Monday, February 25, 2019

Tentang hal-hal sakral dari Semenyih


   

ULASAN | Setakat ini belum nampak dengan benar-benar jelas kecenderungan penduduk Semenyih untuk memenangkan mana-mana calon pada 2 Mac ini.

Siapa yang dapat meramal dengan mudah kehendak lebih 54,000 pengundi di kawasan DUN N24 itu?

Sebelum 9 Mei 2018 Semenyih ialah kerusi tradisi BN itu tetapi pada tarikh selepasnya kawasan berkenaan ditawan PH dengan 8,964 undi majoriti.

Seperti itu juga, siapa pun tak dapat meramal dengan jelas parti manakah yang dapat mencuri hati (dan undi) penduduk Semenyih dalam tempoh kempen yang berbaki kurang tujuh hari saja lagi.

Penduduk Semenyih - atau rakyat Malaysia kesuluruhannya - sememangnya sukar diramal.

Lihat saja perbezaan ketara di antara sebelum PRU-14 dan selepasnya.

Dulu-dulu Najib Razak ialah perdana menteri yang bijaksana dan teguh di Putrajaya walaupun menjadi lubuk kritikan dan herdikan di media sosial kerana skandal 1MDB.

Dari Seri Perdana ke mahkamah

Akhirnya setelah tewas, Najib yang sama muncul pula sebagai hero yang disanjung ramai terutama di media sosial.

Kadang-kadang manusia boleh berubah semudah seperti memetik suis lampu.

Sebelum PRU-14, Najib diserang kiri-kanan-depan-belakang oleh pelbagai pihak. Serangan PH tidak perlu dipelikkan, sementelah tugas pembangkang untuk menyerang kerajaan.

Tetapi di media sosial khususnya, Najib lunyai dibuli warganet.

Jika menatal skrin telefon ketika itu, Najib menjadi "meme" dan parodi dalam hampir setiap hantaran media sosial biarpun yang tiada kaitan dengan politik.
Malah kekalahan BN buat pertama kali dalam sejarah plihan raya negara ditaruhkan ke atas bahu Najib sebagai orang yang harus bertanggungjawab, kerana didakwa menjadi beban dengan skandal demi skandal yang tersebar di alam maya.

Najib dihadapkan di mahkamah dengan 42 pertuduhan jenayah pengubahan wang haram, pecah amanah dan salah guna kuasa melibatkan skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Namun, jumlah pertuduhan yang sebanyak itu, tidak menghalang Najib daripada membuat kemunculan semula di platform media sosial yang pernah menjatuhkannya dahulu, malah didakwa berjaya pula memenangi hati rakyat terutamanya golongan muda.

Kemunculan Zahid ditambah baik

Jika ditanya sembilan bulan lepas, siapalah yang dapat meramal sentimen "kami mahukan pengadilan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa pemimpin" akhirnya bertukar menjadi fenomena Bossku dan "bukan bishe-bishe".

Fenomena tersebut sekali lagi terbukti dalam kempen PRK Semenyih ini. Di Semenyih, secara fizikal Najib ibarat kiub gula yang dihurung oleh penduduk yang tidak jemu-jemu menghulur telefon untuk berswafoto dengan anggota parlimen Pekan itu.

Kejayaan itu seolah-olah mencetuskan ilham pula kepada Umno untuk menampilkan bekas timbalan Najib, Ahmad Zahid Hamidi, untuk muncul laksana selebriti.
Seperti Najib, Ahmad Zahid juga sedang berdepan dengan deretan pertuduhan di mahkamah, malah lima kes lebih tinggi berbanding Najib.

Lama menyepi setelah menyerahkan tugas presiden Umno kepada timbalannya Mohamad Hasan (tanpa menyerahkan sekali jawatannya), Ahmad Zahid membuat kemunculan semula di Semenyih dengan konsep hampir sama dengan Najib, tetapi dengan sedikit penambahbaikan.

Pertama, tidak seperti Najib yang sering membonceng, Ahmad Zahid menunggang motornya sendiri.
Kedua, Ahmad Zahid banyak menunggang motor ke masjid dan surau dalam program ‘Ride Makmurkan Rumah Allah’.

Formula itu nampaknya berjaya. Kehadiran Ahmadd Zahid disambut baik oleh penduduk Semenyih dan programnya juga mendapat sambutan hangat.

Pujian buat Najib

Sekurang-kurangnya Najib dan Ahmad Zahid masih dalam perbicaraan dan belum diputuskan bersalah.

Tetapi ada juga pemimpin yang lama menyepi setelah disabitkan kesalahan oleh mahkamah, turut menjadikan Semenyih sebagai tempat membuat kemunculan semula.

Seperti bekas menteri besar Selangor, Mohamad Khir Toyo yang pernah dihukum penjara setahun pada 2015 turun menguatkan kempen BN di Semenyih.

Dan dengar-dengarnya, bekas menteri di jabatan perdana menteri, Jamil Khir Baharom juga akan turun memeriahkan kempen.

Beliau memang tidak dikenakan sebarang tuduhan di mahkamah. Sekurang-kurangnya setakat ini. Justeru bekas anggota parlimen Jerai itu bolehlah bersenang hati dari segi itu.
Namun tentu tidak ramai yang boleh lupa akan beberapa dakwaan yang dikaitkan dengan portfolio beliau sebelum ini. 

Misalnya dakwaan bahawa Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) menggunakan dana pertubuhan kebajikan menaja perjalanan ke Eropah, AS dan Australia.

Semalam dua tiga lagi watak penting dalam Umno menghadirkan diri di Semenyih dan menyumbangkan kepakaran masing-masing untuk mengajak pengundi menyokong BN.

Pertama orang kuat Umno dari Sungai Besar, Jamal Md Yunos; kedua, bekas pengerusi Felda dan menteri besar Negeri Sembilan, Isa Samad, dan ketiga bekas menteri besar Perlis, Shahidan Kassim.
Jamal pernah menjadi buruan selepas di melarikan diri daripada reman polis.

Tentang Isa pula, tidak perlu diperkenalkan lagi akan dakwaan yang dikenakan padanya berkait isu Felda.

Pujian harus diberi kepada Najib - yang mengaku bahawa beliau bertindak sendirian dan tidak dibantu oleh sesiapa dalam gerak kerja sarafnya - bahawa beliau memberi keyakinan kepada ramai OKT (orang kena tuduh) yang sebelum ini mungkin berbelah-bahagi untuk berdepan masyarakat.

Dengan Najib menjadi suri teladan, mereka mendapat keyakinan agar tidak lagi dikekang perasaan gamang atau malu. Maklumlah, segala pertuduhan itu belum dibuktikan di mahkamah.

Kini dengan penerimaan sebahagian masyarakat terhadap Najib dan Ahmad Zahid kini terbukti jika seseorang sudah menjadi OKT, adalah tidak ada masalah untuk terus beraksi dengan selamba.

Kerana rakyat bukannya kisah, dan mungkin tidak tahu pun berapa pertuduhan yang pemimpin tersebut sedang depani di mahkamah.

Yang penting dalam melakukan kemunculan semula ialah, langkah harus kewl, trendy dan sempoi. Dengan sikap sebegitu kebencian rakyat akan dapat diterbalikkan.

Bertabahlah Malaysia.


*M FAKHRULL HALIM ialah wartawan Malaysiakini.


No comments: