Monday, September 3, 2018

Umno Kelantan: SPRM bagai hilang integriti

MALAYSIAKINI

   
Pemuda Umno Kelantan menyifatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti sudah hilang integriti apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng terlepas daripada tuduhan rasuah.

Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor berkata suruhanjaya itu sepatutnya bertegas dalam kes jual beli banglo yang disiasat oleh mereka.

"SPRM bagai hilang integriti dan selayaknya ketua pengarahnya (Datuk seri Shukri Abdull) memikul tanggungjawab.

"Pengguguran kes itu jelas menunjukkan SPRM tidak mampu meyakinkan pejabat peguam negara selaku pendakwa dengan bukti yang ada agar kes diteruskan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hari ini Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membebaskan Lim yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang dan ahli perniagaan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada dua tuduhan rasuah.

Ia selepas pihak pendakwa menarik balik tuduhan terhadap mereka.

SPRM kemudian mengeluarkan kenyataan ringkas menyatakan pihaknya “amat terkejut” dengan keputusan itu dan berkata tiada kaitan dengannya.
 
Noor Hariri (gambar) mengecam kenyataan SPRM itu dan berkata ia tidak lebih sekadar untuk menyembunyikan kelemahan dalam siasatan dan pendakwaan melibatkan "individu penting dalam kerajaan dan bertanggungjawab menjaga dana rakyat."

Beliau juga menyifatkan tindakan pejabat peguam negara menarik balik tuduhan itu sebagai sangat memalukan kerajaan yang menitikberatkan aspek kedaulatan undang-undang dalam pentadbiran negara.

"Seharusnya kes ini diteruskan dan dibuktikan tidak bersalah melalui perundangan dan bukannya dengan kaedah yang sangat keji seperti ini," katanya lagi.


No comments: