Rabu, 1 Mei 2019

Abu Hassan sempat beri kuliah terakhir semalam


Zaini Samsu Hadi


WhatsApp-Image-2019-05-01-at-11
Allahyarham Abu Hassan Din ketika menyampaikan kuliah terakhir di Surau An-Nur di Seremban, semalam.
 

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz, 75, yang menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi, sempat menunaikan hajat jemaah Surau An-Nur di Seremban untuk menyampaikan kuliah khas selepas solat Maghrib semalam.

Beberapa keping gambar serta rakaman yang menunjukkan Allahyarham menyampaikan ceramah tular di laman sosial pagi ini.

Pengguna alam maya memuatnaik gambar dan rakaman berkenaan sejurus mengetahui kematian Allahyarham.

Berdasarkan pemerhatian pada video itu Allahyarham menyampaikan kuliahnya kira-kira 1 jam 45 minit.

Kelas bimbangan agamanya itu dihadiri orang ramai yang memenuhi setiap ruang di dalam surau berkenaan.

Allahyarham, 75, yang menghidap sakit jantung rebah di rumahnya di No.8, Lorong 3/12 B, Kampung Batu Muda di sini ketika sedang bersiap untuk menghadiri satu forum di Maahad Tahfiz di Kota Raja, Ipoh pagi ini.

Allahyarham kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi setelah beberapa kali bantuan pernafasan gagal diberikan kepadanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda selepas solat Zohor dan akan kemudian dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran masjid berkenaan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak yang lima daripadanya adalah perempuan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: