebelakangan ini, keadaan telah menjadi lebih buruk. Pihak-pihak
tertentu bukan sahaja mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan
anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi
Raja-Raja Melayu, malah menghina Nabi Muhammad ﷺ, dan agama Islam.
Mereka
berani berbuat demikian kerana meraka tahu tindakan tidak diambil
terhadap mereka sebab pelaksanaan Akta Hasutan telah ‘digantung’.
Sebenarnya,
dalam undang-undang tidak ada kuasa yang diberikan kepada Kabinet untuk
‘menggantung’ pelaksanaan sesuatu akta. Selagi sesuatu akta itu masih
berkuat kuasa, adalah menjadi tanggungjawab eksekutif melaksanakannya.
Jika
eksekutif tidak melaksakannya, itu satu kegagalan eksekutif. Jika akta
itu tidak diperlukan lagi, eksekutif bolehlah membawanya ke Parlimen
untuk memansuhkannya.
Tujuan
Allahyarham Tun Abdul Razak mengadakan peruntukan itu ialah untuk
mengelak berulangnya Peristiwa 13 Mei. Adakah hubungan antara kaum
sekarang begitu baik hingga kemungkinan berulang peristiwa itu sudah
tidak ada lagi?
Saya tidak
berani berkata demikian. Saya percaya, pada masa ini ketenteraman masih
terkawal kerana orang Melayu masih bersabar dan tidak bertindak balas.
Bagaimana,
jika terlalu didesak, orang Melayu menyerang balas dan mempersoalkan
kerakyatan yang diberikan kepada orang bukan Melayu? Tidakkah
ketenteraman negara akan tergugat?
Semua itu
perlu difikirkan. Mungkin menteri yang berasal dari Sabah yang berumur
sembilan tahun dan tinggal di Sabah ketika Peristiwa Mei 13 belaku,
tidak dapat menghayati keperluan Seksyen 3(1)(f).
Apakah
pendirian yang patut diambil oleh orang Melayu? Dalam tahun 2014,
penentangan terhadap pemansuhan akta itu hanya di peringkat NGO dan
UMNO. Ia tidak menyeluruh ke semua peringkat masyarakat Melayu/Islam
seperti yang berlaku ketika penentangan terhadap ICERD.
Sekarang,
orang Melayu perlu berfikir sama ada mereka mahu hak keistimewaan orang
Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam,
institusi Raja-Raja Melayu dipersoalkan dan Nabi Muhammad ﷺ, dan agama
Islam terus dihina? Adakah mereka akan terus bersabar demi untuk
memelihara ketenteraman negara? Adakah mereka mahu Peristiwa 13 Mei
berulang?
Bukankah
lebih baik untuk mengekalkan akta itu untuk menghalang peristiwa seperti
itu berulang. Singapura pun masih mengekalkannya dan melaksanakannya
dengan tegas. Pokok pangkalnya ialah janganlah ia disalahgunakan. Apa
yang berlaku sekarang dan, saya khuatir, akan menjadi lebih buruk jika
Akta Hasutan dimansuhkan, ialah penyalahgunaan kebebasan bersuara.
Semua
penyalahgunaan adalah tidak baik. Tetapi, sebuah kerajaan yang
bertanggungjawab tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa. Sebaliknya,
penyalahguaan kebebasan bersuara oleh pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab boleh membawa bencana kepada seluruh negara. Fikirlah
sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan