Memaparkan catatan dengan label CERAMAH. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CERAMAH. Papar semua catatan

Rabu, 21 Ogos 2019

'PAS patut izin tokoh agama PH berceramah di Kelantan'


   

Ketika PAS begitu lantang mengkritik kerajaan PH atas sekatan pihak berkuasa kepada Dr Zakir Naik di negara ini, Amanah pula menggesa kerajaan Kelantan menunjukkan keterbukaan dengan membenarkan pendakwah tidak sealiran dengan parti itu menyampaikan ceramah di masjid dan surau di negeri berkenaan.

Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, berkata kecaman PAS kepada PH bersandarkan kepada hak dan kebebasan yang dituntut agar diberikan kepada Zakir.

Justeru, katanya, kebebasan yang dimahukan itu perlu dibuktikan secara amali di Kelantan terlebih dulu.

"Jika PAS ikhlas dalam isu ini, mereka sepatutnya tidak menghalang tokoh-tokoh agama yang tidak sealiran untuk menyampaikan kuliah atau ceramah di masjid-masjid seluruh Kelantan.

"Misalnya pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nik Omar (Nik Abdul Aziz) yang tidak dibenarkan untuk menyampaikan ceramah di surau dan masjid di Kelantan.

"Larangan demi larangan seperti itu jelas memperlihatkan pimpinan PAS hanya mahu meraih kepentingan politik melalui isu Zakir," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Keberadaan Zakir di negara ini tidak begitu dipedulikan sebahagian besar rakyat Malaysia - kecuali beberapa pemimpin politik tertentu - selepas dia diberi taraf pemastautin tetap oleh kerajaan.

Penceramah PAS bebas di negeri PH
 
Bagaimanapun keadaan berubah selepas kerajaan Kelantan membawa Zakir untuk berceramah di Kota Bharu pada 10 Ogos lalu. Dalam program yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV itu, sebahagian ucapan pendakwah yang dikehendaki New Delhi itu menarik perhatian ramai apabila dia menyentuh mengenai kedudukan penganut Hindu dan orang Cina di negara ini.

Zakir mendakwa kenyataannya dipetik di luar konteks. Dia kemudian meminta maaf selepas memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Polis kemudian melarang Zakir menyampaikan ceramah melalui apa-apa wadah - termasuk di media sosial - di negara ini sehingga siasatan kesnya diselesaikan.

Semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata larangan menyekat dakwah bercanggah dengan syarak, dan sepatutnya Zakir diberikan panduan agar tidak menyentuh isu-isu sensitif.

Anggota Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula sebelum ini menyifatkan, hanya umat Islam yang munafik sahaja yang bersetuju menghalau pendakwah tersohor itu.

Hazmi berkata PAS sebenarnya hanya memperjuangkan sesuatu isu jika ia mampu membawa keuntungan politik kepada parti berkenaan.

Katanya, Kelantan wajar memberi laluan kepada mana-mana tokoh agama yang mempunyai kredibiliti menyampaikan dakwah di negeri itu tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing.

"Kelantan wajar mencontohi kerajaan negeri yang ditadbir PH apabila penceramah dan pemimpin PAS masih dibenarkan berceramah di masjid-masjid yang ada," katanya.

Rabu, 14 Ogos 2019

Ucapan saya di Kelantan diputar belit, kata Zakir Naik

Penceramah kontroversi Zakir Naik. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Penceramah kontroversi Dr Zakir Naik mendakwa pengkritiknya memetik ucapannya di luar konteks berhubung kenyataannya mengenai masyarakat India di Malaysia, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan kritikan terhadapnya sebagai “nakal”, mengatakan pengkritik cuba mempolitikkan ucapannya dan mewujudkan ketidakharmonian agama dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Rakaman ceramah saya akan mendedahkan bahawa realitinya adalah bertentangan dengan apa yang didakwa,” katanya dalam komen yang dibuatnya sebagai tindak balas kepada soalan mengenai nasib umat Islam di India semasa ceramahnya di Kelantan.

Zakir mendakwa masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad walaupun menerima lebih “100 kali” hak berbanding umat Islam di India.

“Apa yang saya katakan adalah dalam konteks kes saya sendiri, beberapa kumpulan Hindu memilih untuk menyokong kerajaan Modi dalam permintaan ekstradisinya walaupun tidak ada bukti terhadap saya, dan walaupun fakta bahawa Interpol, mahkamah India dan kerajaan Malaysia menolak tuduhan palsu yang ditujukan kepada saya.”

Zakir berkata ia harus “jelas” kepada sesiapa sahaja yang menilai situasi itu dengan “adil” bahawa beliau sengaja disalah anggap.

Beliau mendakwa pengkritiknya memetik ucapannya secara salah dalam usaha membantunya ditangkap.

“Tetapi tidak hanya mahkamah undang-undang, termasuk mahkamah Malaysia, akan bersetuju dengan tuduhan mereka,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, penuduhnya yang harus “ditugaskan” untuk mewujudkan ketidakharmonian dan kebencian kaum antara 2 komuniti agama.

“Apa-apa percubaan untuk mencipta pertelagahan kaum adalah tidak adil terhadap rakyat Malaysia dan saya yakin InsyaAllah, percubaan ini akan gagal.”

Zakir dikehendaki pihak berkuasa India yang berusaha ekstradisinya untuk berdepan tuduhan pengubahan wang haram di negara asalnya.

Bagaimanapun, Putrajaya setakat ini menentang permintaan India dengan Mahathir mempersoalkan kemungkinan Zakir tidak menerima perbicaraan yang adil.

Zakir yang memiliki status penduduk tetap di Malaysia, menafikan dakwaan terhadapnya walaupun beliau berkata beliau bersedia berdepan dengan mereka.

Bagaimanapun, beliau mahukan jaminan dari New Delhi bahawa beliau tidak akan ditangkap sehingga beliau didapati bersalah

Selasa, 13 Ogos 2019

MP PAS: Gagal ke ceramah Zakir Naik, Kit Siang patut tutup mulut

MALAYSIAKINI

   

Setiausaha Badan Perhubungan PAS negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata Lim Kit Siang patut "tutup mulut" dan tidak lagi mengkritik Dr Zakir Naik selepas gagal memenuhi undangan untuk hadir ke program pendakwah itu di Kelantan, minggu lalu.

Beliau yang juga pengarah program Dr Zakir Naik: The Kelantan Tour 2019, berkata Lim melepaskan peluang untuk menyuarakan kritikannya terhadap Zakir secara berdepan.

"Lim dijemput secara rasmi ke program kemuncak ceramah Zakir pada 9 Ogos lalu, untuk berhujah secara baik dan berdepan dengannya.

"Saya juga memastikan pihak urus setia menyediakan kerusi untuknya di khemah VVIP... Lama kami menanti tetapi Lim tak kunjung tiba. Takut apa YB-ku?" soalnya yang juga anggota parlimen Tumpat dalam kenyataan hari ini.

Undangan Che Abdullah susulan kenyataan Lim yang menyokong saranan penulis Anas Zubedy supaya pendakwah bebas antarabangsa Dr Zakir Naik meninggalkan Malaysia secara sukarela.

Kenyataan itu menerima kritikan sejumlah pihak, antaranya Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yang berkata Lim tidak faham Perlembagaan Persekutuan dan beliau yang sepatutnya meninggalkan Malaysia.

Selain undangan daripada Che Abdullah, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Ariff Abdullah juga berkata penganjur telah menghantar undangan rasmi kepada Lim selain menyerahkan salinannya ke pejabat DAP Kelantan di Kota Bharu.

Lim sebelum ini mengakui menerima undangan itu tetapi menyifatkan PAS tidak memahami mesej yang ingin disampaikannya.

"Jika Pemuda PAS Kelantan faham kenyataan saya - yang disampaikan dalam bahasa mudah - tentang mengapa saya sokong surat terbuka Anas Zubedy kepada Zakir agar secara sukarela meninggalkan Malaysia, mereka tidak akan membuat undangan itu," katanya.

Zakir yang kini bertaraf penduduk tetap Malaysia sedang berdepan dakwaan pengubahan wang haram bernilai lebih 1.93 bilion rupee (RM115.66 juta) "hasil jenayah di India dan di luar negara".

Akhir bulan lalu, Interpol menolak permohonan kerajaan India untuk memasukkan Zakir dalam notis merahnya, dalam usaha membawanya kembali ke India untuk dibicarakan di mahkamah.


Sabtu, 27 Julai 2019

Wan Ji tak layak diberi pentas

siti hafidah 

 

Ketua Menteri Melaka patut dari awal tak jemput aktivis Islam liberal

BANGI,  Aktivis Islam liberal, Wan Ji Wan Hussin tidak layak diberikan sebarang pentas kerana dia adalah banduan yang ditangguhkan hukuman akibat kelancangan lidah menghina sultan, kata Ketua Biro Manhaj Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Omar Kassim.

“Tidak di TV Hijrah, tidak di mana-mana seminar atau wacana, tidak juga di mana-mana masjid di seluruh negara, sekurang-kurang hingga kes itu dibicarakan dan diputuskan di mahkamah rayuan,” tegas Ustaz Omar.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penamatan kontrak perkhidmatan Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani, baru-baru ini.

Isu penamatan kontrak Rahimin hangat dibincangkan di media sosial sejak kelmarin, didakwa disebabkan kehadiran Wan Ji menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Bukit Beruang, Ayer Keroh pertengahan bulan ini.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dan berkata, penamatan itu untuk memberi laluan kepada muka baharu menjawat jawatan berkenaan.

Adly berkata, jawatan yang disandang Rahimin sejak lebih 20 tahun lalu itu sudah ada calon pengganti membabitkan empat pegawai di Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan JAIM.

Mengulas perkara itu, Ustaz Omar berkata, Ketua Menteri sepatutnya daripada awal tidak mengalu-alukan kehadiran Wan Ji ke Melaka.

“Apabila terjadi fitnah, semua berdolak-dalik. Pengajaran terbesar di sini ialah makhluk bernama Wan Ji, jangan lagi berikan pentas oleh mana-mana pihak.

“Ramai lebih percaya, pemberhentian kontrak Ustaz Rahimin Bani (yang diberhentikan melalui lisan) mempunyai kaitan dengan ceramah Wan Ji yang tidak disenangi oleh rakyat negeri Melaka sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Ji dihukum penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Setelah dua hari menjalani hukuman penjara, dia dibenar oleh mahkamah menangguhkan hukuman itu. Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintah terma-terma di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dilanjutkan.

Pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebooknya.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini jam 10 pagi, pada 5 November 2012.


Selasa, 23 Julai 2019

Ada dalang di belakang Wan Ji, dakwa Ummah


   

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mempersoalkan mengapa Wan Ji Wan Hussin masih boleh berceramah bebas walaupun telah disabitkan bersalah menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahya berkata, tindakan Wan Ji yang berceramah di sebuah Masjid Ahad lalu seolah-olah cuba mencetuskan provokasi dan membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Menurutnya, situasi berkenaan membuatkannya merasakan penceramah itu tidak bergerak berseorangan dan ada pihak lain berada di belakangnya.

“Saya nak sebut ‘TST’ iaitu tahu sama tahu. Saya rasa saya pernah dialog dengan dia, saya tak mahu nyatakan lebih dari itu tapi saya yakin dia tak bergerak berseorangan.

“(Sila) tafsir sendiri (siapa pihak itu), bagi saya, saya tak rasa dia tak gerak sendirian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kempen Membeli Produk Muslim dan menandatangani usahasama antara Ummah Kohilal – Ummah dan Abata di Hotel Putra Kuala Lumpur hari ini.

Aminuddin juga turut diminta menyebut siapa yang cuba mengaturkan Wan Ji untuk berbuat demikian, beliau bagaimanapun hanya menjawab ringkas “itu buatlah andaian sendiri”.

Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian Ummah adakah akan terus menerjah program Wan Ji seperti dilakukan di Melaka baru-baru ini.

Ahad lalu Ummah mengadakan bantahan di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, Melaka bagi mendesak Wan Ji menghentikan kuliahnya.

Bagaimanapun kuliah itu - yang bertajuk Islam sebagai agama penyelamat kepada umat - diteruskan selepas sejumlah anggota polis berjaya menyuraikan kumpulan yang membantah di dalam masjid.

Mengulas lanjut, Aminuddin mahu melihat kejadian itu dalam konteks yang lebih besar dan menyifatkan ia seolah-olah ia strategi provokasi.

“Dia (pihak tersebut) tahu orang tu (Wan Ji) macam tu, dia tonjolkan lagi (Wan Ji), ini seolah-olah mencabar umat Islam,” katanya.

Aminddin juga berkata Ummah tidak menghalang Wan Ji untuk berceramah namun jangan hanya menyalahkan sebelah pihak sahaja.

“Kita tak boleh nak halang cuma bagi saya (jika) berlaku lagi peristiwa seperti di Melaka kita jangan salahkan sebelah pihak. Itu sangat penting bagi saya.

“Sekarang orang nampak demo itu salah tapi pengurusan masjid dan sikap ustaz (Wan Ji) itu sendiri yang masih nak berceramah,” katanya.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas Wan Ji berhubung dakwaan itu.


Isnin, 22 Julai 2019

Kecoh dalam masjid ketika kuliah Wan Ji


DENYUT REFORMASI

 
Ceramah pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin di Melaka malam ini tergendala sebentar apabila satu kumpulan membantah program itu.

Kejadian berlaku di Masjid Ar Rahman di Kampung Parit Melana di Durian Tunggal, dan bantahan dianjurkan Gerakan Pembela Ummah negeri itu.

Menurut siaran langsung di Facebook, kumpulan itu masuk ke dalam masjid untuk mendesak ceramah dihentikan namun kira-kira belasan polis berkawal dengan membuat barisan untuk menghalang mereka ke bahagian depan.

"Ini rumah Allah... Kalau nak dengar, tak apa tapi kalau nak buat masalah, saya tak benarkan," kata seorang anggota polis.
Seorang lagi anggota polis pula berkata pihak lain juga boleh mengadakan program ceramah kerana "semua ada hak".

Selepas kira-kira sepuluh minit, kumpulan tersebut kelihatan akur dan mula keluar dari masjid.

Wan Ji kemudian meneruskan ceramahnya. Beberapa polis kekal berkawal dalam masjid, sementara para pembantah berada di perkarangan sebelum beredar.

Terdahulu, sebelum ketibaan Wan Ji, beberapa puluh orang berkumpul di luar masjid untuk membantah program itu. 
 
 

Selasa, 14 Mei 2019

Saya bukan pentaksub, kata pendakwah Zamri Vinoth


Muhammad Zamri Vinoth dalam temu bual terbaru dengan FMT.

SEREMBAN: Hampir 10 minit selepas bercakap mengenai kepentingan umat Islam membina hubungan dengan bukan Islam, pendakwah Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu seperti mempunyai peluang untuk menggambarkan maksud sebenar yang ingin disampaikannya.

Zamri yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas ditahan polis atas dakwaan menghina agama Hindu dalam satu ceramah pada Disember lalu, didapati mempertahankan wartawan FMT, yang ada daripadanya bukan Islam, apabila diminta keluar dari sebuah masjid.

Ini juga adalah satu contoh perbuatan yang pernah dikritik oleh Zamri berhubung isu sikap umat Islam dalam ucapannya tahun lepas.

Seorang ahli jawatankuasa masjid yang tidak senang ketika temu bual itu sedang dijalankan meminta kami memberhentikannya.

Tindakan itu menyebabkan Zamri memberitahu individu itu supaya mengambil pendekatan yang lebih baik.

“Beberapa anggota media ini ada yang bukan Islam dan pendekatan ini tidak mencerminkan nilai Islam,” katanya kepada lelaki itu.

Beliau kemudiannya meminta maaf kepada kami atas sikap ahli jawatankuasa masjid itu.

“Orang seperti ini ada di mana-mana. Anda tidak dapat menghentikannya”

Salah faham sedemikian tentang Islam katanya, adalah sesuatu yang beliau cuba atasi apabila melawat gereja, kuil dan gudwara melalui pertubuhan yang diketuainya, iaitu One Centre Malaysia.

“Jika kita dekat dengan orang bukan Islam, mereka mempunyai peluang untuk memahami pemikiran dan pandangan kita. Jadi ia sesuatu yang perlu dilakukan.”

Zamri ditahan pada 28 April lalu atas dakwaan menghina agama Hindu sewaktu menyampaikan satu ceramah di sebuah masjid di Kelantan pada 30 Disember tahun lalu.

Zamri disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana mengganggu keharmonian dan mengeluarkan kata-kata menghina.

Zamri dilepaskan daripada tahanan polis pada 1 Mei lalu.

Tetapi salah faham seolah-olah mengikuti dirinya.

Dalam pada itu, Zamri yang berasal dari Seremban berkata, penangkapan dan tahanan reman selama 4 hari baru-baru ini adalah kerana ceramahnya telah disalah tafsir sesetengah orang.

Rabu, 1 Mei 2019

Abu Hassan sempat beri kuliah terakhir semalam


Zaini Samsu Hadi


WhatsApp-Image-2019-05-01-at-11
Allahyarham Abu Hassan Din ketika menyampaikan kuliah terakhir di Surau An-Nur di Seremban, semalam.
 

KUALA LUMPUR – Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al Hafiz, 75, yang menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi, sempat menunaikan hajat jemaah Surau An-Nur di Seremban untuk menyampaikan kuliah khas selepas solat Maghrib semalam.

Beberapa keping gambar serta rakaman yang menunjukkan Allahyarham menyampaikan ceramah tular di laman sosial pagi ini.

Pengguna alam maya memuatnaik gambar dan rakaman berkenaan sejurus mengetahui kematian Allahyarham.

Berdasarkan pemerhatian pada video itu Allahyarham menyampaikan kuliahnya kira-kira 1 jam 45 minit.

Kelas bimbangan agamanya itu dihadiri orang ramai yang memenuhi setiap ruang di dalam surau berkenaan.

Allahyarham, 75, yang menghidap sakit jantung rebah di rumahnya di No.8, Lorong 3/12 B, Kampung Batu Muda di sini ketika sedang bersiap untuk menghadiri satu forum di Maahad Tahfiz di Kota Raja, Ipoh pagi ini.

Allahyarham kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, doktor mengesahkan Allahyarham meninggal dunia kira-kira pukul 7.30 pagi setelah beberapa kali bantuan pernafasan gagal diberikan kepadanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda selepas solat Zohor dan akan kemudian dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran masjid berkenaan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak yang lima daripadanya adalah perempuan. – MalaysiaGazette

Sabtu, 27 April 2019

Tak payah sebut Raja Melayu ini baru – Mahadzir Khalid

Nizam Zain
Datuk Seri Mahadzir Khalid
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid berucap dalam ceramah siri Jelajah Menentang Statut Rom: Mempertahankan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Pejabat UMNO Bahagian Kota Tinggi, Johor semalam.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan agar tidak mempersoalkan keberadaan Raja-Raja Melayu di negara ini hingga mahu melenyapkan kuasa dan keistimewaan institusi Diraja itu melalui Statut Rom.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid menegaskan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu secara melampau sejak PH mengambil alih negara menunjukkan ada pihak tertentu cuba mempertikaikan kedudukan istana.

“Tak sampai setahun memerintah, tiba-tiba ada pula pelampau-pelampau yang anti agama, anti junjungan Rasullullah SAW dan anti Raja-Raja Melayu.

“Raja-Raja Melayu tidak hanya wujud semasa merdeka. Raja-Raja Melayu sudah wujud dalam zaman Tanah Melayu iaitu beratus tahun lalu. Lama dah, tak payah sebut Raja ini baru.

“Raja-Raja Melayu ini sudah lama di Tanah Melayu, yang baru hanya kita, baru merdeka 61 tahun,” katanya berucap dalam ceramah Jelajah Menentang Statut Rom: Mempertahankan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Pejabat UMNO Bahagian Kota Tinggi, semalam.
Datuk Seri Mahadzir Khalid
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahadzir Khalid (tengah) 
pada ceramah siri Jelajah Menentang Statut Rom: Mempertahankan 
Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan 
di Pejabat UMNO Bahagian Kota Tinggi, Johor semalam.
Hadir sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam; Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaide Makmor; Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek dan Yang DiPertua Pas Kota Tinggi, Azmi Abu.

Mahadzir juga mendesak pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar tidak membiar penghinaan terhadap institusi Diraja itu berlarutan tanpa sebarang tindakan tegas.

“Macam mana gambar Yang di-Pertuan Agong (YDPA), tuan-tuan pun tengok gambar pakai macam mana, Raja-Raja Melayu tak pakai baju.

“Saya harap yang ini pihak berkuasa, pihak bertanggungjawab mesti ambil tindakan sepatutnya. Mana boleh buat penghinaan macam itu, takkan negara ini percuma macam itu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Jumaat, 5 April 2019

'Tolong bersihkan lokap saya, mungkin ada penghuni baru' - Anwar

Sahlizah Mohamed, Astro Awani
'Tolong bersihkan lokap saya, mungkin ada penghuni baru' - Anwar
Anwar bagaimanapun tidak menyatakan siapa individu yang dimaksudkan bakal menjadi penghuni lokap itu. - Foto Astro AWANI/Sahlizah Mohamed
 

SEREMBAN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berseloroh meminta lokap yang dihuni selama 20 tahun agar dibersihkan kerana kemungkinan tirai besi itu akan dihuni oleh penghuni baharu.

Anwar bagaimanapun tidak menyatakan siapa individu yang dimaksudkan bakal menjadi penghuni lokap itu.

“Bulan lalu saya ada panggil 'guard' dan pengawal penjara Sungai Buloh, bagi mereka makan. Saya ingat jasa baik mereka. Jasa buka pintu, kunci pintu saya, jasa kawad sebelah saya.

“Lepas tu saya tanya lokap saya dulu masih kosong ke? (Jika) Masih kosong. Saya minta tolong bersihkan. Sebab apa? Sebab mungkin ada penghuni baru,” katanya.

Anwar berkata demikian di hadapan sekitar 1,500 orang yang hadir pada ceramah sempena Sambutan Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Dataran Rantau, Khamis malam.

Turut hadir ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agong PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Bagaimanapun, Anwar memberitahu, itu bukan keputusannya tetapi keputusan mahkamah.

“Ini negara hukum. Kena terima keputusan berdasarkan hukum dan fakta.

“Walaupun begitu, masih ada orang nak berjumpa dengan dia. Ambil duit puluhan bilion, rugikan Tabung Haji puluhan bilion, rugikan Felda puluhan bilion,” katanya.

Ujarnya, ia sekali gus menunjukkan bahawa semangat reformasi masih belum tersemat di dalam hati rakyat.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan, bahawa ia merupakan cabaran yang peru ditempuh untuk menyedarkan rakyat yang dahulunya menjadi mangsa penipuan.

“Maknanya tanggungjawab dalam kempen masih berterusan. Kita kena turun kerana tanggungjawab.

“Bukan marah atau sinis, tetapi kita beri penjelasan. Jangan lagi sokong orang yang rompak harta dan khazanah negara,” katanya lagi.

Selasa, 19 Februari 2019

Sultan Johor murka tindakan menteri ceramah di masjid


 
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyatakan rasa murka terhadap tindakan Menteri Pertanian dan Asas Tani, Salahuddin Ayub yang dikatakan memberi ceramah di sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Menurut kenyataan disiarkan di laman Facebook baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa peraturan di semua masjid di Johor tidak membenarkan ceramah diadakan kecuali mendapat tauliah dan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah agar Salahuddin segera mengadap baginda serta memohon maaf secara bersurat selain tidak mengulangi kesilapan itu.

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini merupakan tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah baginda kepada Royal Press Office di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini.

Titah baginda dikeluarkan selepas rakaman video menunjukkan Salahuddin berceramah dalam sebuah masjid tular di media sosial.

Baginda juga bertitah supaya semua Pengerusi dan AJK masjid mematuhi peraturan Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara itu tidak berulang.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin tersebut sedar akan kesilapan yang telah dibuat dan segera minta maaf.

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat untuk beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titah baginda.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan Salahuddin menafikan beliau memberikan ceramah politik dalam masjid berkenaan semalam.

Malaysiakini difahamkan kenyataan Salahuddin itu dibuat sebelum titah SUltan Ibrahim dikeluarkan.

Salahuddin yang juga timbalan presiden Parti Amanah Negara (Amanah), berkata beliau melawat beberapa kawasan parlimennya semalam di Pulai sebelum singgah di Masjid Kolam Air untuk menunaikan solat Jumaat.

“Saya tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari dan 20 minit sebelum azan, imam masjid memanggil saya untuk memberikan tazkirah kepada jemaah.

“Saya bercakap kira-kira 10 minit berkisar amalan berbuat baik di kalangan masyarakat.

“Saya tidak langsung berceramah mengenai politik apatah lagi memberhentikan khutbah Jumaat seperti didakwa di dalam media sosial.

“Saya sudah berkecimpung 35 tahun dalam dunia politik dan tidak sebegitu bodoh untuk memberikan ceramah politik di dalam masjid.

"Video 45 saat yang disebarkan itu tidak menggambarkan tazkirah penuh yang saya sampaikan,” katanya.
 
 

Sabtu, 15 Disember 2018

Sebar senarai penceramah disekat spekulasi murahan, kata Zamihan


Penceramah kontroversi Zamihan Mat Zain berkata, penyebaran 
senarai itu bertujuan memburukkan imej pihak berkuasa dan
penceramah terbabit. (Gambar Facebook)
 
KUALA LUMPUR: Seorang penceramah kontroversi menyifatkan penularan satu senarai individu, termasuk dirinya, yang disekat daripada bersiaran di stesen TV dan radio di media sosial baru-baru ini sebagai spekulasi murahan dan mengarut.

Zamihan Mat Zain berkata, penyebaran senarai itu sengaja dilakukan kumpulan tertentu bagi memburukkan imej pihak berkuasa dan mencemarkan reputasi penceramah terlibat.

“Surat (senarai nama) itu tiada locus standi sama sekali. Ia mungkin sengaja dibuat oleh seseorang bagi memburukkan imej pihak berkuasa dan mencemarkan reputasi penama terbabit.

“Surat tanpa ‘letterhead’ dan ‘signature’ siapa pun boleh buat.

“Bagi saya senarai murahan ni adalah mengarut dan tidak masuk akal,” katanya kepada FMT.

Selain Zamihan, 9 lain yang termasuk dalam senarai tersebut ialah Datuk Kazim Elias, Samsul Amri Ismail, “Redzuan Tee”, Abdullah Khairi, Norhafizah Muda, Azhar Idrus, Admad Dusuki, serta peserta program realiti agama, Syed Mohd Bakri Syed Ishak dan “Amin”.

Syed Bakri ketika dihubungi FMT mendakwa senarai itu diterimanya daripada seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menafikan senarai berkenaan dikeluarkan oleh pejabat beliau.

Mujahid berkata, pejabatnya tidak mengamalkan sekatan terhadap penceramah tertentu hanya kerana tidak sebulu, sebaliknya lebih melihat kepada kandungan ceramah atau kuliah yang disampaikan.
Zamihan berkata, sehingga kini beliau masih lagi bebas berceramah.

“Manakala sebahagian dari senarai penama diatas mempunyai tauliah mengajar agama di beberapa buah negeri.

“Saya sendiri masih mempunyai tauliah dan kebenaran berceramah di Perak, Kelantan, Wilayah Persekutian, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan di Jakim. Pihak berkuasa agama negeri masih belum menarik balik tauliah saya,” katanya.

Sabtu, 24 November 2018

Lepas dicabar naik pentas Adun PH dikecam

DENYUT REFORMASI

 
 
Seorang ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan Harapan menyahut cabaran penganjur protes Icerd dengan berceramah di pentas mereka semalam.

Bagaimanapun ceramah itu hanya berlangsung kira-kira dua minit saja apabila Adun terbabit dikecam orang ramai dan diarah turun dari pentas berkenaan.

Menceritakan kejadian itu kepada Malaysiakini Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata salah seorang penceramah himpunan di pekarangan Masjid Ridzwaniah di Kuala Kangsar itu mencabarnya berucap.

Kata Adun Titi Serong itu kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang iaitu sejurus selepas solat Jumaat berakhir.

Menurut Hasnul dia bukan sengaja naik ke pentas itu sebaliknya dicabar supaya berada di pentas berkenaan.

 
"Saya menggunakan platform untuk memberi kesedaran bahawa ada ayat al-Quran menjelaskan bagaimana kita perlu saling berbaik-baik sesama bangsa lain, bukannya menimbulkan kerisauan atau ketegangan antara kaum," katanya.

Selepas berada di situ kata Hasnul dia menjelaskan bahawa isu yang juga besar ketika ini ialah skandal 1MDB, perompakan wang rakyat serta integriti ahli politik serta sesetengah pegawai kerajaan.

"Malah bekas perdana menteri Najib Razak juga dilaporkan mengaku dia ditipu," katanya.
Bagaimanapun katanya selepas itu dia dikecam malah ada antara orang yang hadir di himpunan tersebut mencemuhnya dengan kata-kata kesat.

Disebabkan mahu mengelak ketegangan kata Hasnul dia turun dari pentas dan berlalu dari situ sambil sebahagian orang yang hadir melakukan provokasi.

"Saya tidak melayan mereka sebaliknya cuba beramah mesra, beri salam dan hulurkan tangan," katanya.

Himpunan itu dipercayai dianjurkan penyokong pembangkang.

Menurut Hasnul dia berada di situ secara kebetulan kerana mengerjakan solat Jumaat selepas melihat persediaan petugas Pemuda Amanah menyiapkan Dewan Jubli Perak yang terletak berhadapan masjid terbabit.
Dewan itu menjadi tempat Pemuda Amanah mengadakan konvensyen peringkat kebangsaan hari ini.
 
 

Khamis, 3 Mei 2018

Nik Omar batal ceramah di Bachok sebab hormat Nik Abduh

N Faizal Ghazal

    PRU14 | Malam ini Nik Omar Nik Abdul Aziz sekali lagi menunjukkan bagaimana gaya politiknya dalam dunia yang baru saja dijejaki itu.

Anak kedua bekas mursyidul am PAS itu membuat kejutan dengan membatalkan ceramahnya yang sepatutnya berlangsung di Bachok - kawasan Parlimen yang ditandingi adiknya Nik Abduh.

"Nik Omar tak berceramah di Bachok malam ini. Ia bagi menghormati tempat adiknya bertanding di Parlimen itu," kata pegawai pengiringnya Mejar (B) Zaidi Ab Halim kepada Malaysiakini.

Namun katanya lagi, Nik Omar tetap hadir ke program itu bagi menghormati undangan kepadanya.

"Kami hadir tetapi beliau tidak akan sampaikan ceramah, beliau akan ke satu lagi program ceramah di DUN Limbongan, Pasir Puteh," katanya.

Terdahulu, laman Facebook rasmi Nik Omar turut memohon maaf atas pembatalan itu dengan menyatakan "sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan" sebagai puncanya.

Selepas pelbagai spekulasi berhubung pendirian politiknya, beliau memberi jawapannya pada hari penamaan calon Sabtu lalu dengan menjadi calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Chempaka.

Tidakan itu menyebabkan beliau dihujani kecaman dan tuduhan tetapi pada masa sama turut menjadikannya antara topik utama kempen PRU ke-14 setakat ini.

Esok beliau akan membuat kemunculan sulung di luar Kelantan apabila dijadual menyertai beberapa program di ibu kota dan sekitarnya, termasuk majlis ceramah bersama Tun Dr Mahathir di Putrajaya.



Isnin, 15 Januari 2018

Mahfuz enggan mohon maaf, nafi hina Sultan Pahang

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KANGAR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan tidak akan membuat sebarang permohonan maaf kepada mana-mana pihak berhubung dakwaan beliau memperlekeh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam ceramah politiknya baru-baru ini.
 
Menurut Mahfuz, tiada sebab baginya untuk memohon maaf berikutan kenyataannya dalam ceramah berkenaan tidak langsung menghina Sultan Pahang.
 
"Bukan saya hina Sultan Pahang...malah saya mendoakan Sultan Ahmad Shah ini untuk kekal dan terus menjadi Sultan Pahang.
 
"Saya ingat ceramah saya boleh disemak dalam Youtube, saya menegaskan bahawa tindakan mereka (Umno) mempersoalkan kredibiliti Tun Dr Mahathir Mohamad apabila beliau dicalonkan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang seolah-olah mempertikaikan kredibiliti Sultan Pahang yang sudah lama memerintah negeri itu," katanya dipetik Berita Harian.
 
Sebaliknya Mahfuz berkata, mesej yang cuba disampaikan melalui ceramah itu ialah tiada isu jika Tun Mahathir menjadi calon Perdana Menteri.
 
"Sultan Pahang pun sudah tua dan baginda sambut hari jadinya dalam keadaan uzur...dan saya kata dalam keadaan begitu pun dia masih menjadi Sultan malah dalam video terbabit saya turut mendoakan kesejahteraan baginda," katanya selepas program Sembang Santai Pakatan Harapan bersama rakyat di Kampung Syed Omar, Bintong.
 
Sebelum ini, sebuah portal atas talian melaporkan bahawa Ketua Pemuda Umno Pahang, Shahar Abdullah menggesa Mahfuz membuat permohonan maaf kepada Sultan Ahmad Shah secara terbuka atas tindakannya yang dangkal itu.
 
Shahar turut mengatakan dirinya cetek akal dan tidak menghormati institusi Diraja negara ini.
 
Sebelum ini Mahfuz mengulas kewajaran Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia 92 tahun dipilih sebagai calon Perdana Menteri oleh PH dan membandingkannya dengan Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Sultan Pahang walaupun sedang gering.
  


Jumaat, 18 Ogos 2017

Memali: Ini kisah kami 32 tahun lalu

SALMIYAH HARUN

 
SELEPAS 32 tahun peristiwa Memali 1985 berlaku, kejadian itu menjadi buah mulut dan semakin panas diperkatakan selepas ia dibangkitkan di dalam program Nothing To Hide 2.0 yang dihadiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir.
 
Malahan peristiwa Memali itu menjadi luka yang tidak pernah sembuh bagi umat Islam di negara ini apatah lagi apabila peristiwa itu diperkatakan semula.
 
Ekoran itu, Dewan Pemuda PAS Kedah bersama Pemuda PAS Kawasan Baling akan mengadakan ceramah Isu Memali yang akan disampaikan oleh anak-anak mangsa Memali pada malam esok 19 Ogos di Tapak Pasar Malam iaitu bersebelahan petronas Parit Panjang (Makam Syuhada Memali).
 
Antara anak-anak mangsa yang akan berada di pentas ceramah itu nanti, Mohd Rosli Azmi, Yusni Mat Piah, Mohamad Zuhdi Mat Piah dan Shafirol Rozali.
 
Turut bersama di dalam ceramah yang akan bermula jam 9.00 malam itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhamad Sanusi Md Nor, Ketua Pemuda PAS Kedah Salim Mahmood, YDP PAS Kawasan Baling Hassan Saad, dan Ketua Pemuda PAS Kawasan Baling  Roshidi Md Arof.
 
Orang ramai yang mahu mendengar sendiri luahan anak-anak mangsa Memali, dijemput beramai-ramai di dalam ceramah itu nanti. – HARAKAHDAILY


Jumaat, 9 Jun 2017

36 penceramah agama perlu minta kebenaran MUIP

BERNAMA

Datuk Dr Abdul Rahman OsmanJabatan Mufti Pahang akan menyenaraikan 36 penceramah yang perlu mohon kebenaran daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sebelum menyampaikan kuliah di negeri ini.

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata langkah itu dilakukan untuk mengelakkan berlakunya kekeliruan dan perpecahan dalam kalangan umat di negeri ini disebabkan perbezaan amalan yang dibawa mereka.

Menurutnya panel yang dilantik sedang melengkapkan perincian terakhir seperti peraturan yang perlu dipatuhi sebelum senarai nama itu dikeluarkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

“Ada di antara mereka yang disenaraikan adalah individu yang popular… ada juga individu yang popular serta mempunyai kedudukan, namun telah dilarang daripada menyampaikan kuliah di beberapa negeri.

"Nama individu yang mempunyai nama dan kedudukan ini tidak akan dimasukkan dalam senarai, tetapi akan dimaklumkan secara peribadi supaya individu itu juga memohon kebenaran," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Rahman menambah mereka yang terlibat hanya perlu mendapatkan kebenaran sekali sehaja, namun sebelum itu perlu menjalani prosedur seperti temuduga dengan pihak berkuasa agama.

Beliau berkata senarai itu akan diedarkan ke semua masjid dan surau di Pahang manakala pemantauan akan dilakukan pihak berkuasa agama dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang masih menjemput individu yang tidak memperoleh kebenaran boleh dianggap bersubahat.

Beliau menambah mereka yang tidak dinamakan dalam senarai itu juga digalakkan untuk memohon kebenaran bagi kemudahan semua pihak.

Terdahulu, Abdul Rahman berterima kasih kepada 50 NGO Islam Negeri Pahang dan Pusat Pengajian Pondok Negeri dan Tahfiz Negeri Pahang atas sokongan kepada Seksyen 36 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991, iaitu tidak dibenarkan menyesatkan amalan Khilafiyah atau didakwa Bid'ah Dhololah atau menyesatkan.

Katanya, kerajaan negeri Pahang dengan perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mewartakan 27 amalan khilafiyah sebagai amalan yang tidak boleh dihukum sebagai sesat, berdasarkan pandangan ulama mengikut hukum syarak.

Perkara itu diwartakan pada 4 Ogos lalu dan telah ditampal di masjid dan surau di Pahang supaya umat Islam tidak lagi keliru untuk melakukan amalan itu, yang merupakan amalan yang baik, katanya.

Antaran amalan itu ialah menziarahi kubur pada hari raya, sedekah bacaan Al-Fatihah atau membaca al-Quran kepada si mati, membaca wirid dan zikir secara kuat selepas solat fardu, membaca doa qunut dalam solat Subuh, membaca talkin untuk si mati dan mengadakan kenduri arwah dengan membaca Yasin dan bertahlil.

"Ini juga termasuk dengan amalan bilangan rakaat solat sunat tarawih sebanyak 20 rakaat, yang sebenarnya selari dengan titah Pemangku Raja Pahang baru-baru ini, supaya masjid melakukan 20 rakaat supaya orang ramai berpeluang melakukan lebih ibadat pada bulan Ramadan," katanya

Isnin, 24 April 2017

Kenapa MCA, Gerakan takut tegur kleptokrasi Najib?

MOHD ALI HASHIM

Nurul Izzah turut berucap di Tasek Gelugor bersama Tun Mahathir dan Husam.Nurul Izzah turut berucap di Tasek Gelugor bersama Tun Mahathir dan Husam.

Fakta bahawa pemimpin MCA dan Gerakan tidak berani menegur kleptokrasi yang diamalkan perdana menteri Datuk Sri Najib Razak membolehkan calon mereka tidak dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya umum nanti.

Demikian kata Datuk Husam Musa ketika memberikan ceramah di Tasek Gelurgor semalam.
Orang ramai yang penuh dalam khemah ketika ceramah di Tasik Gelugor semalam.Orang ramai yang penuh dalam khemah ketika ceramah di Tasik Gelugor semalam.Husam yang memberikan ceramah bersama Tun Dr Mahathir dan Nurul Izzah Anwar bertanya, kenapa sehingga kini tiada seorang pun dari pimpinan MCA maupun Gerakan yang berani bersuara untuk menegur kleptokrasi yang diamalkan Najib.

Sejak sekian lama isu ini dibangkitkan sehigga ke Parlimen, tetapi pimpinan MCA dan Gerakan semakin membisu seribu bahasa.

Apakah mereka tidak faham apa yang sedang dipersoalkan oleh rakyat atau terpaksa membisu seribu bahasa.

Tanya beliau lagi, apakah MCA dan Gerakan yang telah pun sedar bahawa Najib tidak layak untuk memimpin negara dan komponen parti mereka tidak mempunyai pendirian.

"Mana pendirian MCA dalam isu 1MDB yang begitu banyak diperkatakan sehingga ke hari ini oleh rakyat maupun pimpinan pembangkang.

"Apakah Parti Gerakan juga goyang dan tidak mempunyai pendirian setelah tahu bahawa skandal yang melibatkan Najib dalam isu kewangan negara begitu terserlah.

"Kenapa kedua-dua parti komponen BN tersebut tidak langsung bersuara setelah begitu banyak kleptokasi dan penyelewengan membabitkan Perdana Menteri dibongkar," kata Adun Salor Kelantan itu.

Tegasnya lagi, sekiranya kedua-dua parti tersebut tidak berani untuk mengeluarkan bantahan terhadap kejelekan yang dilakukan oleh Najib dalam isu 1MDB, secara jelas membuktikan bahawa MCA dan Gerakan tidak layak untuk menerima mandat rakyat lagi.

"Sepatutnya MCA dan Gerakan berjuang untuk kepentingan negara dan bukannya untuk mempertahankan kedudukan Najib.

"Penyelewengan, kerugian dana negara dan wang rakyat harus ditentang tidak kira siapa yang melakukannya.

"Kalau sudah tahu Najib terlibat, kenapa MCA dan Gerakan tidak berani menentang kleptokrasi dan skandal tersebut, tidak beranikah mereka, " jelas naib presiden Amanah itu lagi yang mendapat tepukan ribuan hadirin yang membanjiri program ceramah tersebut.
Orang ramai melimpah keluar khemah di Tasek Gelugor semalam.Orang ramai melimpah keluar khemah di Tasek Gelugor semalam.
Oleh kerana itu katanya, rakyat negara ini harus membuat perubahan dalam pilihan raya yang begitu hampir tidak lama lagi.

Malah katanya, negara tidak harus ditadbir oleh pemimpin yang tidak boleh dipercayai sepertimana yang sedang dipertontonkan oleh Najib dan pimpinan Umno serta BN dan sekutunya.

Justeru itu tambahnya, PH telah pun mempunyai pasukan pimpinan yang 'reliable' serta boleh dipercayai bagi menggantikan Umno dan BN untuk menerajui negara.

Rentetan itu, rakyat harus membuat pendirian tegas dengan menolak Umno dan BN serta yang seiring dengannya dalam pilihan raya umum ke 14 yang akan datang.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Tun Mahathir, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah serta mantan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Shariff Omar, Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan kepimpinan PH Pulau Pinang.

Selasa, 21 Februari 2017

'Saya jemput Husam dengar bukan beri ceramah'

 'Saya jemput Husam dengar bukan beri ceramah'

KOTA BHARU  – “Saya mengajak beliau (Husam) untuk hadir sebagai penonton, bukan sebagai penceramah,” demikian kata Timbalan Ketua Pemuda Pas, Nor Azariza Alawi menjelaskan mengenai pelawaannya kepada Penasihat Amanah, Datuk Husam Musa untuk hadir ceramah di sini malam semalam.

Menurutnya, beliau kesal apabila banyak pihak cuba mengaitkan pelawaan menerusi Facebook miliknya sebagai jemputan rasmi kepada bekas Naib Presiden Pas itu untuk memberi ceramah bersama-sama pemimpin Pas yang lain.

“Saya harap semua orang faham benda ini dengan jelas, kita jemput dia bersama-sama untuk dengar apa yang kita hendak sampaikan dalam ceramah itu, bukan jemput untuk bagi ceramah sebagaimana orang lain.

“Ceramah yang dianjurkan oleh Pemuda Pas negeri adalah ceramah mega terbuka dan bebas dihadiri sesiapa sahaja. Tetapi dia datang bersama pengikut-pengikutnya, kita jemput naik (pentas) sebab dia pimpinan parti walaupun dari Amanah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas dakwaan Husam yang melihat tindakan penganjur menolak permintaannya untuk berucap sebagai tidak ‘gentleman’.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh: Husam 'serang' ceramah Pas]

Mengulas lanjut, Azariza berkata, sepatutnya Husam menghormati perjalanan ceramah tersebut dan tidak perlu menimbulkan suasana yang kurang senang sepertimana yang berlaku.

“Jika beliau tidak puas hati bila nama dia terbentang dalam kain rentang ceramah yang bertajuk ‘Husam Lari Dari Debat Bai’ah’ lebih baik dia buat ceramahnya sendiri.

“Kita tengok siapa yang akan dengar ceramah dia,” katanya.

Husam 'serang' ceramah PAS

MALAYSIAKINI
 
Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Ceramah 'Husam Lari dari Debat Baiah' di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam tadi, bertukar kecoh apabila ADUN Salor itu tiba-tiba muncul di pentas ceramah berkenaan. 
 
Memetik laporan Sinar Harian, Husam yang juga Penasihat Amanah Kelantan, tiba di ceramah itu kira-kira jam 11 malam ketika Yang Dipertua PAS Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh sedang memberi ucapan.
 
Husam dilihat duduk di kerusi barisan belakang atas pentas bersama beberapa pemimpin PAS lain, dan mendengar ucapan yang 'mengkritik' dirinya.
 
Tindakan tersebut telah menimbulkan ketidakselesaan penonton mahupun pemimpin yang ada di atas pentas itu, sekali gus dilemparkan dengan kata-kata yang tidak sopan oleh beberapa penyokong yang hadir.
 
Keriuhan sorakan penyokong juga tidak hanya berhenti di situ apabila sekali lagi kekecohan timbul semasa Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nasuruddin Daud mula berucap.
 
Kekecohan tersebut bermula apabila salah seorang penyokong tidak dapat menahan kemarahan dan datang ke hadapan pentas mencabar bekas Naib Presiden PAS itu berdebat di hadapan mereka.
 
Bagaimanapun keadaan kembali tenang tidak lama kemudian apabila Husam dibawa keluar daripada ceramah berkenaan.
 
Difahamkan, ceramah anjuran PAS itu dibuat bagi memberi penjelasan mengenai tindakan Husam yang didakwa cuba berdolak dalih dalam menentukan tarikh sebenar perdebatan itu boleh dilangsungkan.
 
Dalam pada itu, Husam menerusi Facebooknya berkata, beliau bersedia berdebat dengan Nasuruddin yang juga ADUN Meranti, pada bila-bila masa. 
 
"Ingatkan malam ini (malam tadi) debat bai'ah akan berlangsung...Malang! Bukan Husam Lari. Husam mari.
 
"Namun, ia hanya menjadi majlis mempamerkan pimpinan Kerajaan Kelantan tidak 'gentleman'. Jangkaan saya akan diberi berucap sepatah dua - meleset.
 
"Untuk makluman YB Meranti - saya masih bersedia berdebat bila-bila masa dengan beliau. InsyaAllah saya tidak akan lari. Saya mari," tulisnya.