Monday, December 24, 2018

Gerakan: Kaji semula harga petrol supaya rakyat dapat 'bernafas'

MALAYSIAKINI

   

Parti Gerakan menggesa kerajaan menurunkan harga bahan api petrol RON 95 berikutan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran global.

Timbalan Presidennya Oh Tong Keong berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng seharusnya membuat pengumuman itu, dan bukannya membiarkan orang ramai terus memberikan ‘subsidi’ kepada kerajaan dengan mengekalkan harganya pada RM2.20 seliter.

Beliau berkata pengguna RON95 rata-rata terdiri daripada kumpulan B40 dan sekiranya kerajaan masih mahukan mereka terus membayar pada harga itu walaupun dengan persekitaran kini yang sudah berubah, ia akan membebankan mereka.

“Dengan harga di peringkat antarabangsa kini US$52 se tong, harga RON 95 seharusnya berada sekitar RM1.90, namun kerajaan masih mengekalkan pada harga RM2.20, dan tanpa disedari sebenarnya pengguna yang banyak membantu kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata menjadikan rakyat ‘membantu’ kerajaan dengan cara sebegini adalah tidak munasabah.

Oh turut menegaskan bahawa Pakatan Harapan sering berjanji kepada orang ramai bahawa selepas mengambil alih pentadbiran negara, ia akan mengurangkan harga petrol, namun sehingga hari ini janji itu tidak ditunaikan.

“Saya menggesa kerajaan mengkaji semula harga RON 95, RON 97, dan juga harga diesel bagi memberikan ruang kepada orang ramai yang menghadapi masalah berkaitan kos sara hidup yang tinggi untuk bernafas, di samping mengurangkan beban mereka,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan ketika menjelang pilihan raya umum lepas, Pakatan Harapan berjanji selepas mengambil alih kuasa, ia akan mengurangkan harga petrol kepada RM1.50 se liter, namun kini mereka tidak berani menunaikan janji itu.

“Report Card Pakatan Harapan mengecewakan orang ramai, daripada janji mengurangkan harga minyak, pengiktirafan peperiksaan UEC, dan memansuhkan undang-undang yang menekan; semua ini tidak berlaku. Ini mengakibatkan rasa kecewa di kalangan orang ramai yang merasakan mereka bagaikan ditipu kerajaan.

Harga minyak merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun Selasa lepas, turun antara empat dan tujuh peratus sepanjang minggu lepas, diheret turun oleh kelembapan ekonomi dunia, selain kebimbangan terhadap lebihan bekalan dalam pasaran minyak.

West Texas Intermediate (WTI) turun di bawah US$47 setong manakala Brent susut ke paras US$56.- Bernama


No comments: