Tuesday, February 26, 2019

Letak jawatan bukan pilihan buat Dr M



Apa yang tidak membunuh anda akan membuatkan anda lebih kuat”, merupakan sebuah ungkapan ahli falsafah Jerman Friedrich Wilhelm Nietzshe.

Tindakan meminta Tun Dr Mahathir Mohammad untuk meletak jawatan, hanya kerana beliau mengatakan buku manifesto bukannya kitab suci, memperlihatkan niat Dr Boo Cheng Hau untuk menabur fitnah terhadap Perdana Menteri dan menafikan ruang yang diperlukan beliau untuk membaiki negara.

Pada umumnya, Pakatan Harapan adalah satu gabungan yang baru. Sebab itulah ramai yang masih meraguinya. Umno dan Barisan Nasional (BN), meskipun kini sudah pecah berderai dan masih tidak mampu bersatu, masih yakin bahawa Pakatan Harapan akan jatuh tersungkur menjelang 2023, atau mungkin lebih awal.

Muslihat mereka adalah mengipas api agama dan perkauman dengan memperlihatkan Pakatan Harapan sebagai sebuah gabungan yang tidak dapat - dan enggan - mempertahankan kepentingan politik dan identiti Melayu.

Pada waktu yang kritikal ini, adalah sangat tidak bertanggungjawab apabila Dr Boo Cheng Hau meminta peletakan jawatan Perdana Menteri, kerana ini menimbulkan krisis kepimimpinan dalam Pakatan Harapan sendiri.

Ditambah pula, walaupun dikatakan sudah ada calon Perdana Menteri seterusnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dipersetujui semua pihak di dalam Pakatan Harapan, sebarang usaha untuk menukar pemimpin pada pertengahan penggal adalah sangat bahaya. Bukan hanya untuk politik identiti Melayu sahaja, tetapi Malaysia secara keseluruhannya.




Umno dan PAS, misalnya, telah berubah menjadi satu pakatan acuh tak acuh, seperti gerakan guerilla. Ada kalanya mereka mendakwa akan bekerjasama, ada kalanya mereka menafikan usaha sama tersebut. Yang pasti, mereka bertunjangkan rancangan dan kepentingan jangka masa pendek.

Terpedaya tipu helah Umno, PAS

Apabila Pakatan Harapan lemah, Umno dan PAS akan menghentam mereka secara bertalu-talu dengan pelbagai fitnah, terutamanya tuduhan yang DAP merupakan tuan boneka yang sebenar. Lagipun, Hadi Awang kini mempertahan dan mengakui pembohongan sebagai alat strategi.

Pada saat yang genting ini, dengan musuh daripada luar sedaya upaya cuba memecah-belahkan Pakatan Harapan, ia amat mengejutkan dan tidak masuk akal apabila Dr Boo Cheng Hau dengan begitu mudah terpedaya dengan helah Umno dan PAS. Malahan, DAP dan keseluruhan kepimpinan atasan pun tidak bersetuju dengan pandangan Dr Boo Cheng Hau.




Walau bagaimanapun, nasi sudah jadi bubur. Mengizinkan retorik peletakan jawatan Tun Dr Mahathir disiarkan di khalayak ramai memberi isyarat yang Dr Boo Cheng Hau sanggup menjadi lidah pembangkang.

Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh Dr Boo Cheng Hau: beliau harus menyoal dirinya sendiri - wajarkah beliau letak jawatan memandangkan fakta menunjukkan yang beliau telah terperangkap dengan godaan pembangkang? Jikalau beliau tidak mampu berdepan dengan kebenaran, jelas sekali beliau amalkan dwistandard terhadap diri beliau dan orang lain.

Dalam semua perihal berkaitan tempoh Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr Boo Cheng Hau sepatutnya faham yang perihal tersebut bergantung kepada keputusan undi tidak percaya dalam parlimen, yang seharusnya dibuat dalam sesi Parlimen.



Pelucutan jawatan Perdana Menteri adalah satu isu yang sangat serius, dan tidak boleh dipandang enteng. Dr. Boo Cheng Hau kelihatan cuba memperkecil proses di mana jawatan dan kuasa Perdana Menteri diasaskan.

Kepada yang ingin melihat Tun Dr Mahathir turun, isunya adalah pengunaan kaedah yang betul. Persoalannya, bolehkah isu ini dibawa ke parlimen? Kalau tidak, Dr. Boo Cheng Hau tiada lokus standi sama sekali.

Pimpinan tertinggi PH telah pun menyuarakan sokongan penuh mereka terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Persembahan wayang kulit oleh pakatan durjana baru, Umno-PAS-MCA, terkecundang lagi.

Fokus paling utama PH semestinya ke arah membangunkan negara melalui perlaksanaan janji-janji Manifesto. Perkara selain itu hanyalah kicauan burung.

*RAIS HUSSIN  - Presiden & CEO EMIR Research

No comments: