Friday, September 21, 2018

Reformasi dan cerita yang belum selesai

 


Di sebalik gegak gempita beberapa pemimpin utama Umno meninggalkan parti itu; 20 September sampai lagi—tarikh yang dianggap seakan tarikh rasmi sebuah Gerakan Reformasi bermula, dua dekad lalu. Tarikh hari ini lebih penting kerana sebuah demonstrasi besar berlaku di Kuala Lumpur, berbanding 2 September, tarikh Anwar Ibrahim dipecat.

Kata mereka yang lebih tua, demonstrasi itu adalah yang terbesar selepas perhimpunan-perhimpunan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu sebelum 1957.

Saiz tidak penting lagi. Apa yang mustahak, sepanjang dua dekad ini saya secara peribadi terus mencari makna di sebalik laungan “reformasi” itu sendiri. Jejak bara dan jalan berduri mungkin sudah tidak begitu mustahak untuk diulang-ulang kalau hanya untuk mendapat undi di kalangan anggota parti.

Lebih-lebih lagi kepada saya—walaupun menjadi anggota PKR dan aktivis Reformasi sejak awal—yang hari ini tidak mahu bertanding apa-apa jawatan dalam parti, memang tidak ada apa-apa undi yang hendak dirayu. Tiada siapa yang hendak diperdaya atas cerita dua dekad lalu itu.

Saya lebih bebas bercakap tentang perlunya kita memahami pengertian Reformasi dengan lebih jernih agar bukan sahaja dapat mengimbau masa lalu, tetapi juga dapat difahami oleh generasi hari ini. Sekurang-kurangnya orang seperti saya boleh membuktikan bahawa perjuangan tidak semestinya dengan jawatan—dan kata-kata itu perlu dibuktikan dengan tindakan.

Berjawatan pula tidak semestinya dapat menyumbang lebih banyak kepada perubahan bangsa, lebih-lebih lagi yang kita lihat sekarang betapa ramainya menteri, misalnya, yang menjadi post turtle, atau dalam bahasa Melayu bolehlah disebut sebagai “kura-kura atas tiang”. Mereka jadi bingung mengapa tiba-tiba berada di tempat tinggi? Sang kura-kura tidak boleh berbuat apa-apa di atas sana—melainkan diambil gambar atau berswafoto!

Namun, sudah tentu ada seseorang yang meletakkan sehingga dia berada di atas puncak tiang, sedangkan kura-kura tahu dia tidak akan mampu memanjatnya sendiri. Saya menjangkakan, sekurang-kurangnya Pakatan Harapan memerlukan masa sepenggal untuk menghabiskan sindrom post turtle berkenaan.

Dan untuk tidak menjadi kura-kura di atas tiang, soalan maha panting yang perlu difikirkan ialah, apakah bentuk perubahan yang sudah dilalui dalam tempoh dua dekad ini?

Pada masa muda, memang saya percaya perubahan yang wajib dibawa bersama arus Reformasi adalah satu proses yang mendekati erti sebuah revolusi. Sayangnya mana-mana revolusi akhirnya memakan terlalu banyak korban. Mungkin mangsa korban Reformasi yang kita dengar selama ini juga berakibat daripada keyakinan itu, iaitu perubahan perlu dengan jalan sekeras yang mungkin.

Kesempatan Anwar

Sedangkan kalau diimbau kembali, Anwar mempunyai kesempatan untuk melakukan revolusi pada tarikh petang 20 September. Pada hari di mana ribuan orang sudah boleh digerakkan untuk berhimpun di tengah kota raya. Terutama di Dataran Merdeka.

Kalau Anwar memilih untuk duduk dan mengarahkan semua duduk bantah tanpa pulang ke rumah, tentulah cerita sudah berbeza. Mungkin dalam sehari dua Dr Mahathir Mohamad sudah pun ditumbangkan. Kuala Lumpur akan lumpuh dan semua kegiatan ekonomi seperti bank-bank mahupun syarikat-syarikat besar akan tergendala.

Di situlah caranya sesebuah revolusi moden digerakkan. Sama seperti apa yang berlaku di Jakarta pada tahun yang sama. Dan tidak perlulah saya mengulang-ulang lagi kisah mahasiswa yang terkorban ditembak oleh tentera ketika rakyat mahu memaksa presiden Seoharto melepaskan jawatan.
Anwar memilih untuk pulang. Di Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara. Dia mahu bersembahyang Asar di rumah. Pada sebelah malamnya, beliau ditangkap. Api revolusi terpadam bersama terbenamnya matahari.

Sudah tentu saya boleh menceritakan hampir setiap detik yang saya sendiri lalui di Kuala Lumpur khususnya daripada tarikh berkenaan. Juga ketika menempoh pilihan raya umum (PRU) 1999, 2004, 2008, 2013 sehingga Umno-BN kecundang dalam PRU lalu.

Di sinilah hebatnya cara perubahan yang dipilih oleh rakyat Malaysia untuk mengganti sebuah kerajaan dan parti paling lama berkuasa di dunia, yakni Umno. Bentuk perubahan itulah yang sukar sekali difahami kerana semua masih bergerak dalam proses—dan kisah Reformasi selalu dianggap belum tamat. Pada akhirnya, barangkali ada seungkai kata yang saya temukan untuk menggambarkan semua kisah berkenaan, iaitu “konservatif pembaharu”.

Konservatif pembaharu bererti pembaharuan perlu ada asas serta kesedaran berkenaan masalah-masalah yang sudah terpelosok dalam kehidupan bernegara kita sehari-hari. Pembaharu untuk sekadar memperbaharui tidak akan berjaya; reformasi sekadar atas nama reformasi akan menjadi berkecamuk sama sekali.

Dalam kata lain, perubahan di negara ini perlu datang daripada kaum dan nilai konservatif itu sendiri sebagai kaum majoriti. Tidak kiralah sama ada seseorang itu Melayu, Cina, India dan lain-lain, rata-rata orang Malaysia adalah bersifat konservatif. Perubahan dengan jalan liberalisme, lebih-lebih lagi liberalisme yang tidak arif nilai konservatisme—akan hanya ditolak oleh golongan majoriti.

Sekali lagi, tanpa menawan hati golongan majoriti, cita-cita apa pun akan gagal. Masalah itu terjadi ketika pendudukan Jepun yang mana tentera Jepun gagal meyakinkan penduduk Tanah Melayu bahawa mereka adalah penyelamat daripada penjajahan Barat. Dan percubaan mengenepikan suara konservatif telah dilakukan misalnya dalam empat PRU sebelum ini. Semuanya gagal menawan Putrajaya.

Hanya konservatif pembaharu yang boleh menewaskan rejim—sama ada penjajah atau Umno—kerana nilai di dalam tradisi masyarakat kita ada yang sudah dimanipulasi oleh rejim BN sejak enam dekad. Sebagai contoh, nilai kesetiaan.

Setia pada pemimpin, meskipun jahat

Selama ini, kita dituntut untuk setia kepada negara. Di situlah rejim telah memanipulasi nilai setia apabila kesetiaan kepada negara juga bermakna setia kepada parti pemerintah. Lebih teruk, setia juga kepada pemimpin meski pemimpin itu jelas nyata zalim dan jahat.

Di situlah apa yang saya maksudkan ialah tentang nilai “setia” yang telah dipesong dan dikaburkan maknanya. Sedangkan nilai setia pada asalnya membawa erti yang sangat baik.

Hari ini, kita sudah mendengar pula bagaimana kalau Umno hancur, maka Melayu akan turut hancur. Kata-kata sebegini satu lagi usaha menipu orang Melayu seperti kata “setia” yang dipesongkan tadi.
Umno dan Melayu sesungguhnya tidak ada kena-mengena. Pada hakikatnya tidak ada kaitan sama sekali.

Umno adalah parti, dan Melayu adalah bangsa. Bagi tempoh-tempoh ke depan, apabila dapat difahamkan bahawa Islam dan PAS sesungguhnya juga tidak ada kena-mengena dalam pengertian politik, sepertimana tidak ada kena-mengena antara Umno dan Melayu, maka kedua parti itu juga akan melemah dan pasti akan ditinggalkan oleh orang Melayu-Islam.

Walaupun golongan liberal dilihat dapat mencetuskan idea perubahan, namun pelaksanaannya tetap bergantung kepada kalangan kaum konservatif itu sendiri. Kita pernah lihat bagaimana “Kaum Muda” yang wujud di tahun-tahun 20-an hingga 60-an boleh dianggap tumpas kepada “Kaum Tua”.
Kaum Muda adalah nama yang mewakili golongan yang mahukan perubahan, dan Kaum Tua pula ialah golongan yang mahu mengekalkan tradisi. Kalau pun ada perubahan, perlu dalam kerangka tradisi.

Apa yang menarik, sepanjang tempoh 60 tahun kemerdekaan Malaysia, perubahan itu akhirnya banyak digerakkan atas usaha Kaum Tua. Kekuatan Kaum Tua ialah mereka berada di tengah-tengah masyarakat. Bukan hanya pandai mengarah-arah dari atas pentas ucapan.

Kalau di Indonesia, kumpulan Muslim terbesar, Nahdatul Ulama (NU) adalah contoh terbaik.

Kelompok konservatif ini tetap mengizinkan banyak kegiatan kebudayaan terutama di kalangan masyarakat Jawa terus berlangsung, namun dalam waktu sama, nilai agama tetap ditekankan tanpa mengurang atau mengorbankan salah-satu di antara agama dan budaya.

PAS gagal menambat hati orang Melayu sejak puluhan tahun kerana parti itu parti aliran keras. Suka mengharamkan itu dan ini. Mengkafirkan si polan dan si polan.

Ketika pakatan pembangkang bersama PAS—dari Barisan Alternatif (BA) sehinggalah Pakatan Rakyat—di situlah cabaran paling payah untuk memujuk PAS agar mengendurkan sifat keras, yang sesuatu perubahan tidak boleh ditolak-ansur dengan penampilan yang mereka bawa. Walhal penampilan itu bukanlah sesuatu yang mutlak sehingga tidak boleh diubah-ubah.

Dari situ, kita boleh menjangkakan permuafakatan antara PAS dan Umno sepertimana yang wujud sekarang sebenarnya akan lebih menguntungkan PAS selain membuatkan fahaman keras parti itu terus ‘diakui’ sebagai benar apabila Umno terpaksa tunduk bawah telapak kaki PAS. Saya memikirkan kembali keputusan PRU 9 Mei lalu, sekiranya PAS masih bersama
Pakatan Harapan, mungkin HARAPAN tidak dapat mencapai keputusan sehingga dapat menumbangkan rejim Umno-BN.

PAS dan sifat semula jadinya

Sebabnya mudah, yakni orang Melayu yang majoriti adalah kaum konservatif dan kaum konservatif tidak akan senang dengan tindakan keras pihak mana pun. Usaha untuk melunakkan PAS sejak 1998 sudah gagal dan PAS akan kekal dengan sifat semula jadinya.

Apa juga bentuk perhitungan politik selepas dua dekad Reformasi nampaknya kembali kepada fitrah rakyat Malaysia yang mahukan nilai tradisi berjalan tanpa diganggu-gugat atau dipesongkan. Di situ jugalah kesempatan yang ada pada sang kura-kura tadi untuk segera membaiki diri.

Kesempatan pula tidak pernah kekal lama dengan slogan dan dakwaan yang berlebih-lebih. Melainkan dengan pemikiran dan persoalan, apakah masalah besar bangsa? Akhirnya Reformasi lebih kepada sebuah persoalan. Persoalan tentang jujur tidaknya kita untuk melakukan perubahan.

*HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

No comments: