Tuesday, December 4, 2018

YIK dah ada calon mudir ganti Nik Omar

 
   

Yayasan Islam Kelantan (YIK) sudah mempunyai calon untuk dilantik menjadi mudir Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka bagi menggantikan penyandang, Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Exco Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini malam tadi.

"Ya, dah ada cadangan (mudir baru) daripada YIK," katanya ketika ditanya mengenai proses pengambilalihan sekolah berkenaan.

Maahad Darul Anuar ialah sekolah agama diasaskan oleh bekas menteri besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1963.

Ia dilihat sebagai salah satu legasi penting Nik Abdul Aziz.

Terletak kira-kira 9km dari pusat bandar Kota Bharu Maahad Darul Anuar menjadi perhatian baru-baru ini apabila ada usaha meletakkan sekolah tersebut di bawah kendalian YIK.

Sebelum ini maahad terbabit dikendalikan secara persendirian.

Nik Omar terima wasiat

Khabar itu berlaku selepas Nik Omar bertindak meninggalkan PAS dan menjadi calon Amanah semasa PRU ke-14 lalu.

YIK pula bersetuju mengambil alih pengurusan Maahad Darul Anuar selepas menerima permohonan organisasi keluarga Nik Abdul Aziz, Keluarga Besar Nikmatillah, yang mendakwa menjadi pemegang amanah.

Nik Omar bagaimanapun menegaskan beliau tidak akan menyerahkan mandat sebagai pemegang amanah Maahad Darul Anuar kepada mana-mana pihak.
Maahad Darul Anuar di Pulau Melaka
"Apabila saya diamanahkan wasiat dan mandat itu pada 2008 oleh allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, saya terima dengan rasa tanggungjawab kerana minat yang mendalam dalam bidang pendidikan.

"Kesimpulannya, saya sebagai penerima wasiat dan pemegang amanah tidak terlintas untuk menyerahkan mandat kepada sesiapa, dan saya akan terus melangkah untuk memastikan impian saya dan tuan guru terlaksana," katanya.

Nik Omar juga menegaskan permohonan Keluarga Besar Nikmatillah supaya Maahad Darul Anuar diuruskan Yayasan dibuat tanpa mengikut saluran yang betul.
Mohamed Fadzli
Sebagai pengerusi ahli lembaga dan pemegang amanah Maahad Darul Anuar, kata Nik Omar, pihaknya tidak pernah membuat keputusan untuk menyerahkan pengurusan dan pentadbiran sekolah agama terbabit kepada YIK.

Sementara itu, Mohamed Fadzli ketika ditanya siapa bakal menggantikan tempat Nik Omar berkata, cadangan YIK itu adalah ahli keluarga Nik Abdul Aziz juga.

"Insya-Allah, mudir daripada kalangan ahli keluarga tok guru juga," katanya ringkas ketika ditemui pada program Ceramah Roadshow Himpunan Bantah Icerd, di Machang, malam tadi.

Sementara itu, difahamkan YIK kini sedang menunggu masa sesuai bagi memperkenalkan pengetua baru untuk Maahad Darul Anuar dalam usaha mengambil alih sekolah tersebut.

Semalam tersebar khabar kononnya pegawai YIK akan datang ke sekolah agama terbabit untuk memperkenalkan calon mudir baru.

Bagaimanapun difahamkan wakil Nik Omar meminta kedatangan itu ditangguhkan sehingga semua pelajar yang terbabit dalam peperiksaan selesai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada Nik Omar berhubung perkara itu.

Untuk rekod Nik Omar kini sedang berada di luar negara.


No comments: