Monday, December 3, 2018

Himpunan aman ICERD, biar rakyat bersuara

Manzaidi Mohd Amin

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik turun beramai-ramai berhimpun secara aman di ibu kota Sabtu ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, himpunan itu adalah sebagai tanda syukur atas kejayaan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan boleh meruntuhkan 61 tahun keharmonian kaum di Malaysia.

Kata beliau, ia juga sebagai tanda menolak sebarang usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meratifikasi konvensyen antarabangsa lain berkenaan hak asasi manusia yang tidak secocok dengan acuan Malaysia berpaksikan Islam, martabat Bumiputera dengan keunikan pelbagai agama dan bangsa.

“Kita membantah segala dasar kerajaan membelakangi prinsip Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita menyanggah pendirian PH yang lebih mengutamakan janji manifesto berkaitan ratifikasi ICERD dan Konvensyen Hak Asasi Manusia yang lain berbanding janji yang menyentuh kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Dr Asyraf Wajdi berkata, rakyat boleh meluahkan rasa terkilan dan dukacita mereka terhadap kegagalan kerajaan PH menunaikan janji Manifesto PRU14 lalu berkaitan kehidupan termasuk janji pinjaman PTPTN, pemansuhan tol, penurunan harga minyak dan meringankan kos sara hidup.

“Kita akan mempamerkan semangat patriotik dan kecintaan sebagai rakyat Malaysia berbilang agama dan bangsa yang mengutamakan keamanan dan kehormonian.

“Kita menentang keras sebarang bentuk ancaman dan cubaan memainkan sentimen perkauman dan agama di kalangan rakyat sekaligus menjunjung kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kekuatan negara selama ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette


No comments: