SAYA merujuk kepada
perkembangan terkini kes saman Sarawak Report yang telah difailkan oleh
YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang terhadap Editornya, Clare
Rewcastle Brown di Mahkamah Tinggi London (The High Court of Justice, Queen’s Bench Division) pada 21 April 2017.
Setelah mendapat penjelasan lanjut dan
terperinci serta meneliti kronologi perjalanan kes ini, PAS menghormati
dan menyambut baik serta menyokong penuh langkah penyelesaian di luar
mahkamah yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, iaitu YB. Dato’ Seri
Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, sebagai plaintif, dan Clare Rewcastle
Brown, sebagai defendan, pada 1 Februari 2019.
Persetujuan melibatkan kedua-dua pihak plaintif dan defendan itu adalah di mana plaintif bersetuju tidak meneruskan (discontinue) tuntutannya (claim) terhadap defendan dan defendan bersetuju tidak meneruskan (discontinue) tuntutan balasnya (counterclaim) terhadap plaintif. Di samping itu tidak ada perintah mengenai kos (no order as to costs).
PAS percaya serta yakin langkah yang
diambil oleh YB. Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang selaku
Presiden PAS dalam hal ini adalah setelah mengambil kira kepentingan PAS
serta ahli-ahli PAS secara keseluruhannya dari semua aspek.
PAS juga percaya persetujuan
penyelesaian di luar mahkamah secara tidak meneruskan tindakan ini
sedikit pun tidak tergolong kepada pengakuan (admission) terhadap isu dan perkara yang berbangkit dalam kes ini mahupun tohmahan-tohmahan (accusations) lain yang berkaitan yang dibangkitkan dari semasa ke semasa.
Justeru itu PAS menyeru kepada
ahli-ahlinya supaya terus istiqamah dengan memberikan sepenuh wala’ dan
ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan serta sentiasa
berfikir dan bertindak secara berhati-hati agar tidak terjebak ke dalam
‘perangkap musuh’ yang sentiasa menanti.
PAS menyerahkan kepada Allah s.w.t. di
atas segala perkara dengan keyakinan bahawa Dia akan membantu serta
memberi pertunjuk kepada hamba-Nya yang beriman, bersabar dan dizalimi
di samping membantu mereka yang berjuang di jalan yang lurus.
DATO TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment