Saturday, February 9, 2019

Bantah pelantikan Sheikh Omar, PAS amal politik sempit


Oleh

Reaksi Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah terhadap pelantikan Sdr Sheikh Omar Ali sebagai anggota Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) amat menghairankan.

Beliau dilaporkan berkata, “Walaupun Adun itu (Sheikh Omar) beragama Islam, isunya beliau dari DAP. Dalam perlembagaan DAP, mereka mempertahankan negara sekular dan banyak menentang agenda Islam.”

Pendirian sedemikian berlari jauh daripada pendirian PAS selama ia menjalin persahabatan dengan DAP di zaman kepimpinan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Almarhum Ustaz Fadzil Noor.

Pendirian yang diungkapkan Nik Amar adalah bukti kemunculan elemen sempit dalam mesej politik PAS yang menghukum semua yang tidak bersama dengan parti politik tersebut sebagai menentang Islam. 

Nik Amar dan PAS ternyata tidak lagi peduli dengan fakta dan lebih selesa mengadaptasi skrip rakan politik baharunya, UMNO untuk memomokkan semua pihak yang tidak bersama mereka sebagai anti-Islam, hatta menghukum orang Islam sendiri yang tidak menyokong politik mereka sebagai ancaman terhadap Islam.

DAP sudah berkali-kali menyatakan pendiriannya tentang agama Islam sebagai agama rasmi, paling lantang ketika Deklarasi Shah Alam 2012. Mesej deklarasi tersebut diusung oleh PAS sendiri, ketika itu bersama Pakatan Rakyat untuk membetulkan pembohongan UMNO kononnya DAP anti-Islam.

DAP menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan, termasuklah Perkara 3 yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Di peringkat antarabangsa, DAP turut tidak ketinggalan, malah terkedepan dalam menyatakan pendirian terhadap konflik Palestin-Israel; hatta wakil Palestin sendiri hadir menyatakan penghargaan atas pendirian berani DAP dan kerajaan Pakatan Harapan terhadap Israel. Pun begitu, UMNO-PAS masih lagi memainkan persepsi kononnya DAP adalah agen Israel dan menentang Islam.

Saudara Sheikh Omar Ali bukan sahaja merupakan seorang graduan usuluddin malah beliau ialah mantan aktivis mahasiswa Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya, dan telah melalui sistem tarbiah PAS sebelum meninggalkan parti tersebut dan menyertai DAP. Laluan tarbiah beliau juga bukan calang-calang, malah termasuk juga dalam lingkaran Almarhum Ustaz Yahya Othman; seperti banyak dikongsikan rakan-rakan beliau.

DAP tidak menjadikan Sheikh Omar seorang yang menjauhi agamanya. Bahkan Ini membuktikan bahawa DAP telah berjaya menampilkan seorang pemimpin, antara ramai lagi pemimpin Melayu muda yang mampu membela Melayu-Islam, bahkan nasib seluruh rakyat Malaysia tanpa menggunakan pendekatan politik perkauman sempit dan terkebelakang yang dimainkan UMNO-PAS. – Roketkini.com

*Steven Sim adalah Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang, Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan


No comments: